Tuesday, July 10, 2012

Kepentingan Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi






Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting.Teknologi ini sudah telah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.




Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.


Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematilk dan teratur.


Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia.


Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap.


Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatic (ATM) dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.


Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa berlayar.


Jika dahulu ada yang merujuk kepada keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa.


Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia untuk mengawal. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik.


Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai panduan.


Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan “Dunia Tanpa Sempadan”.


Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama ada di laman berbual, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit. Bukan itu sahaja, berita terkini juga dapat diikuti dengan serta-merta.


Siaran langsung seperti konsert, perlawanan bola sepak dan siaran berita juga dapat dijalankan. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea, Jepun mahupun Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung.


Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro. telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasa nikmat ini. Internet dan computer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT ialah pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.


Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekaligus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah.


Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan.


Fakta ini ternyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah dapat mengikuti pelajaran sekolah menengah melalui modul pelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh kerajaan.


Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya.


Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja.


Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan seluruh Malaysia.


Ia tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan kamera video yang merakam lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.


Bertitik tolak dari sini, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya.


Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia berjaya pada peringkat kebangsaan dan serantau. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira kerajaan ataupun swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat yang melonjakkan nama negara Malaysia.
Artikel Sumbangan Ikhlas A. Razak Ahmad

Peranan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak-anak




PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia. Tiada simpanan yang paling berharga dan kekayaan yang paling mahal nilainya untuk kehidupan dunia dan akhirat jika dibandingkan dengan anak soleh, apalagi jika dilengkapi dengan pendidikan dan didikan yang betul dan lengkap berlandaskan Islam.


Terdapat empat kaedah asas untuk mendidik anak iaitu :


1- Didikan dengan menunjukkan contoh teladan


Didikan dengan menunjukkan contoh teladan adalah antara cara yang paling berkesan untuk membentuk peribadi anak-anak dari segi akhlak, rohani dan sosial. Orang yang mendidik merupakan contoh yang paling utama sekali kepada anak-anak. Samada guru ataupun rakan-rakan di sekolah mahupun jiran tetangga di rumah, majoriti mereka haruslah yang boleh memberikan teladan yang baik kepada diri anak-anak. Oleh sebab itu, adalah penting untuk ibu bapa memilih sekolah dan suasana tempat tinggal yang baik. Sekolah yang dipilih haruslah mementingkan soal-soal akhlak yang baik dan bukan sahaja mementingkan kemajuan akademik semata-mata. Jika sebaliknya, maka anak-anak akan lebih cenderung untuk mencontohi golongan majoriti yang tidak baik.


2- Didikan dengan nasihat dan bimbingan


Nasihat dan bimbingan merupakan kaedah mendidik yang berkesan. Nasihat dan bimbingan ini penting dalam proses menerapkan soal-soal ghaib atau berkaitan dengan keimanan, seperti soal mempercayai Allah SWT, mempercayai malaikat, kitab, Rasul, syurga neraka serta qada’ dan qadar. Proses nasihat dan bimbingan ini adalah menyampaikan ilmu mengenai segala hukum hakam agama (ilmu syariat), ilmu membersihkan hati (tasauf) dan juga segala peraturan yang ditentukan oleh manusia yang tidak bercanggah dengan hukum agama Islam. Ia penting supaya anak-anak mempunyai pemahaman yang jelas tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat.


Kaedah nasihat ini berperanan dalam menjelaskan keada anak-anak tentang segala hakikat, menghiasinya dengan moral yang mulia, dan mengajarinya dengan prinsip-prinsip Islam. Maka tidak pelik jika kita dapati al-Quran menggunakan kaedah ini dan berbicara kepada jiwa manusia dengan nasihat dan bimbingan yang berhikmah dan berperingkat. Al-Quran sering mengulang-ulang berbagai pengarahan dan nasihatnya untuk tujuan membimbing dan terus membimbing umat Islam kejalan yang benar. Anak-anak perlu diberi nasihat dan bimbingan sebanyak 200 kali untuk benar-benar faham dan menghayati apa yang ingin disampaikan. Ibu bapa tidak seharusnya berasa jemu atau patah semangat untuk berpesan kepada anak-anak dari semasa ke semasa.


3- Didikan dengan pemerhatian dan pengawasan


Maksud didikan dengan pengawasan ialah mendampingi anak-anak dalam usaha untuk membentuk akidah dan moral, memerhati dan mengawasi mereka dengan berkomunikasi secara terus menerus tentang keadaannya, baik dalam hal luaran dan dalaman mereka. Ia bertujuan untuk melahirkan anak yang seimbang, yang dapat menjalankan kewajipan-kewajipan dengan baik dalam kehidupan seseorang muslim.


