Tuesday, October 21, 2014

Peranan Pelajar Memupuk Budaya Penyayang di Sekolah


 
Sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab jelaskan peranan  anda dalam memupuk budaya penyayang di sekolah. 

Sejak tiga dekad belakangan ini, sering didengari kenyataan yang menyebut, bahawa orang Melayu sebagai bangsa Asia yang sangat tinggi nilai hormat dan bersopan santun. Malah nilai itulah yang telah mengangkat imej Malaysia untuk dikenali di seantero alam. Namun, selepas dilanda pelbagai arus perubahan dan ancaman globalisasi yang semakin pantas, nilai-nilai murni itu semakin memupus dalam budaya dan tradisi masyarakat Melayu. Kini dalam pola masyarakat majmuk, masyarakat Malaysia kelihatan komplek. Tiada lagi nilai sopan santun dan hilang budaya hormat dan berkasih sayang. Hukum sesiapa yang kuat dia menang, yang cepat dia dapat, dan yang megah dia gagah sedikit demi secara sedikit membentuk pola baru imej bangsa Malaysia pada abad milenium ini. Oleh itu, sebagai anak muda saya perlu menghayati semula nilai-nilai murni masyarakat agar budaya hormat dapat dinobatkan semula.
 
Isi-isi penting :

Isi 1 : saya perlu menjadi pelajar yang proaktif dalam mengamalkan akhlak yang terpuji – mempamerkan sikap dan tingkah laku yang baik – tutur kata  penuh dengan sopan-santun  - disenangi rakan dan para guru

Isi 2 : menjadi pelajar yang mudah didekati – ular yang menyusur akr tidak akan hilang bisanya - sikap yang sedikit sama dicecah dan yang banyak sama dilapah - senang berkawan, cepat mesra, peramah dan menghormati rakan – menjadi pelajar yang luhur budi bahasa serta patuh kerpada perintah Tuhan

Isi 3 : mengamalkan prinsip dan identiti diri/jati diri – mempunyai prinsip dalam hidup. - bertindak dengan rasional dan matang -  menolak ajakan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depan - tidak mudah terikut-ikut dengan perangai buruk rakan – tegas dan berani kerana benar

Isi 4 : belajar secara istiqamah – menjadi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik,  –mempunyai jadual belajar yang terancang dan sistematik -  mengikuti proses pembelajaran dengan penuh minat dan teliti -  ikhlas membantu rakan untuk sama-sama berjaya dalam akademik

Isi 5 : penglibatan dalam aktiviti kokurikulum – kokurikulum mampu melahirkan modal insan yang unggul dan cemerlang - proses bergaul dengan rakan-rakan secara sihat – menyumbang kejayaan kepada sekolah – mengangkat imej sekolah agar tersohor di persada negara

Kesimpulan : Hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa ialah ungkapan peribahasa yang mendorong seseorang itu agar beriltizam untuk menyumbangkan khidmat dan jasa. Budaya penyayang seandainya dipupuk dan dibaja boleh memberi natijah kepada lahirnya masyarakat yang bertanggungjawab dan prihatin. Oleh hal yang demikian, saya sangat teruja untuk berada di tengah-tengah khalayak bagi meuar-uarkan idea yang baik ini agar terbentuk juga masyarakat yang berbudaya, beretika serta penyayang. Sesungguhnya, inilah Malaysia yang menjadi harapan kita menjelang dekad yang akan datang.

Diubahsuai dari blog ckg Ishak

Kepentingan Subjek Sejarah Dalam Diri Pelajar


 
 Kepentingan Subjek Sejarah Dalam Diri Masyarakat / Pelajar

Perbuatan mengoyak-ngoyak Jalur Gemilang, mempersendakan kalimat dalam lagu Negaraku, merosakkan sumber alam semula jadi, bersekongkol dengan musuh negara, rasuah, dan tidak menghormati undang-undang adalah antara  anasir kerendahan budi bahasa dan lunturnya jiwa patriotik seseorang. Namun demikian, fenomena seumpama itu seolah-olah menjadi kepuasan kepada sesetengah individu untuk menunjukkan diri mereka hebat. Mereka berbangga apabila dikatakan berjaya merobek-robek sistem perundangan, peradaban, dan budaya masyarakat. Tingkah laku keji seperti ini sudah pasti boleh meruntuhkan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat seandainya tiada sebarang tindakan proaktif diambil. Menyedarinya, kerajaan telah mengambil pendekatan mewajibkan subjek sejarah kepada semua pelajar, malahan subjek tersebut diwajibkan lulus pada peringkat SPM. Walaupun terdapat reaksi pro dan kontra, saya berpendapat langkah tersebut sebagai kena pada masa dan situasi untuk mengembalikan hak dan maruah negara agar tidak dicacatcelakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.


Sejak ribuan tahun dahulu sejarah telah dijadikan sumber rujukan untuk melahirkan negara bangsa yang sedar akan asal usul dan akar umbi tamadun. Hal demikian amatlah penting kerana  kejahilan terhadap asal usul boleh melahirkan individu yang mudah menderhaka dan tidak mempunyai jati diri untuk berasa megah terhadap tanah tumpah darah. Oleh itu, sejarahlah yang munjadi murabbi dan mujadid untuk memberikan segala maklumat tentang keadaan sebenar tanah air dan bangsa sendiri. Sama ada dalam bentuk bertulis, monumen, prasasti mahupun serpihan, segala-galanya menjadi penting apabila boleh dirujuk sebagai bahan sejarah. Itulah sahaja wadah yang dapat membezakan kewujudan sesebuah negara dengan negara yang lain. Apabila rakyat telah sedar dan faham hakikat sejarah, justeru fahamlah mereka akan tamadun tanah air sendiri. Sekiranya prakarsa ini dapat diterjamahkan, nescaya amat relevanlah syarat wajib lulus sejarah dalam kalangan pelajar diperkasakan semula.
 

Rakyat dari satu generasi ke satu generasi akan berlalu pergi, sebaliknya negara akan terus kekal  berdaulat.  Demi mempertahankan kedaulatan, maka sejarahlah yang dapat menjelaskan tentang kedudukan sebenar masyarakat dan sistem politik di sesebuah negara. Tanpa pengetahuan yang terdidik tentang sejarah, sudah pasti akan lahir manusia badut yang hanya layak untuk menjadi pelakon di pelbagai pentas. Mereka  gagal menghayati akan harga sebuah kedaulatan dan tidak teragak-agak untuk merosakkan tanah air sendiri. Segala imej tentang tamadun, budaya, sosio politik dan ekonomi yang telah bertapak ribuan tahun akan menjadi catatan di atas kanvas sejarah sahaja. Oleh sebab itu,  rakyat harus faham dan sedia bertolak ansur dalam kalangan masyarakat yang menganut pelbagai ideologi, budaya dan adat resam. Rakyat perlu menghormati antara satu sama lain dan bersatu untuk membentuk bangsa Malaysia yang berasaskan permuafakatan dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui. Dengan hal yang demikian, langkah kerajaan itu adalah tepat sebagai strategi mendidik rakyat agar faham dan tahu akan sejarah terbentuknya negara Malaysia di dalam acuan masyarakat majmuk.
 

Tokoh-tokoh silam dan masa kini tidak pernah berbalah pendapat tentang pernyataan yang menyebut, “Sejarah ialah guru yang paling benar dan sejarah tidak pernah berbohong”. Atas kebenaran tersebutlah, sejarah menjadi elemen paling penting untuk mendidik rakyat memahami sistem bernegara. Sejarah merujuk kepada peristiwa yang pernah terjadi dan peristiwa yang perlu diteladani. Oleh itu, pengalaman landskap sejarah hendaklah dijadikan sumber untuk mengubah tingkah laku masyarakat agar faham tentang sistem pemerintahan dan sistem bernegara. Sejarah mengajar rakyat menghargai negara, menghormati pemimpin yang  telah banyak berjasa dan menghargai betapa bahagianya hidup dalam sebuah negara yang damai dan aman serta makmur. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengambil iktibar daripada catatan sejarah tentang betapa sulitnya untuk menatijahkan negara ini seperti yang wujud pada hari ini. Pengalaman-pengalaman pahit yang telah diharungi generasi terdahulu seperti dalam peristiwa penjajahan kuasa Barat, Perang Dunia Kedua, Darurat dan beberapa episod pertelagahan kaum sudah cukup untuk pemimpin dan rakyat menjadi lebih matang.
 

