Tuesday, February 4, 2014

Perkataan Berbeza Makna Tetapi Hampir Sama Bunyi

Menambah Perbendaharaan Kata.



1. hemat - Pada hemat saya, mesyuarat hari ini amat perlu ditangguhkan dahulu.
....hemah - pelajar itu memiliki hemah yang terpuji.

2. 
kerangka - Kerangka bangunan itu hampir siap dibina dengan menggunakan kayu.
....rangka - Mereka menemui rangka manusia di tepi sungai itu.

3. 
perap - "Jangan perap daging ayam itu terlalu lama", kata ibu kepadaku.
....perah - "Tolong perah kain basah itu sebelum dijemur", kata emak kepada kakak.

4. 
melarik - Saya melarik buluh itu dengan pisau supaya licin dan kemas.
....melirik - Gadis itu melirik sambil tersenyum kepada Encik Santosh.

5. 
mentaksir - Pegawai itu mentaksir pendapatannya pada setiap tahun.
....mentafsir - Saya cuba mentafsir kata-kata yang diucapkan kepada saya tadi.

6. 
menjurus - Soalan itu menjurus pada soalan bentuk pilihan.
....menjirus - Hayati menjirus badannya dengan air untuk menghilangkan panas.

7. 
mengubah - Lin Cheng Heng mengubah meja itu ke belakang kelas.
....menggubah - Ajila Ajijul menggubah lagu untuk ibunya yang tersayang.

8. 
menghembuskan - Yow Weng Fei menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam.
....menghemburkan - Pemuda itu menghemburkan kata-kata kesat kepada pemandu bas.

9. 
menatap - Hamreesh menatap muka gurunya yang bengis itu.
....meratap - Jibon meratap dengan sedih apabila bapanya meninggal dunia.

10. 
meraung - Hak Le meraung kesakitan apabila kakinya tersepak batu.
......melaung - Mathew melaung dengan kuat sambil memanggil nama Jibon.

11. 
menyumpah - Peter menyumpah pelajar yang suka berludah di atas lantai itu.
......menyampah - Cikgu menyampah melihat pelajar yang suka berbual di dalam kelas.

12. 
rencam - Dia melakukan tugas-tugas rencam di pejabat pada setiap hari.
......rencah - Suka duka merupakan rencah kehidupan manusia di muka bumi ini.

13. 
diharap - Santoshlah yang diharap mewakili sekolah dalam acara badminton.
......digarap - Puisi itu digarap dengan penuh teliti dan kreatif.

14. 
laksana - Mukanya berseri-seri laksana bunga mawar yang sedang berkembang.
......laksamana - Hang Tuah menjadi laksamana semasa pemerintahan Sultan Muzaffar.

15. 
sering - Peter sering ponteng sekolah kerana berkunjung ke kafe siber.
......seiring - Tong Mang Kok berlari seiring dengan pelumba dari Johor itu.

16. 
menghidap - Yow Weng Fei menghidap selesema H1N1 sejak minggu lepas.
......menghadap - Dia menghadap ke tingkap sambil memerhatikan burung berkicau.

17.
 secocok - Pasangan pengantin baru itu sungguh secocok.
......secucuk - Santosh makan secucuk sate yang dibelinya di kedai Pak Mat.

18. 
sasaran - Tendangan penalti pemain Mancister itu menepati sasaran.
......sesaran - Proses mampatan akan menghasilkan sesaran pada lapisan bumi.

19. 
tergolong - Malaysia tergolong dalam kumpulan negara sedang membangun.
......tergulung - Semasa saya tiba, tikar getah itu masih tergulung dengan rapi.

20. 
sepadan - Pasangan kekasih di atas kerusi itu amat sepadan.
......sempadan - Sungai Muar menjadi sempadan di antara Johor dengan Melaka.

21. 
persatuan - "Kamu mesti menghadiri aktiviti persatuan pada petang ini", katanya.
......penyatuan - Penyatuan masyarakat hanya akan terbentuk jika ada sikap menghormati.

22. 
menembuk - Cik Mat menembuk kertas itu dengan menggunakan jarum.
......menembok - Pihak sekolah akan menembok kawasan tepi sekolah dengan tembok batu.

23. 
sembang - "Buat kerja kamu dan jangan sembang sahaja", kata Encik Kulasingam.
......sumbang - "Suara nyanyian kamu tadi amat sumbang sekali", kata pengadil itu.

24. 
menyeluruh - Kemajuan di kampung ini akan dilaksanakan secara menyeluruh.
......menyeloroh - Sikapnya yang suka menyeloroh membuat kami tidak kering gusi.

25. 
belot - "Kami telah menangkap mereka yang belot itu", kata ketua tentera itu.
......belut - Pak Kasim berjaya menangkap tiga ekor belut di tepi sungai tersebut.

