Tuesday, August 12, 2014

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang Untuk Dijadikan Contoh Ikutan





CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG.
Merangka Karangan


Pendahuluan: konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa
Isi karangan:  1)  cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian peperiksaan awam, lanjut pelajaran
                     2)   cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan, kepimpinan
                     3)   cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai
                     4)   cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai
Penutup:   kesimpulan am, saranan, harapan.

Karangan Penuh

        Antara tajuk pilihan utama program motivasi ialah tentang ciri-ciri pelajar cemerlang. Malah, kebanyakan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan menjadikan ungkapan pelajar cemerlang sebagai cogan kata utama. Pendek kata, ciri-ciri pelajar cemerlang menjadi dambaan semua pihak sama ada pihak berkuasa pendidikan, masyarakat dan para pemimpin semua peringkat. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau.

         Ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan sentiasa mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan.

         Semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri, apatah lagi daripada pendapat yang bersifat songsang. Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.

           Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.

           Pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij.

          Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti kokurikulum.

          Pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi. Pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Pelajar cemerlang tidak seperti "melepaskan batok di tangga". Batok merujuk kepada bekas air basuhan kaki pada zaman dahulu yang dilempar semula ke bawah setelah seseorang itu menaiki tangga tanpa turun semula.

          Pelajar cemerlang juga menampilkan sahsiah yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.

          Pelajar cemerlang selanjutkan menampilkan ciri asertif secara konsisten. Maksudnya, mereka sentiasa mengimbangi hak diri sendiri dengan hak orang lain. Mereka tidak bersikap agresif, iaitu hanya menjaga hak diri sendiri, atau bersikap permisif dengan hanya mementingkan hak orang lain semata-mata. Sikap asertif bererti tegas diri. Dengan sikap asertif, pelajar cemerlang sentiasa berupaya mempertahan pendirian, tetapi dalam masa yang sama menghormati pendapat yang berbeza. Mereka menyedari bahawa rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain.

          Kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Pelajar cemerlang tidak menganggap bahawa diri mereka serba sempurna, sebaliknya sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan. Maka, wajar sekali ciri-ciri pelajar cemerlang dijadikan slogan dan tema untuk semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan.
 
 
 
Dipetik daripada ;
 
http://cikguazharrodzi.blogspot.com/2011/11/karangan-ciri-ciri-pelajar-cemerlang.html
 

Kepentingan Riadah Dalam Kehidupan Masyarakat

KEPENTINGAN AKTIVITI BERIADAH DAN REKREASI

                                          Harum sudah cempaka hiasan,
                                          Berpuput semilir laungan jiwa,
                                          Aktiviti riadah pencetus wawasan,
                                          Pastinya lahir nusa wibawa

            Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah. Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur.

Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan beriadah  adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa Melayu, badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

            Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5 hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.

            Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka. Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah.

Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing.  Sesungguhnya, muafakat merupakan inti kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke arah pembentukan integrasi kaum.

            Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti orang dewasa.  Seandainya  masa lapang itu tidak dipenuhi secara bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibarat menghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah, bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti riadah.

            Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.
 
http://noraini-ismail.blogspot.com/2011/07/contoh-karangan-cemerlang-spm_06.html
 
Disediakan oleh:
Khairunnisak bt Hassni,Ida Nur Izzaty bt IKhwan Goh,Siti Hawa bt Mahfar dan Nur Baiti Bt Mohd.Aini (5 Sc 1)

Thursday, August 7, 2014

Latihan Rumusan

Soalan 1 : Rumusan

(30 markah)

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang khasiat kunyit dalam bidang perubatan dan masakan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

             Kunyit merupakan sejenis tumbuhan tradisi yang berasal daripada keluarga Zingiberaceace. Tumbuhan ini mempunyai pelbagai nama. Di negara China, kunyit dikenali sebagai Jiang Huang dan Yu Jin. Bagi masyarakat Arab, kunyit sinonim dengan panggilan Kurkum. Masyarakat Indonesia pula memanggil kunyit sebagai Indian Saffraon, Curcuma dan Kunir. Mengikut catatan, kunyit banyak terdapat di kawasan – kawasan tropika dan negara asal yang dikenal pasti bagi tumbuhan ini ialah India. Hal ini memang ada kebenarannya kerana kalau kita perhatikan, masyarakat India kebanyakannya menggunakan tumbuhan tersebut terutama sekali  sebagai ramuan dalam masakan.

            Sebagai sejenis tumbuhan herba, kunyit sememangnya banyak mempunyai khasiat. Selain menjadi rempah ratus dan penyedap dalam masakan, kunyit turut digunakan  dalam perubatan tradisional. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu, ibu kunyit dapat membantu wanita yang baru bersalin untuk membersihkan dan mengecutkan rahim. Mereka juga menggunakan kunyit bersama – sama lada hitam untuk memanaskan badan. Perubatan tradisional turut menggunakan kunyit untuk mengubati penyakit seperti darah tinggi, demam kuning, cirit – birit, batuk, lelah dan sebagainya. Caranya adalah dengan menumbuk kunyit sehingga lumat dan kemudiannya  ditapis untuk diminum.