Memerhati dan mengawas anak-anak juga merupakan satu daripada kaedah mendidik yang efektif. Ia tidak sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan dan menunjukkan contoh teladan sahaja, tetapi ia mesti diiringi dengan pemerhatian dan pengawasan daripada ibu bapa. Untuk melaksanakan ini, ibu bapa sendiri perlulah meluangkan masa mendampingi anak-anak dan sesekali mengikuti dan meninjau bagaimana perlakuan anak-anak ketika bermain dan bercampur dengan rakan-rakannya diluar, sewaktu anak melakukan kerja rumah dan sewaktu anak melakukan ibadah dan sebagainya.


Setelah pemerhatian dibuat dan dipastikan tingkahlaku sebenar anak-anak, maka ibu bapa perlu menganalisa samada mereka menunjukkan peningkatan atau penurunan. Ibu bapa haruslah ingat bahawa tingkahlaku anak-anak boleh berubah dengan hadirnya pengaruh atau faktor yang baru dalam hidup mereka.


4- Didikan dengan hukuman dan denda


Mendenda dan menghukum dibolehkan dalam Islam, tetapi ia ada cara-caranya tersendiri. Ini jelas ditunjukkan dalam al-Quran, dimana Allah SWT sendiri memerintahkan agar mereka yang bersalah dihukum. Sungguhpun hukuman dibenarkan, ia merupakan kaedah didikan yang terakhir sekali, iaitu selepas ibu bapa telah memberikan nasihat dan bimbingan serta teguran yang mencukupi. Tetapi hukuman itu hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu daripada hukuman yang ringan beransur-ansur ke berat. Ini bermakna, jika dengan hukuman yang ringan masih tidak berkesan, maka hukuman yang lebih berat boleh dilakukan.


Antara contoh hukuman yang ringan ialah mengasingkan anak supaya bersendirian dan agar anak sedar tentang kesalahan yang telah dilakukan. Ataupun mendenda anak supaya melakukan kerja tambahan ataupun memendekkan masa bermainnya. Hukuman memukul merupakan hukuman yang paling berat untuk seorang anak dan ia tidak akan mungkin mengulanginya selepas hukuman yang telah dilaluinya.


Selain mendidik anak-anak dengan menunjukkan contoh teladan, memberikan nasihat dan bimbingan, pemerhatian dan pengawasan serta memberikan hukuman dan denda, ibu bapa juga boleh menggunakan kaedah yang digunakan oleh Rasulullah SAW ketika mendidik anak-anaknya antaranya seperti:


1- Mengajari dan membiasakan anak-anak dengan ucapan salam


Diantara petunjuk dan kaedah Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak ialah. Setiap kali beliau bertemu dengan anak-anak maka beliau mengucapkan salam untuk mereka. Ini seperti yang diceritakan oleh Anas r.a bahawa :


”Rasulullah SAW berjalan dan bertemu anak-anak, maka baginda mengucapkan salam kepada mereka semua. Dan baginda sering melakukan hal tersebut”.


2-Memperlakukan anak-anak dengan sikap lembut, tulus dan penuh kasih sayang


Salah satu bentuk kasih sayang Rasulullah SAW ialah larangannya yang sangat tegas kepada sesiapa sahaja yang memperlakukan dan berinteraksi dengan anak-anak secara keras dan kasar. Dalam kisah lain, dari Usamah bin Zaid pernah mengutus puteri Rasulullah SAW kepada ayahnya, bahawa anak saya sudah menjelang ajal. Maka beliau mengutus seseorang dan mengirim salam seraya bersabda :


”Sesungguhnya apa yang diambil dan diberikan oleh Allah SWT adalah miliknya. Setiap sesuatu disisi Allah SWT memiliki batas akhir yang telah ditentukanNya. Oleh itu bersabarlah kamu dan berharaplah akan adanya pahala” .


Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam usaha membentuk sahsiah anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mendisiplinkan anak-anak terutama pada peringkat permulaan. Kegagalan mendidik anak-anak pada peringkat permulaan akan membawa suatu petanda buruk kepada pembentukan disiplin anak-anak

Tekanan Kerja Guru


Profesion perguruan sungguh mencabar. Untuk menjadi seorang guru dan pengurus pendidikan yang baik, seorang guru harus peka dengan perkembangan terkini yang sentiasa mendatang juga sanggup untuk menghadapi proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru itu, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab para guru menjadi lebih besar, mencabar dan kompleks. Cabaran dan tanggungjawab yang bertambah juga perubahan kurikulum dan kokurikulum baru dalam sistem pendidikan Malaysia sering dikaitkan dengan fenomena guru mengambil keputusan menukar kerjaya dan bersara awal. Perubahan yang sentiasa berlaku menyebabkan tugas guru semakin banyak di samping harapan masyarakat terhadap para guru semakin menggunung tinggi. Dengan itu, guru berasa amat tertekan kerana tidak mampu menangani tugas dan harapan yang sentiasa berterusan mengalami perubahan.

Menurut Girdano (1979), individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan dan produktif jika ia dalam keadaan tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Hal-hal ini akan menghalang seseorang mewujudkan sifat peribadi yang positif, apa lagi sifat toleransi dan kasih sayang.

Artikel ini akan membincangkan kajian yang dijalankan dengan tujuan: pertama, untuk mengetahui hubungan di antara kecerdasan emosi dengan tekanan kerja dan niat berhenti kerja dari profesion perguruan, dan kedua, melihat interaksi kesedaran kendiri, pengurusan kendiri, kesedaran sosial dan kemahiran sosial ke atas tekanan kerja dan niat berhenti kerja di kalangan guru.

Tekanan yang dihadapi oleh guru-guru biasanya dikaitkan dengan kepuasan dalam kerjaya perguruan tersebut. Kajian oleh Norkiah (1981) dan Abdul Wahid (1995) menunjukkan tidak terdapat hubungan antara tekanan kerja dengan kepuasan kerja. Hasil kajian Tan (1996) pula menunjukkan purata tekanan dalam kerjaya guru berada pada tahap sederhana, manakala dari aspek kepuasan kerja dalam kerjaya tersebut juga berada pada tahap yang sederhana sahaja. Manakala kajian Noor Azzuddin (1990) menunjukkan bahawa memang terdapat hubungan antara tekanan kerja dan kepuasan kerja dalam kerjaya guru.

Dapatan kajian Chan dan Hui (1995) menunjukkan guru menggunakan strategi melarikan dan mengelak bagi menangani tekanan. Hasil kajian ini selaras dengan kajiankajian yang dijalankan oleh Pratt (1978), Borg, Riding dan Fazlon (1991), Siti Rohani (1991) dan Abdul Wahid (1995).

Menurut Halpert (1966), terdapat dua faktor yang menyebabkan tekanan iaitu manifestasi tekanan fizikal dan kedua, berkaitan dengan kecerdasan emosi iaitu perasaan ragu-ragu mengenai keupayaan cara hendak berfungsi di dalam kelas sebagai seorang guru. Punca utama wujudnya tekanan di kalangan mereka disebabkan ketidaksetujuan mereka terhadap guru penyelia berkaitan dengan tugas, tidak bersetuju dengan personaliti guru-guru dan berkonflik dengan murid-murid. Semua ini berkaitan dengan ciri-ciri kecerdasan emosi menurut Goleman (1995) dalam dimensi yang kelima iaitu berkeupayaan dalam mengenali emosi orang lain di persekitaran kerjaya mereka. Begitu juga kajian oleh Pratt (1978) menyokong dapatan kajian Borg, Riding dan Fazlon (1991). Kyriacou (1978), Rudd dan Wiseman (1962) yang melaporkan bahawa tekanan kerja yang dialami dalam kerjaya perguruan disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah tidak ada kerjasama dari murid-murid yang agresif dan hubungan antara kakitangan di sekolah.

Menurut Pratt (1978), tekanan kerja di kalangan guru berpunca dari beberapa kategori iaitu tidak dapat mengatasi masalah pengajaran, tidak ada kesamaan dari murid yang agresif, penekanan kepada pembelajaran murid-murid dan hubungan dengan kakitangan sekolah. Semua ini terdapat dalam elemen-elemen kecerdasan emosi yang dinyatakan oleh Bar-On (1997) dalam domain hubungan interpersonal, dan Goleman (1995, 1998) dalam dimensi membina hubungan dengan orang lain (kemahiran sosial). Keputusan kajian lalu menunjukan tekanan kerja berhubung secara positif dan signifikan dengan kecenderungan niat berhenti kerja dalam kalangan guru sekolah (Kyriacou dan Sutcliffe 1979).