26. 
mengindahkan - Pihak kerajaan telah mengindahkan kawasan bandar bagi menarik
pelancong.
......mengendahkan - Yow Meng Thoi tidak mengendahkan nasihat yang diberi oleh ibunya.

27. 
menyerap - Tumbuh-tumbuhan hijau akan menyerap gas Karbon Dioksida.
......mencerap - Pengetua sedang mencerap pelajar di kelas 5 Sains 2.

28. 
mengabaikan - Kita tidak boleh mengabaikan pelajaran kita.
......mengaibkan - Perbuatan buruknya itu telah mengaibkan keluarganya sendiri.

29. 
tapak - Tapak bangunan lama itu akan dimajukan sebagai pusat pelancongan.
......tepak - Encik Gundu memberi tiga biji tepak berisi sireh kepada tetamunya.

30. 
menyuraikan - Encik Chew telah menyuraikan pelajar yang berkumpul di kantin.
......menyuarakan - Dia menyuarakan kekesalannya kerana tidak dapat hadir semalam.

31. 
bertitah - Sultan Maarof sedang bertitah di atas singgahsana.
......bertatah - Rantai leher yang dipakainya bertatah berlian dan permata.

32. 
gumpal - Kami menemui tiga gumpal wang kertas lama di dalam gua itu.
......gempal - Badannya kelihatan agak gempal dan kulitnya keputih-putihan.

33. 
mencolek - Adik mencolek sedikit kek itu dengan jarinya.
......menculik - Penjahat itu menculik anak Encik Tong untuk mendapatkan tebusan.

34. 
memerah - Hamreesh sedang memerah susu kambing di belakang rumahnya.
......memeras - "Jangan cuba untuk memeras pelajar yang lemah", kata Encik Chew.

35. 
melencong - Pagi itu dia tidak ke sekolah tetapi melencong ke tempat lain.
......melancong - Pada cuti penggal pertama dia melancong ke Bangkok.

36. 
bertelur - Penyu itu sedang bertelur di tepi pantai.
......bertelor - Pemuda itu bertutur dengan bertelor Kelantan.

37. 
berkenan - Ibu amat berkenan dengan baju yang bercorak batik itu.
......berkenaan - Ceramah itu adalah berkenaan dengan penyalahgunaan dadah.

38. 
menempa - Ahli sukan itu telah menempa nama dalam bidang karate.
......menempah - Puan Chong menempah makanan daripada pekerja di kantin itu.

39. 
menyurut - Air banjir di kampung itu semakin menyurut sejak semalam.
......menyorot - Pada waktu lapang, dia suka menyorot sajak-sajak di buku lama itu.

40. 
melagakan - Dialah yang telah melagakan Ah Chong dengan Ayapan sehingga bergaduh.
......melegakan - Air kelapa itu dapat melegakan tekak yang kering.

41. 
melayukan - Cuaca panas itu melayukan sayur-sayuran yang ditanamnya.
......melayurkan - Ibu melayurkan ulam-ulaman itu ke dalam air yang sedang mendidih.

42. 
mengibas - Chong Jun Nam mengibas habuk di badannya dengan menggunakan tuala.
......mengimbas - Hilmi mengimbas kembali kenangan manisnya ketika bersama Hayati.

43. 
pedalaman - Kawasan pedalaman di Sabah akan dilengkapi dengan jalan raya.
......pendalaman - Kerja pendalaman sungai itu menelan belanja yang amat tinggi.

44. 
merimaskan - Cuaca yang panas ini amat merimaskan para pelajar.
......meramaskan - beliau meramaskan limau itu kedalam air lalu digunakan sebagai air mandian.

45. 
benteng - Pasukan Chalsi membina benteng untuk menyekat kemaraan penyerang pasukan Mancister.
......beting - Beting di tepi pantai itu terhakis apabila dilanda ombak besar.

46. 
menuntun - Ibu menuntun tangan adik ketika melintas jalan.
......menonton - Setiap malam, dia akan menonton rancangan berita di televisyen.

47. 
pujuk - Budak yang sedang menangis itu telah kami pujuk.
......pojok - Di pojok bilik itu terdapat sebuah kerusi dan sebuah meja lama.

48. 
beradat - Hidup kita mestilah beradat agar dihormati oleh orang lain.
......beradab - Hong Wei seorang pelajar yang tidak beradab dan sombong.

49. 
hempas - Gelas itu saya hempas ke lantai sehingga pecah.
......hampas - Semua hampas kelapa itu boleh dijadikan makanan ternakan.

50. 
lengan - Lengan Foo Siow Wooi luka kerana terkena kaca.
......lengang - Pada Hari raya, jalan raya di bandar raya itu amat lengang.

51. 
tabik - Tentera itu memberi tabik ketika diperiksa oleh ketuanya.
......tabib - Dia bertemu tabib untuk mengubati penyakitnya.