                Sejarah juga telah dikenal pasti sebagai elemen penting membantu mempercepat pembangunan sesebuah negara. Sesebuah negara akan terus jumud sekiranya tidak mahu belajar daripada sejarah silam. Sesungguhnya, pengalaman inilah yang telah menjadikan beberapa negara seperti Jepun, Korea, Vietnam dan beberapa negara Komanwel di Asia Tengah untuk bangkit menjadi kuasa ekonomi yang gagah. Semua negara berkenaan pada awalnya pernah hancur akibat bahana peperangan yang melanda. Namun, dengan kekuatan rakyatnya menilai semula sejarah, justeru mereka bangkit  untuk membajai semangat patriotisme menjadi bangsa yang berjaya. Hal yang sama turut dikongsi oleh Malaysia yang mampu bangkit dalam tempoh 57 tahun sahaja selepas ratusan tahun kita dibelenggu dalam rahang penjajahan. Pada hari ini, lihatlah sahaja di mana-mana pelosok bumi Malaysia, harapan kejayaan sudah terhidang di hadapan mata. Benarlah hakikat bahawa, rakyat yang kenal sejarah asal usul dan jatuh bangun bangsa mereka sahaja yang mampu bangun untuk mengorak langkah semula
 

                Selain itu, sejarah pasti terus menjadi agenda untuk melahirkan rakyat yang seia sekata dan sederap melangkah serta  sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara. Perasaan sayang dan terhutang budi kepada negara akan membentuk peribadi rakyat yang berjiwa patriotik, berintegriti dan berwawasan.  Mereka akan bersedia pada bila-bila masa untuk menjadi tulang belakang pertahanan negara. Panggilan keramat dalam lirik,
 
inilah barisan kita
yang ikhlas berjuang


akan terus terpahat dalam jiwa dan sanubari anak muda demi menggalas amanah keamanan sejagat. Pada hari ini, walaupun negara sudah aman, panggilan jihad terus terpahat dalam jiwa warganegara apabila ramai yang rela menyahut panggilan untuk menjalankan misi keamanan di seluruh pelosok rantau. Sikap patriotik seperti itu sudah pasti memberi jaminan bahawa ketenteraman dan keselamatan sosial bakal terjamin. Oleh yang demikian itu, janganlah ada pihak yang ingin menangguk di air keruh dengan menyatakan langkah mewajibkan lulus sejarah sebagai tindakan selangkah ke belakang kerana kononnya sejarah tidak mempeunyai nilai komersial.

 
Ratusan tahun kita berjuang untuk mengembalikan maruah dan kemerdekaan tanah air. Kini setelah 57 tahun negara mengecapi kemerdekaan setiap rakyat harus merasai sendiri denyut nadi mengecapi nikmat kemerdekaan. Kita perlu ingat bahawa, mempertahankan kemerdekaan dan kemakmuran yang telah lama dikecapi adalah lebih susah. Oleh itu, seandainya wujud sikap talam dua muka atau gergaji dua mata akibat buta sejarah maka amat wajarlah kerajaan mengambil langkah segera untuk mewajibkan syarat lulus sejarah dalam peperiksaan seandainya langkah tersebut boleh menyelamatkan masa depan negara. Sikap masyarakat yang melupai sejarah akan mengakibatkan hasrat kerajaan untuk merealisasikan wawasan 2020 akan tergugat.
 
Diubahsuai dari blog Ckg Ishak.

