Saturday, December 24, 2011

Gurindam 12 Fasal yang Keenam



Puisi Tradisional - Tingkatan 4.

Rangkap 1
Saranan supaya memilih teman yang dapat membantu ketika susah dan senang.

Rangkap 2
Saranan agar berguru dengan seseorang yang benar-benar berilmu dan dapat menyelesaikan setiap kemusykilan.

Rangkap 3
Saranan supaya memilih isteri yang patuh dan setia kepada suami.

Rangkap 4
Saranan agar mencari teman yang memiliki semangat setiakawan


Tema
Nasihat dalam memilih orang yang ingin kita dampingi

Persoalan
1. Persoalan kepentingan memilih sahabat yang boleh membahagiakan.
2. Persoalan kebijaksanaan dalam memilih guru .
3. Persoalan kepentingan mempunyai isteri yang setia


Bentuk
1. Terdiri daripada empat rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada dua baris.
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara empat hingga lima.
.Cahari olehmu akan sahabat (4 perkataan)
• Yang boleh tahukan tiap seteru (5 perkataan)
4. Terdiri daripada sembilan hingga sebelas suku kata.
• Yang boleh dijadikan ubat ( 9 suku kata)
• Cahari olehmu akan isteri ( 11 suku kata)
5. Rima akhir syair ini ialah aa
6. Bentuk gurindam ini terikat dengan puisi tradisional.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Cahari olehmu akan sahabat – pengulangan vokal a
2. Aliterasi - Yang boleh menyerahkan diri - pengulangan konsonan n
3. Sinkope - Cahari olehmu akan sahabat (rangkap 1 baris 1)
4. Penggunaan kata klasik : cahari
5. Penggunaan bahasa kiasan - Yang boleh menyerahkan diri (mahu menurut kata suami)

NILAI :
1. Nilai kebijaksanaan.
Kebijaksanaan seseorang memilih sahabat, guru dan isteri akan memberi manfaat kepadanya.

2. Nilai ketaatan.
Seorang isteri perlu taat dan setia kepada suami.

3. Nilai keikhlasan
Seseorang sahabat perlu ikhlas dalam menjalinkan perhubungan.

Pengajaran.

1. Kita haruslah mencari sahabat yang dapat memahami dan bersama-sama ketika susah dan senang.
2. Kita mestilah berguru dengan orang yang benar-benar bijaksana agar dapat membimbing kita.
3. Seseorang suami haruslah bijak memilih isteri yang setia agar perhubungan mereka berkekalan.

"INTERLOK" DALAM KENANGAN - KASIH YANG DISENTAP - NAMAMU TETAP DALAM MINDAKU




INTERLOK sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) bagi mata pelajaran bahasa Melayu untuk pelajaran Tingkatan Lima pada tahun hadapan kemungkinan dimansuhkan setelah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam membuat pengumuman mengenai status novel itu dilihat mendahului Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Bahasa sebagai wahana fikiran dan fungsi komunikasi digunakan untuk menyampaikan mesej dan idea dengan pelbagai gaya bahasa. Gaya bahasa terarah kepada budaya komuniti bahasa. Ini berbeza dengan ilmu bahasa atau linguistik sebagai satu disiplin yang mengandung sistem bahasa sesuatu komuniti bahasa.

Sehubungan dengan itu, gaya bahasa dalam karya kreatif tidak mutlak sebagai sistem tetapi lebih akur kehendak budaya masyarakat. Titik utama penggunaan bahasa dalam apa-apa medan dan lapangan berdasarkan prinsip asas bahasa tegak berdasarkan sistem dan budaya.

Isunya novel sastera menjadi polemik kerana segelintir pihak gemar menggunakan politik sebagai asas perhitungan mempopularkan diri. Walhal karya kreatif yang berunsurkan semangat kebangsaan seperti novel Interlok karya Abdullah Hussein diterbitkan pada 1971 antara tulisan pascamerdeka. Penulis sezamannya terutama Arena Wati (Sandera, 1971) dan Aziz Jahpin (Pulanglah Perantau, 1971) mengutarakan idea dan tema novel yang bersifat sejarah dan menyemarakkan semangat kebangsaan melalui aplikasi bahasa Melayu sebagai wadah perjuangan umat Melayu. Antara novelnya ialah Putera Gunung Tahan (1937) dan Anak Mat Lela Gila (1941) karya Ishak Haji Muhammad.

Bahasa Melayu sebagai medium menyalurkan semangat kebangsaan sekian lama terutama menyalurkan idea dalam karya sastera Melayu moden pada 1920-an telah menanam sifat ‘bahasa jiwa bangsa.’