               Kunyit juga dipercayai dapat mengubati penyakit seperti sakit perut, asma, selain dapat mengurangkan rasa gatal pada mata. Bagi bayi yang menghidap penyakit kulit susu, kunyit yang dicampur dengan kapur dipercayai dapat mengatasinya dengan cara menyapukannya pada bahagian yang berkurap. Kunyit bersifat analgesik dipercayai dapat menyembuhkan luka serta dapat mengurangkan kesakitan. Hal ini dapat dilakukan dengan cara menumbuk kunyit hingga lumat dan seterusnya ditampal pada bahagian yang luka. Kecergasan ibu – ibu selepas bersalin dapat dipulihkan dengan cara mengisar kunyit dan pegaga kemudian airnya diminum. Bukan itu sahaja, malah cara ini dapat menghilangkan keputihan dalam kalangan kaum wanita.

                Di negara China, kunyit telah digunakan sejak beratus – ratus tahun dahulu sebagai bahan perubatan. Menurut pengamal perubatan tradisional negara China, kunyit dapat melancarkan peredaran darah manusia dengan cara menjadikan kunyit sebagai bahan minuman. Bagi seseorang yang mengalami  rasa lebam dan darah beku, ianya akan dapat dihilangkan dengan cara menyapu kunyit yang telah ditumbuk pada bahagian yang tertentu. Di Thailand, penduduknya menggunakan kunyit untuk menghilangkan kesan bisa akibat dipatuk oleh ular tedung. Perubatan tradisional India turut menggunakan kunyit sebagai salah satu bahan herba yang amat mujarab  sebagai pencuci di samping dapat mengubati penyakit kulit atau gatal – gatal. Sebenarnya masih banyak lagi khasiat yang terdapat dalam kunyit. Kita berharap agar para penyelidik akan terus melakukan penyelidikan terhadap tumbuhan tersebut dan seterusnya kunyit dijadikan ubat penyakit kronik yang mujarab.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Kunyit Kaya dengan

Pelbagai Khasiat Boleh diperoleh, Melaka Hari Ini, 20 Julai 2011)

 

 

Sembang Santai



 



Salam hormat buat semua,

Didoakan kepada semua yang sudi mengunjungi blog ini agar sentiasa dalam sejahtera dan beroleh kebahagian hidup. Kebahagian hidup yang sebenar hanya mampu dikecapi apabila kita diberikan kesihatan yang baik.

Alhamdulillah, selepas mencuba beberapa kali, blog saya mampu berfungsi pada petang ini. Sebenarnya saya berhasrat untuk mematikan blog ini pada petang ini kerana terdapat masalah teknikal yang menyebabkan saya tidak dapat menulis atau memuat naik bahan. Sebenarnya saya terharu pada hari ini, kerana beberapa orang pelajar saya membuat komen tentang blog saya yang tidak dikemaskini. Oleh sebab itu, saya berazam untuk membina blog baharu seandainya blog sedia ada ini masih lagi menimbulkan persoalan. Keajaiban tercipta dan saya rasa sangat teruja apabila saya mampu menulis dan memaparkan bahan santai ini.

Ramadhan telah berlalu, semoga kesan Ramadhan mampu menyaluti diri kita agar terus istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab terhadap Allah dan juga melaksanakan tanggungjawab sebagai warga Negara. Tanamkan niat suci untuk bekerja membina agama, bangsa dan Negara bagi mendapatkan keredhaan Allah. Semoga segala usaha kita mendapat ganjaran dan diterima sebagai ibadah untuk bekalan hari hari mendatang.

Syawal masih sempat kita lalui. Biarpun bebanan tugasan tidak pernah habis dalam kehidupan kita, namun Syawal tetap kita raikan dengan penuh rasa kesyukuran. Semoga kita mampu menyelesaikan tugasan dengan menentukan keutamaan yang perlu kita laksanakan. Amalan bermaafan di bulan ini sewajarnya kita manfaatkan agar tiada kekhilafan yang terus bersarang dalam diri kita.

Buat anak-anak didik, Syawal yang menjelma menandakan waktu yang kian suntuk. Dalam beberapa minggu anda akan berhadapan dengan peperiksaan percubaan SPM dan PT3. Kita semua menginginkan pencapaian yang cemerlang namun pernahkah kita terfikir...apa yang kita lakukan untuk cemerlang? Adakah usaha kita setanding dengan orang yang pernah cemerlang? Adakah budaya hidup kita sama seperti mereka yang cemerlang? Adakah jadual pembelajaran kita sama seperti mereka yang cemerlang? Jika jawapannya tidak, itu bererti kita masih bermimpi di siang hari...kita masih berangan-angan..kita belum mampu untuk berjaya.

Marilah kita berubah. Kejayaan kita atas usaha kita. Persekitaran kita hanya mampu membantu dan usaha gigih seharusnya kita yang laksanakan. Jangan hanya kerana sedikit kealpaan dan kecuaian kita, seluruh masa depan kita akan tergantung dan tidak menentu. Belajarlah secara sistematik, agar kejayaan mampu kita julang.