52. 
resmi - Sudah menjadi resmi manusia, suka berbelanja apabila banyak duit.
......rasmi - Majlis hari ini ialah majlis yang rasmi dan kita mesti berpakaian kemas.

53. 
padan - Baju yang dipakainya itu amat padan dengan bentuk tubuhnya.
......pandan - Mereka menggunakan pandan supaya makanan itu bertambah harum.
 

Kekeliruan Penggunaan Perkataan ialah dan adalah



 
KEKHILAFAN PENGGUNAAN IALAH DAN ADALAH

Perkataan ialah dan adalah merupakan dua perkataan yang amat lumrah digunakan dalam penulisan hari ini. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan agak sukar untuk menemukan tulisan yang tidak menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Kedua-dua perkataan ini dikatakan telah masuk ke dalam kosa kata bahasa Melayu belakangan ini. Hal ini akan menjadi jelas jika diteliti buku klasik Melayu Sejarah Melayu kerana dalamnya kita tidak akan bersua dengan perkataan ialah ataupun adalah. Demikian juga dalam Hikayat Hang Tuah, tidak ada penggunaan kedua-dua perkataan ini. Menurut Asmah Hj Omar (1994), perkataan ialah terbentuk daripada perkataan ia dan lah manakala adalah pula masuk ke dalam bahasa Melayu dari bahasa Indonesia. Perkataan ini digunakan sebagai padanan bagi kopula yang wujud dalam bahasa Belanda.

Walaupun perkataan-perkataan ini sudah begitu lazim di kalangan pengguna bahasa Melayu, namun terdapat kekhilafan di kalangan pengguna dalam hal penggunaannya yang betul dan mengikut aturan nahu Melayu. Menurut Tatabahasa Dewan (1994), kedua-dua perkataan ini termasuk kelompok kata prafrasa atau perkataan-perkatan yang diletakkan di awal atau di depan frasa. Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja, atau frasa adjektif (Nik Safiah Karim et al. 1994:245). Dan, kedua-dua perkataan adalah danialah merupakan jenis kata pemeri. Kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat (Nik Safiah Karim et al. 1994:250).

Walaupun kedua-dua kata pemeri boleh digunakan untuk memerihal dan merangkaikan subjek dengan frasa, namun ada aturan untuk menggunakannya. Penggunaannya bukanlah secara sewenang-wenangnya. Sebenarnya, ada dua cara pemerihalan itu dapat dilakukan, iaitu secara persamaan atau secara huraian.

Untuk memerihalkan secara persamaan atau ekuatif, kata pemeri ialah digunakan. Perhatikan beberapa contoh penggunaan jenis ini di bawah:

1.     Yang berbeza ialah bentuk dan sifatnya.

2.     Bukti jelas ialah kita masih mempunyai program membantu rakyat yang termiskin.

3.     Lokasi yang sering diberi tumpuan ialah kawasan perumahan, pusat perkelahan pinggir sungai dan pantai.

Dalam ayat-ayat di atas, kata pemeri ialah diletakkan di hadapan frasa nama bentuk dan sifatnya, kita, dan kawasan perumahan, pusat perkelahan pinggir sungai dan pantai. Kesemua frasa ini ialah frasa nama; oleh hal itu, perlulah disusuli kata pemeri ialah.


Sekarang kita perhatikan pula beberapa penggunaan kata pemeri adalah di bawah ini. Perkataan adalah digunakan untuk memerihalkan secara huraian atau kualitatif. Perhatikan beberapa contoh penggunaan di bawah:

1.     Rumah yang dijual adalah terlalu kecil.

2.     Tujuan projek itu adalah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi persatuan itu.

Seperti yang diperhatikan dalam ayat-ayat di atas, kata pemeri adalah diletakkan di hadapan frasa adjektif seperti terlalu kecil dan frasa sendi nama untuk mendapatkan sumber sumber kewangan. Dengan yang demikian, yang menjadi jelas kepada kita bahawa kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama sahaja, manakala kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Hal ini juga bermakna adalah tidak boleh hadir di hadapan frasa nama dan frasa kerja, dan demikian juga ialah tidak boleh diletakkan di hadapan frasa kerja atau frasa adjektif ataupun di hadapan frasa sendi nama. Walaupun sudah ada aturan penggunaan sedemikian, namun kita sering bersua juga dengan ayat-ayat yang menggunakannya dengan salah, dan adakalanya digunakan secara tukar ganti, iaitu secara sewenang-wenangnya, seolah-olah kedua-dua kata pemeri itu bersifat sinomim.

Sekarang marilah kita perhatikan beberapa contoh penggunaan kata pemeri yang tidak betul dan pembetulannya di bawah: Mula-mula kita lihat kekhilafan penggunaan kata pemeri ialah.