Kebebasan jiwa seorang penulis tidak terbatas dan pemikiran kreatif terpancar melalui karya kreatif termasuk karya fiksyen tetapi olahan dan manipulasi bahasa puitis dan gramatis menggambarkan realiti kehidupan dalam negara yang pelbagai kaum perlu menjadi garis panduan dan pedoman rakyat.

Pengungkapan idea dan pemikiran dalam genre sastera, iaitu prosa dan puisi yang banyak konsep dan bayangan melalui ungkapan, kalimat simbolik dan gaya bahasa kreatif dari aspek fungsi wahana perhubungan menjadi paksi perpaduan.

Malah karya kreatif yang dilihat dari aspek politik ditokok isu sensitif seperti agama, dan kaum dengan penuh prejudis hanya menimbulkan perasaan kurang senang.

Dalam teks novel yang berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman berkenaan membabitkan penghijrahan kaum pekerja dari luar termasuk dari Selatan India. Penulis menggambarkan situasi dalam kapal itu bersesak-sesak antara golongan Brahmin dan golongan Kysatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api dan buruh di ladang getah.

Penaakulan yang waras dan akademik menghayati karya sastera dan sejarah dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berasaskan perasaan dan politik yang hanya menafikan asal usul dan kaum itu sendiri. Pemain politik yang membangkit sentimen kaum hanya satu perenggan dalam novel semata-mata memperlihatkan tahap pendidikan dan politik baru.

Harapan masyarakat Malaysia bahawa politik baru dan media baru tidak meminggirkan idea dan pemikiran keindahan gaya bahasa dalam tulisan karya kreatif atau bersifat akademik apalagi sejarah yang mencatat fakta dan data.

DR ZULKEFLEE YAACOB,
Presiden Majlis Bahasa Melayu Kebangsaan,
Tanjung Malim, Perak.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

SELAMAT KEMBALI - "KONSERTO TERAKHIR".



BERAKHIRNYA "INTERLOK" DAN KEMBALINYA "KONSERTO TERAKHIR"


KUALA LUMPUR: Novel "Konserto Terakhir" karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, akan menggantikan novel "Interlok" sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar Tingkatan 5 mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata penggantian teks KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia itu membabitkan pelajar bagi Zon Dua meliputi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.

"Novel Konserto Terakhir sudah melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ditetapkan, dan sesuai digunakan sebagai teks Komsas berdasarkan nilai dan mutu karya yang dihasilkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Kabinet memutuskan penggunaan novel Interlok yang juga karya Abdullah, sebagai teks Komsas Tingkatan Lima tidak akan diteruskan mulai tahun depan.

Keputusan itu dibuat berikutan timbulnya rasa kurang senang sesetengah masyarakat selain bagi mengelak pihak tertentu daripada terus mempolemikkannya.

Novel Konserto Terakhir yang pernah dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima di Zon Dua dari 2000 hingga 2010, berkisar mengenai perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara. - BERNAMA

Friday, December 23, 2011

PMR 2011 - Antara tangisan suka dan tangisan duka.



Tahniah, syabas kepada calon PMR 2011 yang telah memperoleh kejayaan yang gemilang. Itulah hasil yang dikecap setelah anda bertungkus lumus dalam memerah keringat, mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi untuk mengejar sebuah kejayaan. Terbukti sudah, usaha gigih anda dan kaedah belajar yang sistematik telah membuahkan kejayaan yang cemerlang. Kata-kata hikmah yang berbunyi, usaha luar biasa, sudah pastilah hasilnya juga luar biasa. Anda boleh tersenyum megah dan menangis kegembiraan atas kejayaan ini. Tetapi jangan sesekali anda lupa, disebalik kejayaan itu, ada tangan-tangan yang menjolok dan melonjak anda dari belakang. Siapa ? Sudah pasti ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan kaum keluarga. Sokongan dan dorongan mereka adalah pembakar semangat dan perangsang yang sangat bermakna sepanjang anda berusaha ke arah kejayaan itu. Ucapkanlah rasa terima kasih anda kepada mereka semua, tanda anda sangat menghargai mereka biarpun mereka sekadar hanya menumpang kegembiraan anda. Jangan lupa untuk memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah mengurniakan anda nikmat sihat, nikmat meerasai kegembiraan dan nikmat untuk berjaya. Jika mampu, lakukan sujud syukur sebagai tanda syukur kepada Allah yang tidak mampu kita lafazkan dengan kata-kata.