 

Langkah-langkah Berjimat Untuk Menangani Kos Sara Hidup Yang Semakin Meningkat

 
Langkah-langkah Berjimat Untuk Menangani Kos Sara Hidup Yang Semakin Meningkat
 
 
Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.

                 Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

                 Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.

                 Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

                 Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.

                 Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.

                 Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.


Sumber : Blog Cikgu Ishak

Tip Menjadi Pelajar Cemerlang





TIP UNTUK MENJADI PELAJAR BERJAYA

KEJAYAAN PASTI MENJADI MILIK ANDA..PENENTU KEJAYAAN ADALAH DIRI KITA SENDIRI.

PASTIKAN ANDA MEMBUAT JADUAL UNTUK MENGULANG KAJI BAHASA MELAYU PADA SETIAP HARI..RUJUK JAWAPAN ANDA KEPADA GURU UNTUK MEMASTIKAN JAWAPAN ANDA BETUL DAN TEPAT.

 

 Mukadimah.

Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia peperiksaan.

Pertama – Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.


Kedua – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.


Ketiga – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.


Keempat – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.


Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.


 

Keenam – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.


Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.


Kelapan – Sentiasa menanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.


Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.


Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.


Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.
Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji
Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.


Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).

Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga. Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.


Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.


Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”


 

 

 

Ke sembilan beas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.


Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.


Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.


Kesimpulan
Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.


Perancangan Untuk Memperoleh Keputusan Cemerlang


1.  Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir. Anda berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

 Jelaskan perancangan-perancangan anda untuk mencapai matlamat tersebut.

Memulakan kalimah bicara ini, saya ingin meminjam kata-kata hikmat daripada Mantan Presiden Indonesia, Seokarno iaitu, “Gantunglah cita-citamu di langit yang tinggi walaupun kakimu menjejaki perlimbahan”. Demikianlah betapa besarnya cita-cita dan wawasan kepada kehidupan seseorang insan yang normal. Hidup tanpa cita-cita, ibarat subur sepohon yang rendang tetapi tidak berbuah. Justeru, cita-cita besar yang sedang saya impikan sekarang adalah untuk menjadi pelajar cemerlang dalam SPM 2014. Demikianlah hasrat yang turut dikongsi bersama oleh ibu bapa serta guru-guru saya juga.  Sungguhpun begitu, cita-cita amatlah ideal untuk diucapkan, sebaliknya terlalu perit untuk diterjemahkan menjadi realiti. Oleh itu, demi memenuhi hasrat murni tersebut, saya hendaklah bersedia dari sekarang dan banyak prakarsa yang harus saya lakukan.

                 Langkah pertama ialah saya perlulah menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahi Allah SWT kepada saya. Nikmat kesihatan merupakan aset peribadi yang tidak boleh dijual beli. Saya amat bersyukur kerana dilahirkan sempurna dengan wajah dan paras rupa yang baik. Allah mentakdirkan kepada saya kesihatan yang baik, pemikiran yang waras, dan emosi yang stabil. Alangkah bernilainya anugerah tersebut. Benarlah bak kata orang tua-tua, “Nikmat sihat itu hanya berada pada seseorang yang sakit”. Dalam usia remaja ini, saya perlu peka terhadap pemilihan makanan dengan memilih makanan yang baik lagi halal dan menjauhi diri daripada mendekati makanan yang berbahaya. Saya amat serius tentang bahaya dadah, arak, dan rokok yang dengan jelas membawa mudarat kepada fizikal dan minda. Pertumbuhan fizikal pun hendaklah saya kawal dengan memastikan rutin harian dan latihan jasmani serta riadah dijalankan mengikut jadual. Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan pesan Nabi SAW dalam sebahagian daripada Hadithnya, “Jagalah nikmat sihat sebelum datang sakit”.

