Thursday, September 12, 2013

Ciri ciri Remaja Berilmu

 
 
“Jika kita ingin melihat dunia pada masa hadapan, lihatlah pemuda-pemudinya yang hidup pada hari ini”. Demikianlah pepatah Arab yang mengetengahkan betapa besarnya peranan remaja pada masa ini. Adakah remaja pada hari ini hebat-hebat belaka sehingga dipertanggungjawabkan sedemikian? Sejauh manakah ilmu seseorang remaja itu untuk mendominasi masa hadapan yang cemerlang, gemilang dan terbilang? Di sinilah terletaknya martabat ilmu yang sangat tinggi nilainya untuk dimiliki oleh seseorang remaja. Namun, apakah langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk menjadi remaja yang berilmu?

Pertama, remaja tersebut hendaklah mempunyai kerajinan yang tinggi agar tidak alpa dalam kehidupan materialistik masa ini. Kerajinan yang dimaksudkan ialah kerajinan yang menjurus kepada ketekunan remaja tersebut untuk mengulang kaji pelajaran, membuat latihan kendiri, dan menyiapkan kerja sekolah yang telah dibekalkan oleh guru mereka. Ketelitian dan kesabaran dalam menyelesaikan tugasan yang diberi perlu dititikberatkan supaya seseorang itu dapat melatih diri untuk menulis jawapan yang betul dan padat. Latihan secara berperingkat-peringkat perlu dipantau oleh ibu bapa atau guru-guru mereka secara aktif.

Seterusnya, seseorang remaja perlulah bijak mengurus masa dalam kehidupan sehariannya memandangkan masa itu emas. Bagi mengendalikan pengurusan masa yang terkawal, remaja tersebut digalakkan untuk mewujudkan jadual hariannya untuk belajar tetapi masih fleksibel untuk dirinya melakukan perkara lain. Jadual hariannya mestilah merangkumi setiap mata pelajaran yang dipelajarinya dan dibahagikan masa secara adil, bak kata peribahasa, seduit dibelah tujuh. Aktiviti riadah juga signifikan untuk mereka merehatkan minda daripada kekusutan yang dialami sekiranya balajar secara berterusan. Mereka bolehlah melakukan aktiviti senggang seperti berjoging, mendengar muzik, berbasikal dan sebagainya.

Selain itu, untuk menjadi remaja berilmu, individu tersebut hendaklah memiliki disiplin yang cemerlang kerana disiplinlah yang membentuk jati diri seseorang. Patuhilah peraturan-peraturan sama ada di sekolah, di rumah dan sebagainya. Remaja yang bedisiplin dapat mengawal tingkah lakunya dengan baik tanpa teguran daripada mana-mana pihak. Contohnya ialah dating awal ke sekolah, mematuhi peraturan sekolah, tidak merosakkan harta-benda sekolah, dan tidak melakukan jenayah. Maka, remaja itu harus berwaspada dengan keadaan di sekitarnya dan tidak mudah dipengaruhi. Jati diri yang kental sentiasa mengatakan ‘tidak’ kepada sesuatu perkara yang negatif.

Dari perspektif yang lain pula, sikap merendah diri juga perlu untuk menjadi remaja yang berilmu. Jadilah seperti padi yang semakin berisi, semakin tunduk dan bukanlah lalang yang semakin berisi, semakin tegak. Elakkanlah sikap membangga diri dengan ilmu yang kita miliki. Kita sepatutnya merendah diri dengan bertanya kepada guru tentang apa yang tidak difahami sepenuhnya. Dengan ini, kita dapat mengetahui dengan selanjutnya mengenai sesuatu perkara. Bukankah semakin bertambah ilmu kita?

Langkah seterusnya untuk menjadi remaja yang berilmu ialah seseorang itu perlulah menjadikan dirinya sebagai ulat buku. Pelbagai bahan bacaan boleh didapati dewasa ini melalui pelbagai sumber termasuklah pusat sumber, melayari internet, dan juga daripada kedai-kedai buku seluruh negara yang banyak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Remaja seharusnya mengambil langkah bijak dengan membaca bahan-bahan ilmiah dan bukan sahaja majalah hiburan serta komik. Cukuplah sekadar sebuah buku setiap hari. Jika berkesempatan, tambahlah bahan bacaan ilmiah supaya akal kita sentiasa berkembang dengan input-input baru daripada bahan yang telah dibaca.

Wawasan hidup juga amat penting untuk menjadi remaja yang berilmu. Seorang remaja yang berwawasan akan bersungguh-sungguh untuk mengejar hala tuju yang diimpikan. Setiap perkara yang diidam mesti diikuti dengan usaha yang secukupnya kerana yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. Misalnya, jika remaja tersebut bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang ahli astronomi, mereka perlulah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menggapai wawasan hidupnya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa, tanpa ilmu siapalah kita untuk mengejar angan-angan sedemikian. Janganlah kita menjadi seperti Mat Jenin yang hanya tahu berangan-angan kosong.

Kesimpulannya, pelbagai perkara boleh dilaksanakan untuk menjadi remaja yang berilmu. Remaja yang bijak mengambil kesempatan pasti menjadi remaja yang berilmu. Setiap perkara yang dihajati haruslah diiringi dengan usaha yang proaktif selain berdoa kepada Tuhan bagi mencapai hajat kita. Remaja dewasa ini perlulah menggunakan ruang dan peluang yang ada di depan mata dengan sebaik mungkin kerana pisang tidak berbuah dua kali. Dengan ilmu, remaja mampu menggegarkan dunia ini dengan pelbagai transformasi positif bagi membina pembangunan dan kemajuan yang utuh lagi kukuh jika acuannya juga mantap dan kental.
 
Nur Anisa Atirah bt Fadzil
5SC1
(Hasil Blog Pn Noraini Ismail)
 

No comments:

Post a Comment