1.     *Tujuan projek ialah untuk mendapatkan wang sebanyak RM4 juta. (Sepatutnya: Tujuan projek adalah untuk mendapatkan wang sebanyak RM4 juta).

2.     *Objektif DPKL membina rumah kos rendah antaranya ialah untuk menampung keperluan kediaman golongan berpendapatan rendah. (Sepatutnya: Objektif DPKL membina rumah kos rendah antaranya adalah untuk menampung keperluan kediaman golongan berpendapatan rendah).

Kini, kita perhatikan pula penggunaan kata pemeri adalah yang tidak tepat dalam contoh-contoh yang berikut:

1.     *Peningkatan kos ini adalah akibat kenaikan harga bahan binaan. (Sepatutnya: Peningkatan kos ini ialah akibat kenaikan harga bahan binaan).

2.     *Pelajar adalah aset penting negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan. (Sepatutnya: Pelajar ialah aset penting negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan).

3.     *Kebanyakannya adalah pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang gerakannya dicetuskan oleh aktivitis Barat. (Sepatutnya: Kebanyakannya ialah pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang gerakannya dicetuskan oleh aktivitis Barat).

4.     *Cadangan untuk mewujudkan program kerahan tenaga adalah suatu langkah yang positif. (Sepatutnya: Cadangan untuk mewujudkan program kerahan tenaga ialah suatu langkah yang positif).

Yang jelas daripada contoh-contoh yang dipaparkan di atas, masih terdapat kekhilafan di kalangan pengguna bahasa Melayu dalam hal menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Yang menjadi menarik di sini ialah sebahagian besar contoh dalam makalah ini dipetik daripada salah sebuah majalah popular, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka! Seperti yang kita ketahui, bahasa yang baik ialah yang tertakluk kepada aturan dalam bahasa tersebut. Jika pengguaannya mengikut kelaziman, kesewenangan, dan ketidakaturan, sudah tentunya akan menjadi kucar-kacir bahasa tersebut.

Daripada huraian di atas, jelas juga kepada kita bahawa adalah dan ialah tidak boleh diletakkan sebelum frasa kerja. Amalan meletakkan kata pemeri di hadapan frasa kerja memang menyalahi nahu Melayu. Oleh itu, kita perlu mengelakkan membina ayat-ayat seperti yang berikut:

1.     *Hampir kesemua filem Barat adalah berorientasikan komersil (Sepatutnya: Hampir kesemua filem Barat berorientasikan komersil).

2.     *Perjuangan sebelum merdeka ialah menuntut kemerdekaan dalam segala bidang, iaitu ekonomi, politik, dan sosial. (Sepatutnya: Perjuangan selepas kemerdekaan adalah untuk menuntut kemerdekaan ekonomi, politik, dan sosial).

3.     *Sebelum merdeka perjuangan masyarakat jelas ialah menuntut kemerdekaan dalam semua bidang. (Sepatutnya:Sebelum merdeka perjuangan masyarakat jelas adalah menuntut kemerdekaan dalam semua bidang).

4.     *Salah satu objektif sosial dalam pembangunan perumahan di Malaysia ialah menyediakan perumahan yang murah untuk keperluan rakyat. (Sepatutnya: Salah satu objektif sosial dalam pembangunan perumahan di Malaysia adalah untuk menyediakan perumahan yang murah untuk keperluan rakyat).

5.     *Adalah dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua hari sempena Hari Raya Puasa. (Sepatutnya: Dengan ini dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua hari … atau Pelajar-pelajar dimaklumkan bahawa sekolah akan tutup selama dua hari…).

6.     *Kejayaan wanita dalam pendidikan mereka adalah disebabkan oleh kesedaran mereka sendiri. (Sepatutnya: Kejayaan wanita dalam pendidikan mereka disebabkan oleh kesedaran mereka sendiri).

 
Dalam hal penggunaan kata pemeri, terdapat suatu lagi amalan yang tidak betul. Amalan itu ialah penggunaannya yang bersifat kelewahan. Dengan erti kata yang lain, penggunaannya tidak diperlukan, tetapi digunakan dalam penulisan. Kita perhatikan contoh penggunaan seumpama itu di bawah:

1. *Dia ialah guru. (Sepatutnya: Dia guru).

1.     *Masalah itu adalah merupakan masalah besar. Sepatutnya: Masalah itu merupakan masalah besar).

2.     *Tindakan yang berterusan gejala maksiat. (Sepatutnya: Tindakan yang berterusan perlu bagi menutup semua gejala maksiat).adalah perlu bagi menutup semua

3.     *Persembahan penyanyi itu adalah sungguh hebat. (Sepatutunya: Persembahan penyanyi itu sungguh hebat).