Kajian Kyriacou (1978) menunjukkan kepentingan sokongan sosial dalam menangani tekanan di kalangan guru-guru. Sokongan sosial mendasari keseluruhan strategi-strategi dalam usaha membantu mengatasi tekanan. Strategi ini boleh berupa strategi berbentuk tidak langsung mahupun strategi yang berfokus terus kepada emosi. Oleh itu berdasarkan kajian ini jelas kepada kita bahawa faktor tekanan kerja di tempat kerja khasnya yang melibatkan hubungan interpersonal (Bar-On 1997) merupakan salah satu elemen dalam kecerdasan emosi yang boleh menyumbang kepada peralihan atau berhenti kerja dari sesuatu kerjaya di kalangan para pekerja. Pendapat sama diberikan juga oleh Russel, Altmaier dan Valzan (1987).

Oleh itu sokongan sosial dan kemahiran sosial boleh membantu seseorang pekerja mengurangkan masalah tekanan di dalam organisasinya dan seterusnya mengelak dari untuk berhenti kerja. Ini jelas menunjukkan bahawa elemen dalam kecerdasan emosi membantu mengatasi tekanan dan mengelakkan pekerja dari berhenti kerja dari kerjaya yang mereka telah melibatkan diri.

P/s: Sila sebarkan tips ini kepada rakan lain yang mungkin mendapat kebaikan daripada perkongsian ini dengan meminta mereka merujuk ke blog ini. Terima kasih.

Monday, July 9, 2012

Fadhilat Ramadhan


    Kelebihan Ramadan
  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :
    1. (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :
    (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w)  pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada  umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)

Sunday, July 8, 2012

Langkah-langkah Memupuk Semangat Patriotik Dalam Kalangan Remaja





LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTIK
Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik. Isu yang mencetuskan polemik dalam kalangan media massa saban hari ini pantas meniti dari bibir ke bibir. Remaja acap kali dikaitkan dengan kebejatan sosial dan budaya hedonistik yang begitu cepat merebak umpama virus epidemik. Maka, prakarsa yang pragmatik perlu diambil demi memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi menjadi bubur.
Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan. Program yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu ini sememangnya mempunyai pelbagai maslahat yang amat berguna. Hal ini demikian kerana tentatif program tersebut dipenuhi dengan aktiviti memupuk semangat patriotik seperti latihan kawat kaki, kursus menembak, dan aktiviti berkumpulan. Melalui aktiviti – aktiviti ini, pelatih-pelatih yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati. Hal ini dapat memupuk perpaduan yang merupakan elemen penting dalam semangat patriotik, bak kata pepatah, ’bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.
Di samping itu, tokoh-tokoh yang berjasa dan telah banyak menabur bakti kepada negara sewajarnya dikenali dan dihargai. Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman Limbong dapat menjadi inspirasi dan idola para remaja. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja dan ’tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ agar tidak menjadi lipatan sejarah semata-mata. Para remaja perlulah mengimplementasikan semangat patriotik ke arah yang positif seperti belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras memajukan negara, dan memartabatkan nama negara sehingga Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.
Sebagai kesimpulannya, semangat patriotik amat penting demi kelangsungan negara kita pada masa hadapan. Tanpanya negara hanya gah pada pandangan zahir tetapi pada hakikatnya kosong dan rapuh. Para remaja digalakkan menyertai PLKN dan membaca kehidupan tokoh-tokoh pejuang bangsa bagi menyuburkan kecintaan kepada negara. Pendek kata, ”Negara Kita Tanggungjawab Kita” tema hari kemerdekaan akan direalisasikan oleh warga yang patriotik. Ayuh para remaja, hidup suburkanlah semangat patriotik ke dalam diri kita semua !

Diubahsuai dari Blog Cikgu Nazeli

Langkah-langkah Mengatasi Gejala Vandalisme



LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA VANDALISME
Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan hampir pada setiap hari. Remaja sebenarnya bolehlah dianalogikan sebagai batu permata yang bakal mencorakkan masa depan negara. Namun, mereka tidak sedar akan hakikat tersebut. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Menyedari tentang hal ini, tiadakah usaha-usaha dari pihak tertentu untuk menangani masalah ini? (82 patah perkataan)
Dalam konteks ini, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan penting. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Hal ini termasuklah dengan memberi amaran tegas kepada anak-anak mereka. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”. (100 patah perkataan)
Di samping itu, masyarakat tidak harus berpeluk tubuh apabila gejala vandalisme ‘menjalar’ dengan berleluasa di kawasan perumahan mereka. Perbuatan seperti menconteng dinding bangunan, merosakkan telefon awam, buaian di taman permainan dan tong sampah awam wajar diambil perhatian. Masyarakat di sesebuah kawasan itu perlu mengadakan mesyuarat dengan para ibu bapa tentang gejala itu dan mengenakan tindakan seperti denda berupa bayaran kepada ibu bapa yang didapati anaknya terlibat dalam salah laku ini. Kesannya, ibu bapa akan menjadi lebih peka terhadap tindak-tanduk anak-anak mereka. (81 patah perkataan)
Selain itu, pihak kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen untuk memerangi gejala vandalisme. Pihak kerajaan boleh menyebarkan idea tersebut melalui stesen televisyen dan radio tempatan untuk menangani gejala yang semakin ‘membarahi’ negara ini. Kerajaan juga perlu mengenakan bayaran kompaun yang setimpal kepada sesiapa yang didapati melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan kerosakan harta benda awam. Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan laku musnah ini perlulah melakukan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat seperti menyapu sampah dan membersihkan tandas awam dan taman-taman permainan. Natijahnya, sudah pasti gejala vandalisme akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berwajib. (93 patah perkataan)
Kesimpulannya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemuahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Ayuhlah kita bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah’ (78 patah perkataan)