Kepada calon-calon yang kurang berjaya, usah dikesali atau ditangisi apa yang anda peroleh. Marilah kita muhasabah diri, inilah hasil atas usaha yang cuma sedikit yang kita lakukan selama ini. Inilah keadilan Allah Yang Maha Esa. Kita tidak mampu menanggis kegembiraan kerana usaha kita tidak sepertimana mereka yang berjaya. Semoga keinsafan membalut tubuh kita dan detik ini kita jadikan teladan agar tidak berulang kembali dalam peperiksaan SPM nanti. Semoga kita bangkit atas kesilapan lalu, semoga kita telah sedar daripada lena dan impian yang tidak dapat direalitikan. Ketahuilah, kita asih belum terlambat, PMR hanya sekadar ujian pertama yang mengajar kita untuk lebih matang. Yang pasti, SPM lebih bermakna yang akan menjadi tiket untuk membina sebuah kehidupan yang bererti. Marilah kita berubah untuk sebuah perjalanan hidup yang masih panjang dan juga satu perjalanan hidup yang lebih mencabar.

Akhir kalam, sama ada kita berjaya atau kurang berjaya kehidupan tetap diteruskan. Beruntunglah mereka yang mampu berfikir tentang kehidupan masa hadapan tanpa ada perasaan putus asa dan yakin atas kehebatan dan kemampuan diri sendiri. Didoakan semoga tidak ada pelajar yang 'sombong' atas apa yang mereka kecapi hari ini kerana kealpaan dan bangga diri boleh memusnahkan kehidupan yang lebih bermakna untuk hari-hari yang mendatang.

Friday, December 16, 2011

Berakhirnya SPM 2011



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T kerana dengan izin NYA peperiksaan SPM 2011 telah berjaya disempurnakan dengan jayanya. Dengan berakhirnya peperiksaan itu, bermakna selesailah sesi pengajaran dan pembelajaran sesi 2011. Tahniah kepada semua calon yang dapat menjawab semua soalan dengan jayanya dan didoakan semoga kalian semua akan berjaya dengan cemerlang.

Memartabatkan Bahasa Melayu



MBMMBI GAGASAN JAMIN KETAHANAN BAHASA MELAYU JADI SEMAKIN KUAT

DASAR Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), boleh dianggap sebagai gagasan yang mampu menjamin ketahanan bahasa Melayu, agar terus kekal selain menjadi semakin kuat.

Bermula pada 2012, selain memastikan generasi muda kita cekap berbahasa Inggeris dalam zaman modenisasi dan globalisasi ini, menerusi pendekatan yang lebih berwaspada mengenai imperialisme bahasa Inggeris, ia boleh menentukan generasi muda kita mempunyai perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Pemupukan perasaan begini penting memandangkan zaman ini yang dikuasai oleh bahasa Inggeris sebagai bahasa paling berpengaruh, boleh dan sudah meminggirkan banyak bahasa, khususnya yang kecil dan tidak terkecuali juga yang besar.

Peminggiran ini berlaku kerana negara berkenaan didapati tidak maju ketika menggunakan bahasanya sendiri. Oleh itu, kuasa Barat Inggeris berpendapat bahawa negara mundur ini perlu diserapkan ke dalam sistemnya yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat, selain kejayaan ekonomi negara. Ini sebetulnya pemikiran dominan di sebaliknya pelaksanaan PPSMI pada 2003.

Dengan menggunakan bahasa Inggeris, Malaysia diyakini boleh maju dengan kadar yang lebih cepat dan disanjungi pula di persada antarabangsa kerana dapat ikut menyumbang kepada khazanah budaya global. Khazanah global ini sesungguhnya adalah himpunan peradaban Amerika Syarikat dan United Kingdom. Dua buah negara ini adalah pusat kuasa politik dan ekonomi dunia, yang bukan saja menggunakan bahasa Inggeris, tetapi ingin memastikan bahasa mereka itu ikut digunakan di seluruh dunia.

Atas nama kemajuan dan keantarabangsaan inilah, Malaysia sanggup mengetepikan bahasa pribuminya untuk digantikan oleh bahasa Inggeris, bahasa kuasa besar dunia, untuk pelaksanaan PPSMI khasnya dan pengendalian sistem pendidikan negara amnya. Alasan yang diberikan ialah peralihan bahasa ini bukan saja penting, tetapi amat perlu sekiranya Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam zaman yang mementingkan penggunaan bahasa global Inggeris ini.

