Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Tuesday, December 7, 2010
KERDILNYA KITA SEBAGAI HAMBA ALLAH - MAAL HIJRAH 1432
Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia oleh Illahi untuk menempuh tahun Hijrah pada kali ini. Tahun Hijrah tetap datang dan pergi, waktu akan terus berlalu. Ini bermakna usia kita semakin tua dan alam kubur makin kita hampiri. Bak kata pepatah, dunia kata pergi, kubur kata mari. Mahu tak mahu itulah hakikat hidup kita.
Jika dihitung usia kita mengikut kiraan tahun Masihi, mungkin kita masih muda untuk beberapa hari @ beberapa bulan @ beberapa tahun. Begitulah sebaliknya, jika dihitung mengikut perkiraan Hijrah, kita pasti sudah tua untuk beberapa hari @ beberapa bulan @ beberapa tahun. Masyaallah, dalam jangka usia ini, agaknya berapa banyak bekalan yang telah kita kendong untuk menempuh hari di alam baqa dan berapa banyak agaknya dosa-dosa yang berlumuran di buku catatan kita yang akan kita lihat dihadapan Allah nanti. Takutnya rasanya untuk menghadapi saat-saat kematian, jika hanya ini sahaja amalan kebaikan yang kita lakukan berbanding dengan nikmat Allah yang telah kita gunakan.
Sebagai manusia yang waras, sudah pasti kita inginkan kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Kita juga sering menjawab, bila mati nanti - kita inginkan berada dalam kenikmatan syurga. Tetapi, apa yang kita lakukan di dunia yang fana ini, tidak menjuruskan kita untuk mengecapi nikmat syurga. Kita sering alpa dan leka. kita lalai dan dibuai kenikmatan dunia. Setiap detik dan ketika ada sahaja dosa yang kita lakukan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Dosa daripada pendengaran, dosa daripada penglihatan, dosa daripada perbuatan dan dosa daripada percakapan. Namun, terlalu sedikit pahala yang dapat kita lakukan atas kemalasan yang menebali jiwa dan hati kita.
Marilah kita sama-sama muhasabah dan menginsafi diri - kembalilah kita kepada hakikat hidup yang realiti. Bekerjalah kita seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi dan beramal ibadatlah kita seolah-olah kita akan menemui Illahi sebentar lagi. Sama-sama kita jaga diri kita, ahli keluarga kita dan sahabat-sahabat kita daripada leka dan natijah akhirnya api neraka. Sama-sama kita berpesan dan ingat mengingati.
Kehidupan di dunia hanya sementara dan semua kekayaan dan kemewahan yang kita miliki akan ditinggalkan.Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi dan ganjaran syurga Allah tiada galang ganti. Tiada makna, keseronokkan di dunia tetapi sengsara dalam azab Allah di akhirat. Namun, sangat bermakna jika hidup di dunia dalam tersiksa dan sengsara tetapi di akhirat menikmati Syurga. Namun begitulah janganlah sampai kefakiran di dunia menyebabkan kita menjadi kufur yang akhirnya membawa kita sengsara di dunia dan sengsara di akhirat.
Kepada anak muda dan remaja - ayuhlah kita tinggalkan keseronokkan dunia. Janganlah kita leka dengan hiburan, tarian dan hubungan sosial yang menyalahi adat dan hukum agama. Bangkit dan bangunlah , kita martabatkan agama kita, kita martabatkan bangsa kita dan kita martabatkan jiwa kita. Sama-sama kita jauhi perkara sia-sia seperti rempit, maksiat, dadah, rokok, berpeleseran, pergaulan bebas dan apa jua yang tidak memberi kita pahala malah mendatangkan dosa. Tidak salah kita bergaul dengan kawan-kawan atau mencari hiburan tetapi biarlah yang menurut syariat agama kita. Jadikan tahun Hijrah ini sebagai detik permulaan untuk kita menyucikan diri dan meninggalkan dosa-dosa yang pernah kita lalui. Semoga, jika Malaikat Maut menjemput kita, kita sudah menyesali dan menginsafi segala perkara buruk yang pernah kita lakukan.
Salam Maal Hijrah buat semua rakan-rakan yang mengenali diri saya. Kemaafan dipinta jika ada kesilapan dan kesalahan.
No comments:
Post a Comment