                 Sebagai anak muda yang sedang meniti arus perubahan milenium, saya perlu memiliki visi dan hala tuju yang jelas. Hidup tanpa visi ibarat bahtera di tengah-tengah samudera tanpa nakhoda. Hidup akan terumbang-ambing dan tiada masa depan. Visi saya adalah menjadi insan cemerlang merangkumi dunia dan akhirat. Resepinya, saya perlu belajar ketika usia remaja dan mengenal pasti bidang kemahiran yang cocok dengan jiwa saya. Andai dimakbulkan Tuhan, saya berazam untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya dan kompeten dan mampu menggenggam ijazah sihingga ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D). Walaupun impian itu masih jauh ibarat di seberang lautan, namun kejayaan cemerlang pada peringkat SPM amatlah penting. Sememangnya, semua pihak sudah maklum bahawa SPM menjadi pananda aras untuk seseorang itu menentukan hala tujunya. Insya-Allah sekiranya saya gigih dan digarapi semangat juang, sesungguhnya di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan.

             Asas utama yang tidak kurang pentingnya untuk mencapai kejayaan ialah strategi belajar yang berkesan. Dalam masa yang sangat suntuk ini, saya perlu lebih bijak merancang strategi pembelajaran agar dapat mengimpakkan hasil. Oleh itu, saya perlu melipatgandakan latihan daripada koleksi soalan tahun-tahun sebelum. Saya perlu memperkukuh daya ingatan yang kadang-kadang memerlukan saya menghafal atau membuat latih tubi. Prakarsa yang efektif yang mampu saya lakukan adalah dengan membuat beberapa nota kecil yang bersaiz poket dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Konsep belajar secara berkumpulan juga hendaklah saya amalkan sebagai salah satu daripada strategi belajar secara berkesan. Percambahan idea dan sikap saling memberi dan menerima dengan rakan-rakan hendaklah saya utamakan. Pendapat rakan harus diraikan dan tidak pula lokek untuk menyumbangkan idea. Sesungguhnya, inilah sikap saling membantu bak aur dengan tebing.

                 Meminjamkan sepotong firman dalam al Quran yang bermaksud, “Bertanyalah kepada yang bijak seandainya kamu tidak tahu” jelas menuntut supaya saya sentiasa berdampingan dengan tokoh-tokoh ilmuwan. Mereka itu pastilah para guru, ikon-ikon yang berjaya dan golongan profesional dalam bidang yang ingin saya ceburi. Sekiranya ingin menjadi tokoh korporat maka golongan peniaga yang harus didekati atau jikalau mahu menjadi pemimpin nescaya tokoh-tokoh politik, pemimpin masyarakat, dan NGO yang wajar saya dekati. Daripada merekalah akan terbina motivasi untuk saya merancang masa depan. Sikap malas belajar dan malu bertanya harus dikikis daripada jiwa dan sanubari, bak kata peribahasa minta pada yang ada, mengaji pada yang tahu dan sentiasa berwaspada sikap malu bertanya sesat jalan, malas berkayuh perahu hanyut.

                Kendatipun, sebagai hamba-Nya, sebanyak manapun perancangan yang disusun, Allah SWT tidak boleh saya lupakan sama sekali dalam segala urusan. Allah tahu akan apa-apa yang tersurat dan tersirat di dalam benak sanubari kita. Saya yakin kepada qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Namun, atas sifat pemurah-Nya, doa dan kegigihan tidak pernah menghalang untuk kita berjaya. Saya cukup yakin, hasil ramuan usaha yang gigih dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah pasti segala yang dihajati akan menjadi kenyataan. Ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain akan saya implementasikan dengan istiqamah. Saya sangat pasti selangkah kita ke hadapan mahupun selangkah surut ke belakang, Allah pasti bersama-sama kita. Oleh itu, dalam menggapai impian dan wawasan, Allah jangan sama sekali dijauhi.

                 Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
                Bagai bunga kembang tak jadi

 Serangkap pantun di atas mengajari saya bahawa dalam melengkapkan cita-cita, justeru usaha, ilmu, dan keiltizaman hendaklah diolah dengan sebaik mungkin. Adat muda memikul tugas dan muda juga tidak berulang datang, justeru untuk memastikan segala hajat dan impian terlaksana maka usia muda hendaklah saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya, saya amat yakin apabila segala persediaan diri berada di atas trek yang betul, insya-Allah segala impian pasti menjadi kenyataan.