Dipetik dan diubahsuai dari blog Bahasa Melayu SPM.

Sajak Mengintai Ruang Insaf



Mengintai Ruang Insaf

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan
ancala mulia makin kabur
dan menghilang.

Sekadar songsong aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna,
“Apakah dalam sarat khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?”

Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.

Shukri Abdullah,
Sesudah Hujan Dahlia, 2002,
                  Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd



Maksud Rangkap : 

Rangkap 1
Penyajak berasakan bahawa semakin banyak dosa  yang dilakukannya telah menjauhkan dirinya dari rahmat Allah s.w.t.

Rangkap 2
Penyajak merupakan insan biasa yang seringkali melakukan kesilapan dalam hidup sehinggakan sukar untuk dirinya mendapat cahaya kebenaran dari Ilahi.

Rangkap 3
Penyajak tidak yakin sekiranya ruang keinsafan akan wujud dalam dirinya.

Rangkap 4
Penyajak berharap agar pintu taubat masih terbuka dan dirinya terhindar dari api neraka.


Tema 

 Perasaan insaf seseorang atas kesilapan yang dilakukan dan bertekad untuk bertaubat.


Persoalan. 

1.    Persoalan fitrah manusia yang sering melakukan kesilapan dalam hidup..
2.    Persoalan keinsafan yang wujud dalam diri manusia apabila menyedari kesilapan masa lalu.
3.    Persoalan keinginan untuk kembali mendapat keampunan dan rahmat Allah.
4.    Persoalan kesukaran mendapat rahmat Allah akibat berterusan melakukan dosa dalam hidup.


Bentuk. 

1.    Terdiri daripada empat rangkap

2.    Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada empat baris, rangkap kedua ada enam baris, rangkap ketiga terdiri daripada lima baris manakala rangkap keempat terdiri daripada tiga baris.

3.    Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.

4.    Rima akhirnya bebas abab,abcdbe,aabcd dan abb.

5.    Sajak ini berbentuk bebas.


Nada.
 
 Melankolik.


Gaya Bahasa.
 

1.    Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : tubuhku tercalar duri pidana.

2.    Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Tanpa kembali ke tunjang makna (rangkap 3  baris 2)
           
  • 3.    Pengulangan konsonan k
  •         Contoh :  kerap kakiku tersadung selirat akar (rangkap 2,  baris 2)


  • 4.    Dialog
  •       Contoh : “Apakah dalam sarat khilaf masih terbuka ruang untuk dianugerahkan keinsafan?”


  • 5.     Asonansi :pengulangan vokal i
  •          Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup. (rangkap 2, baris 1)

6.     Pengulangan vokal u
        Contoh : masih terbuka ruang untuk (rangkap 3, baris 4)

7. Metafora
        Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup  (rangkap 2, baris 1)
  
8. Hiperbola
Contoh : Tubuhku tercalar duri pidana (rangkap 2, baris 3)

9. Penggunaan bahasa asing.
Contoh : Rabb (bahasa arab)

10. Sinkope
Contoh : Kerap kakiku tersadung selirat akar.


Nilai 

1.   Nilai keinsafan, contohnya timbulnya perasaan insaf yang mendalam untuk bertaubat akibat kesalahan masa lampaunya.

2.  Nilai rasional, contohnya penyajak mengakui segala kesilapan yang pernah dilakukannya

3.  Nilai kesedaran, contohnya penyajak sedar dirinya telah melakukan banyak kesalahan.


 
    Pengajaran .

  1. Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
  2. Kita hendaklah meneliti minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
  3. Kita hendaklah memiliki kegigihan dalam usaha mngejar ilmu.
  4. Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.