Sesungguhnya kita perlu berhati-hati ketika diundang atau bercadang untuk menyerapkan model Barat ini. Jaminan bahawa selepas kita menggunakannya melalui pola linguistik bahasa Inggeris, Malaysia bukan saja boleh menjadi amat maju, tetapi berupaya mengecapi kejayaan politik dan ekonomi yang besar, perlu diwaspadai. Ini adalah kerana dasar imperialisme Barat wujud menerusi pelbagai dakyah licik. Antaranya adalah kaedah sosial dan psikologi untuk membinasakan harga diri rakyat negara yang disasar, selain nilai bahasa dan budaya mereka.

Ini dilakukan antaranya dengan melabelkan pendekatan negara berkenaan mengendalikan sistem di dalamnya, baik yang politik, ekonomi, sosial mahupun budaya, sebagai cara lama. Oleh itu, ia perlu ditukarkan dengan cara baru, yang menggunakan model yang mementingkan bahasa Inggeris.

Oleh sebab kemunduran akibat tidak menggunakan model Barat sebelum ini, kuasa Barat Inggeris berpendapat bahawa negara mundur ini perlu dididik untuk mengamalkan sistemnya, yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan wahana utama. Sehubungan ini, Malaysia ikut terperangkap oleh dakyah halus ini apabila melakukan peralihan bahasa ilmu menerusi PPSMI.

Dengan terlaksananya PPSMI, kita dipuji kerana berjaya melakukan peranjakan daripada tahap lama yang menggunakan bahasa pribumi sendiri, ke tahap moden yang menggunakan bahasa global terpenting. Ia dianggap langkah bijak kerana bahasa Melayu yang didakwa hanya sesuai untuk memaparkan pengetahuan lama yang statik, didapati tidak layak lagi digunakan untuk mengungkapkan ilmu semasa yang dinamik sifatnya. Oleh itu, peranjakan ini bukan saja boleh menjadikan negara kita amat maju, tetapi yang lebih penting lagi Malaysia dianggap moden.

Sebetulnya dengan terlaksananya PPSMI, kita terjebak dengan fenomena rasisme bahasa, yang digunakan kuasa Barat Inggeris untuk memerangkap mana-mana negara yang alpa. Rasisme bahasa merujuk kepada keadaan yang memperlihat diskriminasi antara bahasa negara maju dengan yang sebaliknya. Sehubungan ini, bahasa negara maju dianggap lebih sesuai digunakan dalam kehidupan moden. Manakala bahasa negara tidak maju dihadkan peranannya sebagai layak dikaitkan dengan khazanah budaya lampau saja.

Berlandaskan rasisme bahasa, bahasa yang digolongkan sebagai moden dianggap sebagai sistem linguistik paling sesuai untuk digunakan dalam komunikasi moden. Antaranya dalam sistem pendidikan kini, domain ekonomi semasa dan corak pemerintahan dewasa ini. Sehubungan ini, mana-mana bahasa pribumi hanya sesuai dijadikan lambang jati diri komuniti penutur asalnya. Itupun jati diri lampau saja yang tidak lagi mempunyai sebarang nilai komunikasi moden dan kepentingan budaya pada masa kini.

Oleh itu, dasar MBMMBI perlu memastikan pendidikan bahasa Inggeris dilakukan atas landasan kepentingan bahasa global itu, khususnya dalam bidang pendidikan sebagai bahasa sumber ilmu dan arena antarabangsa selaku bahasa perhubungan. Sebaliknya, imperialisme bahasa Inggeris yang boleh menyerapi domain pendidikan dan lain-lain, perlu ditangani oleh dasar ini.

Dengan cara ini, ia sudah tentu dapat memastikan ketahanan bahasa Melayu. Untuk ini, dasar MBMMBI perlu memastikan peranan bahasa Inggeris di negara ini sentiasa melengkapi, selain mendukungi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ini penting untuk mewujudkan ekologi linguistik yang lebih sihat.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tuesday, December 13, 2011

Jangan Persenda Hukum Islam




Islam Sudah Sempurna, Cuma Kita (Manusia) Yang belum Sempurna. Jangan Persoal/Persenda Tentang Hukum Allah.Kita boleh mempersoalkan dan berbahas dalam permasalahan sejagat tetapi jangan dalam hal hukum. Moga kita jadi insan yang sentiasa dalam rahmat ALLAH.

Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.

Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.

Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.

"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima ‘hudud Pas’. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada ‘hudud PAS’, tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.

Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.

Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan “binasa diri” jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.

"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang ‘memberi khidmat’?


"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.

Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.

Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.

"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.

Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.

Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.

"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.

"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.