Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Tuesday, December 7, 2010
HIJRAH - Antara Pengorbanan Nikmat Dunia dan Kebahagian di Akhirat
Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
BULAN Muharam merupakan detik permulaan kalendar baru dalam Islam. Justeru, ketibaan tarikh 1 Muharam setiap tahun semestinya menjadi titik tolak kepada permulaan yang baru dalam kehidupan seorang Muslim. Ia juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai pencapaian peribadi selama setahun yang lalu dalam konteks melaksanakan perintah Allah SWT. Oleh itu, beberapa asas hijrah wajar dipraktikkan bagi memenuhi tuntutan hijrah masa kini yang jauh berbeza dengan hijrah era Mekah dan Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.
Hijrah sikap dan perbuatan
Segelintir umat Islam masih terbelenggu dengan pelbagai sikap buruk seperti hasad dengki, dendam kesumat dan sikap suka menyalahkan orang lain. Sikap buruk sebegini jika tidak diubati dikhuatiri akan merosakkan individu dan masyarakat Islam keseluruhannya. Ia umpama api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa. Malah jika diteliti sikap buruk seperti ini akan menyebabkan umat Islam semakin ketinggalan dalam arus globalisasi yang membadai dunia dewasa ini. Golongan seperti ini juga jauh daripada rahmat dan perlindungan Allah SWT yang sangat diperlukan bagi mengharung liku-liku hidup di dunia yang beraneka ragam.
Terdapat juga umat Islam yang boleh diibaratkan seperti cakap tak serupa bikin. Perbuatan buruk mereka jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar. Perilaku dosa seperti minum arak, berkhalwat dan berzina, merompak, mencuri dan membunuh termasuk bayi dalam kandungan sendiri seakan menjadi amalan biasa segelintir individu Muslim. Kesemua sikap buruk dan jenayah itu memerlukan kesungguhan dan azam yang tinggi untuk berubah dan kembali ke jalan yang diredai Ilahi.
Hijrah amal dan ketaatan
Bagi membendung perilaku buruk yang tidak bertepi, umat Islam diseru kembali ke pangkal jalan dengan memperbanyak amalan yang mampu mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Bagi yang tidak solat mahupun jarang-jarang melakukannya, dinasihat supaya mula berjinak-jinak dan mendampingkan diri kepada-Nya. Umat Islam juga sewajarnya menilai segala perlakuan ibadah setahun yang lalu sambil berazam untuk mempertingkatkan amalan agar lebih sempurna dan berkualiti.
Ketibaan 1 Muharam juga boleh dijadikan landasan untuk menggembleng usaha dan tenaga berbakti kepada Ilahi. Permulaan yang baik seperti membaca doa akhir dan awal tahun secara beramai-ramai sama ada di rumah bersama seisi keluarga, mahupun di masjid dan surau-surau mampu memberi impak yang baik kepada amalan sepanjang tahun. Seterusnya, ia diikuti pula dengan amalan-amalan yang wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim seperti berbakti kepada Allah SWT dengan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan fardu haji, selain amalan berbentuk jama'iy dan kemasyarakatan seperti berbuat baik kepada jiran, menolong dan membantu sesama manusia terutama golongan miskin dan kurang upaya. Dwi amalan yang diperintahkan ini akan mempertaut hubungan manusia dengan Allah SWT dan dalam masa yang sama mempererat hubungan sesama manusia.
Hijrah ilmu dan pencapaian
Secara umumnya, umat Islam agak ketinggalan dalam aspek ilmu dan kemajuan teknologi jika dibandingkan dengan masyarakat lain. Malah, terdapat negara-negara tertentu yang boleh dicontohi seperti China dan Korea yang begitu drastik bangkit sebagai kuasa baru dunia dalam pelbagai aspek termasuk kemajuan daripada sudut sains dan teknologi.
Sehubungan itu, pelbagai lapisan masyarakat Islam hendaklah menghayati tuntutan mencari ilmu dalam apa saja kegiatan seharian. Ini kerana ilmu boleh diperoleh di mana sahaja sama ada melalui kaedah pendidikan formal seperti di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi, mahupun ilmu sepanjang hayat yang ada di persekitaran hidup manusia. Malah, pengalaman manis dan pahit yang pernah dilalui oleh seseorang juga merupakan ilmu yang sangat berguna jika dapat dimanfaatkan dengan sempurna.
Hijrah dalam konteks ini juga dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam terdahulu sehingga umat Islam hari ini disegani dan dihormati di mata dunia. Ia sekali gus berupaya menolak pelbagai fitnah dan tohmahan seperti agama ekstrem dan menaja keganasan yang biasa ditujukan kepada umat Islam sedunia.
Hijrah ekonomi dan pemilikan
Umat Islam di Malaysia secara khususnya dan di beberapa negara Islam amnya agak jauh ke belakang daripada aspek ekonomi dan pemilikan harta. Ini berlaku kerana sikap sebahagian umat Islam yang berhati-hati dan berwaspada daripada menjadi hamba duit dan harta sehingga menghalang usaha mendekatkan diri kepada Ilahi. Ia boleh juga terjadi kerana kekeliruan dalam memahami falsafah pemilikan harta yang telah digarap sempurna dalam syariat Islam. Akibatnya, umat Islam terpinggir daripada arus pemodenan dunia yang sangat diperlukan dalam konteks membina semula ketamadunan manusia.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan salah faham segelintir umat Islam yang menolak dunia dan melalui kehidupan zuhud tanpa bersandarkan kepada realiti kehidupan masa kini yang berbeza daripada zaman awal Islam terdahulu.
Justeru, penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi dan pemilikan harta juga penting untuk direalisasikan dalam dunia kini. Walau bagaimanapun, ia wajib mematuhi garis panduan memperoleh, memanfaat dan mengagihkan harta menurut perspektif Islam. Penglibatan umat Islam dalam kegiatan ekonomi yang berteraskan riba' demi mencari keuntungan berlipat kali ganda adalah diharamkan. Selanjutnya, amalan buruk penipuan, berbuat zalim dan mengambil hak orang lain tanpa hak adalah tidak sesuai dengan amalan ekonomi Islam. Di samping itu juga, konglomerat Islam perlu memahami ada hak zakat yang diwajibkan dan sedekah sunat daripada harta yang perlu dilunaskan. Ini bagi mengelak kerosakan yang lebih besar kesan daripada kegiatan ekonomi yang tidak berteraskan kehendak Islam sebenar.
Hijrah kepada Islam yang syumul
Akhirnya, para Muslimin diseru menghayati ketibaan 1 Hijrah bukan dalam pengertian sambutan tahun baru yang difahami oleh golongan yang tidak mengerti agama yang syumul. Sambutan tahun baru juga bukanlah perayaan yang hanya diraikan di merata tempat. Lebih daripada itu, tuntutan melestarikan falsafah hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang sanggup bergadai nyawa dan harta demi kepentingan Islam wajib dicontohi.
Untuk tujuan itu, umat Islam hendaklah kembali melaksanakan Islam dalam segala gerak-geri kehidupan. Maknanya, seluruh kehidupan Muslim mesti berteraskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan hukum dalam menanggapi pelbagai persoalan hidup yang kompleks dan penuh cabaran dewasa ini. Syariat yang syumul sememangnya bersesuaian untuk direalisasikan dalam konteks kehidupan bernegara, bermasyarakat dan yang pasti untuk keperluan setiap individu. Persoalannya, adakah umat Islam masa kini berbangga menjadi individu Muslim lalu sanggup melaksanakan segala peraturan agama dalam segala lapangan kehidupan.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment