Saturday, September 5, 2015

Latihan Prosa Tradisi - Pelayaran Yang Penuh Perisitiwa

FOKUS SPM 2015 - PROSA TRADISI - PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri. 

     Mendengar percakapan itu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak tersabar lagi lalu menyampuk,
“Wahai tuan-tuan sekalian, adakah patut orang yang serupa ini berhutang rial kepada patik? Sebenarnya dagang yang hina inilah yang telah menjadi tawanannya. Dia seorang pahlawan yang handal.”

     “Kalau begitu,” kata Awang Sulung pula, “memanglah benar kata adinda itu, kerana kakanda telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampas kekanda daripada tangan adinda dan sekarang hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima, maka memohonlah kakanda kembali ke Bandar Mengkalih.”

      Oleh sebab terlalu hampa mendengarkan titah Awang Sulung itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa hendak terjun ke laut, tetapi segera dihalang oleh hulubalang yang ada di situ lalu dibawanya masuk ke magun. Di situ Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah tidak sedarkan diri.

      “Ampun Tuanku, janganlah Tuanku sakat lagi puteri itu, kalau berlaku sesuatu hal kita juga yang susah,” sembah hulubalang itu.
      Kemudian Si Kembang Cina pun berpantun:

“Jangan ditebang gelenggang itu,
      Pucuknya ada berjurai-jurai;
 Jangan dikenang yang hilang itu,
     Sudah jauh digonggong murai.”


(Dipetik daripada ’Pelayaran yang Penuh Peristiwa’ dalam antologi Harga Remaja)



(i) Berikan maksud memohonlah kakanda kembali dalam petikan di atas. [2 markah]

(ii) Apakah tindakan-tindakan hulubalang dalam petikan di atas? [3 markah]

(iii) Perbuatan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang mahu terjun ke laut adalah tidak wajar.
       Berikan alasan anda. [3 markah]



Jawapan:
(i)  -Awang Sulung meminta izin untuk balik

(ii) -menghalang cubaan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang hendak terjun ke laut
-membawa tuan puteri masuk ke magun/ bilik
-meminta Awang Sulung tidak menyakat tuan puteri lagi (kerana akan menyusahkan mereka)

(iii) -salah di sisi agama
-menjejaskan imej baginda sebagai puteri raja/ menjejaskan imej keturunan raja
-menunjukkan bahawa baginda tidak berfikiran matang/ membuat keputusan terburu-buru
-membahayakan keselamatan diri sendiri

No comments:

Post a Comment