Seperti yang dipaparkan dalam contoh-contoh di atas, penggunaan adalah dan ialah tidak diperlu atau tidak wajib digunakan dalam ayat-ayat di atas. Dalam ayat 21, misalnya, sudah memadailah jika ayat tersebut dibina dengan dua frasa, iaitu ‘persembahan penyanyi itu’ + ‘sungguh hebat’ kerana ayat ini dibina berdasarkan pola FN + FA. Ayat ini tidak perlu kata pemeri adalah untuk memerihalkan secara persamaan atau ekuatif dalam frasa tersebut. Dalam ayat ini, persembahan penyanyi itu ialah frasa nama, manakala frasa adjektifnya adalah sungguh hebat. Dalam hal ini, pernah pelajar-pelajar saya berhujah bahawa meninggalkan kopula ialah dan adalah dalam ayat mencacatkannya, dan ada juga yang rasa janggal jika ayat tidak ada kopula. Nyata pandangan mereka itu tidak tepat kerana dalam bahasa tidak tertakluk kepada rasa janggal atau kepada rasa sedap atau tidak sedap. Rasa janggal dan tidak sedap itu timbul kerana pelajar-pelajar tidak biasa dengan 4 pola ayat dalam bahasa Melayu.

Mungkin gejala tersebut terjadi kerana pengaruh bahasa Inggeris. Oleh sebab wujud kata gerund seperti am, is, are, was, dan were dalam semua ayat bahasa Inggeris, maka pengguna bahasa Melayu pula mencuba memadankan kata-kata itu dengan kata pemeri adalah dan ialah. Sebenarnya, amalan memadankan gerund dengan adalah atau ialah dalam bahasa Melayu tidaklah tepat. Kata pemeri dalam bahasa Melayu digunakan untuk memenuhi fungsi-fungsi yang tertentu seperti yang dinyatakan pada awal makalah ini. Tidak wajar untuk memasukkan unsur yang tidak menjadi milik bahasa Melayu ke dalamnya.

Mudah-mudahan makalah ini sedikit sebanyak dapat membantu para pengguna bahasa Melayu menjadi lebih peka kepada aturan menggunakan kedua-dua kata pemeri ini. Dalam hal ini, penggunaannya berdasarkan aturan dan bukannya secara sewenang-wenangnya perlu ditegaskan oleh para pendidik kita kepada pelajar-pelajar terutamanya supaya kekhilafan ini dapat diperbetul. Marilah kita bersama-sama memantapkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita!

Perkongsian Pengalaman - Menunaikan Ibadat Umrah


 
Catatan Sebuah Perjalanan - UMRAH

(Lakaran rasa : Saharuddin bin Abdullah)

 

Alhamdulillah, pada 28 Mei 2012 sehingga 10 Jun 2012, saya bersama dua orang sahabat iaitu Encik Anizan Molaham dan Encik Samsuri Rasib telah berpeluang untuk menjadi tetamu Allah iaitu berpeluang mengunjungi Kota Madinatul Munawarah dan Mekatul Mukarramah. Suatu perjalanan yang telah begitu lama didambarkan dan diimpikan. Perancangan untuk perjalanan ini diatur hampir 3 tahun, maklumlah untuk satu perjalanan suci dan memerlukan perbelanjaan yang banyak dan persediaan yang sewajarnya.

 

Pada Jun 2011, setelah berbincang dan membuat penilaian kendiri, kami mengesahkan dengan Syarikat Yiros Tours and Travel untuk perjalanan ini. Memang mendebarkan kerana memikirkan dosa-dosa yang membaluti diri dan memikirkan dugaan dan rintangan yang akan dihadapi apabila berada di kota suci itu nanti. Namun, kami tekadkan azam dan kuat semangat, apa jua cabaran dan halangan, akan kami hadapi demi untuk menyucikan jiwa.

 

Setelah semua persediaan selesai iaitu kursus umrah, membuat pasport, membuat visa, membuat pemeriksaan kesihatan dan membeli peralatan untuk beribadah, maka pada 28 Jun bermulalah sebuah perjalanan yang dinanti-nantikan. Syukur kepada Allah kerana sempat membuat kenduri doa selamat agar selamat pergi dan balik serta dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.

 

Saya bertolak dari KLIA dengan penerbangan EITHAD Airways. Berlepas dari KLIA pukul 8.20 malam dan sampai di Abu Dhabi pukul 10.20 malam. Transit di Abu Dhabi 2 jam. Sempat melihat panorama Airport Abu Dhabi yang cantik dan tersergam Indah tetapi harga barangan sangat mahal. Air Mineral 8 dirham dan nescafe panas 18 dirham.  Sekadar untuk merasa, maka saya beli jua. Waktu di Abu Dhabi lewat 7 jam dengan waktu kita di Malaysia.