Puteriku



 Comelnya dia...anakanda saya Nurul Batrisyia bt Saharuddin. Kini menjangkau usia 4 tahun



Latihan Novel Papa..


Lengkapkan tempat-tempat kosong di bawah.


Novel ini mengisahkan ______________ (1) yang hidup bahagia dengan bapanya, ___________(2) dan mamanya, _______________ (3) serta pembantu rumahnya, ___________ (4) di ____________ (5). Intan Julia yang berumur ___________ (6) bersekolah di ____________ (7). Di sekolah ini juga ibunya Intan Maliana menjadi guru ____________ (8). Bapanya juga pernah menjadi guru ____________ (9) di sekolah yang sama. Kemudian bapanya menjadi pensyarah ekonomi di ____________ (10). Intan Maliana mengandung lagi bagi memenuhi kehendak suaminya. ____________ (11) dan Mak Cik Noraini melarang Intan Maliana mengandung kerana 17 tahun lalu dia pernah pengsan ketika melahirkan Intan Julia. Doktor terpaksa memerah susu kerana bayi itu enggan minum susu tepung. Intan Julia dilahirkan tidak cukup bulan, hanya ____________ (12) sahaja. Mak Cik Noraini ialah ____________ (13) Jefri. Dia kematian suami dan anak-anak 17 tahun lalu akibat kereta berlanggar dengan lori tangki semasa dalam perjalanan dari __________ (14) ke__________ (15). Mereka hendak pulang berhari raya. Mak Cik Noraini tidak setuju dengan tindakan Jeffri membeli dua buah katil bayi sebagai persiapan menyambut bayi anak kembar. Intan Maliana telah melahirkan anak kembar Siam bernama ____________(16) dan ____________(17) di _______________________________________ (18) di Cheras, Selangor. Anak kembar ini mati di dalam perut dan Intan Maliana koma selama ___________ (19). Jeffri membawa pulang isterinya dan dirawat di rumah sahaja. Selepas SPM, Intan Julia belajar di Kolej Matrikulasi, ___________________________ (20), Gombak, Selangor. Dia tinggal di asrama dan papa keseorangan di rumah. Dia sesekali pulang ke rumah dan menjaga ibunya yang koma. Dia telah berkenalan dengan pelajar baharu bernama __________ (21) semasa di bangku sekolah lagi. Mereka selalu bersama ke perpustakaan, minum di Restoran Starbuck Coffee di Mid Valley dan restoran makanan segera . Dia terserempak dua kali dengan bapa dan ___________ (22) minum bersama. Aisyah merupakah gadis cantik, anak hartawan dan tinggal di Kelana Jaya. Dia merupakan pelajar Jeffri. Di selalu bermain _________ (23) dengan Jeffri dan Intan Julia di Kelab sukan Kelana Jaya. Secara berseloroh Intan Julia menyuruh bapanya berkahwin dengan Aisyah. Rasylan menasihati Intan Julia agar tidak membantah bapanya berkahwin dengan Aisyah. Jeffri pernah menampar Intan Julia kerana isu itu. Rasylan ialah ____________ (24) antara pensyarah UIA, ___________ (25) dengan pembantu rumahnya warga ___________ (26). Pembantu rumah itu balik ke ___________ (27) dan meletakkan bayi itu di tepi jalan kerana malu tidak berbapa. Muaz al Khalibi telah pulang ke Jordan. Jabatan Kebajikan Masyarakat menyerahkan bayi itu kepada _______________ (28) yang tinggal di Taman Sri Andalas , Kelang. Jefri melarang Intan Julia rapat dengan Rasylan kerana tidak ketahuan keturunannya. Rasylan menjadi ________________ (29) Datuk Mustakim. Dia tidak mendapat kasih sayang dan ditinggalkan di rumah sahaja. Rasylan ditinggalkan di rumah ketika keluarga Datuk Mustakim pulang ke kampung di Kuala Kangsar. Jeffri 'bermusuh' dengan Datuk Mustakim kerana ibu bapanya mati dilanggar oleh Datuk Mustakim. Atas rasa bersalah, Datuk mustakim memberi bantu kewangan kepada keluarga Jeffri. Jefri melarang Aisyah masuk ke bilik isteri pertamanya Intan Maliana kerana ___________ (30). Setelah 3 tahun koma dan terbaring di rumah, Mama boleh membuka mata. Mama terkejut apabila melihat Aisyah yang sedang mengandung di sebelah suaminya. Papa memperkenalkan Mak Cik Aisyah dan menjelaskan sebab-sebab dia berkahwin lagi. Namun begitu, mama kelihatan tidak dapat menerima kenyataan itu. Mama tiba-tiba nazak dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sejak kelahiran Julia, papa tidak pernah menangis, namun kali ini papa akhirnya tewas jua

 

 

Blog Mengalami Masalah Teknikal

Blog saya mengalami masalah sejak April..tak boleh nak update bahan. Mohon maaf