SEMANGAT KEJIRANAN YANG UTUH.
Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang
kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun
bak serai. Sehubungan dengan itu,
kebanyakan anggota
masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan
mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada
lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa
semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan
semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan
usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan
dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan
bermasyarakat.
Sebenarnya
semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota
masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui
penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan
tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis
sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua
jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra,
saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit,
bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang
dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya
membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain itu semangat kejiranan juga
penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat
yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan
bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah
dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya,
semangat kejiranan membolehkan
semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang
berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial
masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi,
bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam
membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan
negara ke arah kegemilangan.
Di samping itu,
semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan
melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada
rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat
hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat
diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika
masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala
kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat
dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan
telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan
taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan
kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan
perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat
tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat
dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan
oleh pihak kerajaan.
Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya
yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat
berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan
melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen
penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni,
mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan
kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat
diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan
pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam
sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas
sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo
mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal
Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka
melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di
persada antarabangsa.
Semangat kejiranan
yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga
penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong
asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik,
mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam
komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik
kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya
pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta
tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang
amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar,
produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar
bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan
masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu
memberangsangkan kepada negara.
Intihanya, semangat kejiranan merupakan
sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang
menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah
dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting
dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah
sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang
dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang
bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat
memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.
(Perkongsian Maklumat : Blog Pn Noraini Ismail)
No comments:
Post a Comment