 

Pukul 12.40 malam saya berlepas dari Abu Dhabi ke Jeddah. Penerbangan mengambil masa 6 jam. Suasana dalam penerbangan agak melucukan. Pelbagai ragam yang mencuit hati berlaku kerana pramugari berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Arab dan sebahagian besar sahabat-sahabat dalam penerbangan adalah orang kampung yang hanya tahu berbahasa Melayu.

 

Kira-kira pukul 6.40 pagi (29 Jun) kami tiba di Airport Jeddah. Airport Jeddah tidaklah secanggih KLIA. Turun dari pesawat, kami dibawa dengan bas ke Terminal Haji. Selepas melalui pemeriksaan imigresen, kami solat subuh. Selepas itu, satu taklimat diberikan oleh agensi untuk perjalanan seterusnya. Bahang udara panas mulai dirasai dan kami dimaklumkan suhu di Jeddah, Madinah dan Mekah antara 48 hingg 52 darjah Celsius.

 

Kami menaiki bas dari Jeddah ke Madinah. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam. Pemandangan padang pasir mengiringi sepanjang perjalanan kami. Suasana berbukit dan berbatu batan kelihatan di kiri kanan jalan raya. Kira-kira 10 kilometer sebelum tiba di kota Madinah, mutawiff menceritakan tentang sirah Rasulullah. Hati kami mula sebak, tergambar dalam pemikiran betapa hebat dan tabahnya Rasulullah menjalani kehidupan di padang pasir sepanjang hidupnya. Kira-kita 5 kilometer sebelum memasuki kota madinah, kami sama-sama berselawat bagi mengingati junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

 

Alhamdulillah, pukul 11.00 pagi kami menjejak kaki di bumi Madinah. Walaupun cuaca panas, tetapi hati sangat teruja kerana kami telah berada di tanah haram. Kami mendaftar di Hotel Rejal, kira-kira 200 meter dari Masjid Nabi. Suatu fenomena luarbiasa dapat dilihat iaitu apabila azan berkumandang semua kedai akan ditutup dan peniaga-peniaga bergegas ke Masjid Nabi untuk solat berjemaah. Kami solat Zohor di hotel sahaja kerana kepenatan.

 

Kira-kira pukul 3.00 petang, pertama kali saya memasuki Masjid Nabawi. Ya Allah, terujanya untuk berada di sisi Rasulullah. Selepas solat Asar, saya dibawa untuk melihat Makam Rasulullah. Kami masuk melalui pintu utama. Dalam perjalanan menuju ke makam Rasulullah bersama himpitan ribuan manusia, air mata mulai menitis. Nampak sahaja pintu makam kami sampaikan salam…Asalamualaika Ya Rasulullah, Asalamualaika Ya Habibullah. Di sebelah makam Rasulullah terdapat Makam Syaidina Abu Bakar dan Syaidaina Umar. Selama 4 hari berada di Kota Madinah, setiap hari kami akan menziarahi Makam Rasulullah dan mengambil kesempatan berada dan berdoa di Raudhah. Kami juga menyampaikan salam rakan-rakan untuk junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Kami mengadakan ziarah ke Masjid Quba, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh, Kubur Baqi’ dan Kebun Kurma. Pada petang Khamis kami membuat ziarah wada’ ke Makam Rasulullah. Sedih rasa hati kerana akan berjauhan dengan Rasulullah.

 

Selepas Solat Jumaat (31 Mei 2012), kami meninggalkan kota Madinah. Kami bersiap dengan pakaian Ihram. Perjalanan ke Kota Mekah mengambil masa kira-kira 7 jam. Kami miqat di Bir Ali untuk umrah pertama. Tiba di hotel kira-kira pukul 10.45 malam. Selepas mendaftar, kami terus di bawa untuk umrah pertama.

 

Tanggal 31 Mei 2012 – jam 11.45 malam, pertama kali memasuki Masjidil Haram melalui laluan Bukit Marwah. Ya Allah, bersyukurnya kerana dapat melihat Kaabah di depan mata. Kami sama-sama sujud syukur. Selepas itu, kami tawaf dan saie secara berjemaah. Selepas tawaf, kami solat sunat tawaf bertentangan dengan Multazam. Semua Jemaah menanggis kerana terlalu gembira dapat berada di Masjidil Haram. Kami selesai saie dan bertahlul kira-kira pukul 3.00 pagi. Kami terus menunggu untuk solat subuh yang akan masuk pada pukul 3.30 pagi. Memang terasa kepenatan, namun kegembiraan dapat menenggelamkan kepenatan. Selepas sarapan pagi, kira-kira pukul 6.00 pagi, saya membawa isteri dan anak-anak untuk tawaf dan saie kerana mereka tidak ikut serta dalam tawaf dan saie secara berjamaah.

 

2 Jun 2012 – Kami dibawa melawat ke Jabal Thur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Mudzalifah, Jamrah di Mina dan Jabal Nur. Antara yang menarik ialah di Jabal Rahmah, tempat pertemuan ADAM dan HAWA selepas terpisah kerana melanggari arahan ALLAH ketika di Syurga. Apabila mendengar penerangan mutawif, terdetik dihati untuk hadir semula bagi menyempurnakan ibadat haji suatu ketika nanti. Selepas lawatan selesai, kami ke Masjid Ja’ranah untuk miqat umrah kedua. Sampai di Masjidil Haram kira-kira pukul 11.00 pagi, kami terus melakukan tawaf, saie dan bertahlul untuk umrah kedua.

 

3 Jun 2012 – program bebas, kami mengambil kesempatan untuk tawaf sunat dan beribadah di Masjidil Haram. Terasa terlalu kerdil di sisi ALLAH dan terlalu banyak dosa yang membaluti diri.  Selepas tawaf sempat solat di Multazam, memegang Kaabah dan Solat di Hijir Ismail. Pukul 4.45, kami mengikuti tazkirah berkaitan sirah Rasulullah yang disampaikan oleh Ustaz Khairul di dewan makan hotel.

 

4 Jun 2012 – Kami dibawa melawat ke Muzium Haramain dan ladang ternakan unta. Ketika sampai di lading unta, kami sempat bergambar dan minum susu unta. Di Muzium Haramain, terdapat pelbagai barangan lama Masjidil Haram yang disimpan dan dipamerkan. Kebetulan ketika itu, kami bertemu dengan Imam Besar Masjidil Haram iaitu Abd Rahman bin Sadas. Kami miqat di Masjid Hudaibiyah untuk umrah ketiga. Sampai di Masjidil Haram pukul 11.00 pagi, kami terus melaksanakan tawaf, saie dan bertahlul.

6 Jun 2012, kami melakukan umrah keempat. Kami menaiki van ke Masjid Tanaim untuk miqat. Tambang van ialah 10 riyal seorang dan kami pergi bersama 16 orang jamaah. Pukul 8.30 pagi, kami tiba di Masjidil Haram untuk melakukan tawaf , saie dan bertahlul.

 

8 Jun 2012 – Aktiviti bebas. Kami mengambil kesempatan membeli beberapa barangan sebagai kenangan-kenangan. Terlalu banyak barangan yang ada disekitar hotel. Kekadang nafsu mengatasi diri, apabila tiba di hotel barangan yang dibeli terlalu banyak. Terpaksa mencari beg dan kotak untuk mengisi barangan yang dibeli. Pada sebelah petang kami mengerjakan tawaf sunat dan beberapa orang rakan berjaya mengucup Hajarul Aswad. Isteri dan anak lelaki saya juga berjaya mengucup Hajarul Aswad. Dikesempatan ini, dihadapan Kaabah kami mendoakan keafiatan rakan-rakan seperjuangan, kecemerlangan anak-anak didik dalam peperiksaan, kesejahteraan kaum keluarga dan dihindari sekolah daripada gangguan makhluk halus yang mengganggu situasi pengajaran dan pembelajaran.

 

9 Jun 2012 – Selepas solat Subuh kami melakukan tawaf Wada’. Terharu dan sangat sedih kerana kami akan meninggalkan Kaabah dan Masjidil Haram. Ya Allah, berikan kami kesempatan untuk hadir lagi, dan jika ditakdirkan inilah kunjungan kami yang terakhir, maka haramkan jasad dan roh kami dari menjadi bakaran api neraka. Pukul 9.00 pagi, kami bertolak dari hotel ke Airport Jeddah. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Penerbangan kami pada pukul 4.30 petang dari Jeddah ke Abu Dhabi. Kami tiba di Abu Dhabi kira-kira pukul 6.50 petang.

 

10 Jun 2012 - Kami transit di Abu Dhabi selama 6 jam. Suasana di Airport Abu Dhabi sangat sejuk. Kira-kira pukul 2.40 pagi, kami bertolak dari Abu Dhabi ke KLIA. Penerbangan mengambil masa kira-kira 6 jam. Kami mendarat di KLIA pukul 2 petang (waktu Malaysia). Setelah selesai pemeriksaan imigresen kami mengambil bagasi dan sanak saudara telah menanti di balai ketibaan. Alhamdulillah, kami selamat pergi dan kembali untuk meneruskan tugasan harian.

 

Sesungguhnya perjalanan ini sangat menyeronokkan. Sama-samalah kita berazam untuk mengunjugi Kota Madinah dan Kota Mekah.

Bahasa Melayu Terus Dipinggirkan

ISU BAHASA : Apabila rakyat Malaysia tidak tahu bahasanya




Oleh : REJAL ARBEE

TULISAN seorang insan bernama Shashi Kumar dari Shah Alam dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris Sabtu lalu membuka mata kita betapa kurang minat dan perhatian diberikan oleh sesetengah rakyat negara ini terhadap bahasa negara mereka sendiri iaitu bahasa Melayu.

Anehnya mereka ini sering sahaja mendabik dada bahawa mereka ialah orang Malaysia sejati apabila ditegur tidak patriotik. Apa rakyat Malaysianya kalau bahasa negara sendiri pun tidak tahu malah tergamak berkata 'gua tak boleh cakap Melayu' bila ditegur sapa atau ditanya dalam bahasa Melayu.

Orang begini sememangnya tidak patriotik sebagaimana dinyatakan Shashi Kumar. Apa tidaknya dengan negara sudah pun lebih 55 tahun merdeka tidak sepatutnya masih wujud rakyat negara ini yang tidak boleh bercakap Melayu dan sedikit pun tidak mahu berusaha untuk boleh bertutur bahasa negara ini yang mereka sendiri akui sebagai negara mereka.

Apakah orang macam ini tidak berasa malu bahawa pekerja asing baik dari Bangladesh, Nepal, India, Vietnam atau dari mana sahaja pun boleh bertutur bahasa Melayu hanya setelah berada di sini selama beberapa bulan sahaja? Inikan bagi mereka yang kononnya rakyat Malaysia dilahirkan di sini selama berpuluh tahun lalu tetapi sedikit pun tidak mahu berusaha untuk menguasai bahasa negara sendiri.

Kita masih boleh terima mereka yang sudah pun berada di sini sejak sebelum merdeka tetapi tidak berpeluang untuk menggunakan bahasa Melayu kerana telah bergaul sesama puak mereka sahaja.

Pengabaian terhadap penggunaan bahasa Melayu di negara ini oleh anasir-anasir tertentu sedemikian termasuklah beberapa pemaju perumahan. Ia memberi gambaran semacam ada arahan atau peraturan daripada Persatuan Pemaju supaya ahli-ahlinya mengabaikan sahaja penggunaan bahasa Melayu.

Apa tidaknya dalam risalah-risalah jualan perumahan yang diedarkan hanya ditulis dalam bahasa Inggeris dan Mandarin sahaja. Sepatah perkataan Melayu pun tidak terdapat dalam risalah-risalah itu melainkan nama pemaju itu sahaja, seperti Keris Properties Sdn. Bhd. atau nama Jalan di mana perumahan itu sedang dibangunkan.

Risalah demikian berterusan diedarkan dengan menyelitkannya dalam akhbar yang diedarkan ke rumah-rumah termasuk akhbar berbahasa Melayu.

Yang lebih menakjubkan pemaju begini sanggup pula mengedarkan risalah mereka di kawasan-kawasan Melayu misalnya di Shah Alam.

Ia memberi gambaran seolah-olah mereka mencabar rakyat dan pihak berkuasa terhadap penggunaan bahasa negara sendiri. Pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih prihatin tidak membenarkan pemaju demikian berleluasa mengabaikan bahasa negara sendiri.

Tentunya kita tidak terfikir rakyat negara-negara seperti Perancis, Jepun atau pun Jerman akan mengabaikan bahasa mereka sendiri.

Masalahnya warga negara macam ini belajar di sekolah Cina di mana mereka diajar BM hanya untuk lulus mata pelajaran itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tidak ada usaha sebenar untuk membolehkan murid-murid sekolah demikian dapat menguasai dan boleh bertutur BM dengan baik.

Ini adalah kerana pelbagai pertubuhan Cina seperti Dong Zong begitu sekali menekankan semua orang Cina perlu menguasai bahasa Mandarin. Sememangnya tidak salah bagi mereka memberi perhatian kepada bahasa mereka tetapi tentunya tidaklah sehingga mengabaikan BM hingga nak bercakap Melayu pun tidak boleh.

Hasrat demikian inilah yang menyebabkan kenapa begitu ramai lulusan sekolah Cina yang berterusan bergaul sesama sendiri hingga berpendapat mereka tidak perlu tahu bercakap BM atau tidak berusaha cuba dapat bertutur BM. Mereka seolah-olah bukan berada di bumi Malaysia tetapi di Hong Kong, Taiwan atau China.

Sudah tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu untuk memastikan mereka ini sekurang-kurangnya boleh bertutur BM. Jabatan Pelajaran harus membuat ketetapan agar seorang calon kertas BM untuk SPM tidak akan diluluskan kiranya tidak lulus dalam ujian pertuturan bahasa Melayu.

Peraturan demikian inilah sahaja yang akan 'memaksa' murid-murid sekolah Cina berusaha lebih serius menguasai BM atau sekurang-kurangnya boleh bercakap Melayu.

PENULIS ialah Fellow Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).