Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Wednesday, November 10, 2010
NOVEL KONSERTO TERAKHIR - PECUTAN AKHIR
SINOPSIS NOVEL KONSERTO TERAKHIR
Novel ini mengisahkan Hilmi datang ke Kuala Lumpur untuk mencari bapa saudaranya yang bernama Datuk Johari. Dia berjaya menemui bapa saudaranya dan tinggal di rumah tersebut sebagai tukang kebun. Ketika keluarga Datuk Johari bercuti, Hilmi mula memberanikan diri bermain piano. Sejak itulah bakatnya mula berkembang dan dia mendalami bidang muzik daripada pakcik Bakar. Hubungan Hilmi dengan Hayati begitu akrab dan tidak disenangi oleh Datin Salmah. Oleh sebab selalu bertemu anak pakcik Bakar iaitu Azizah, akhirnya berputik perasaan cinta lalu mereka berumahtangga.
Azizah merupakan seorang yang materialistik menyebabkan hubungannya dengan Hilmi berakhir dengan penceraian menyebabkan Hilmi tertekan. Ketika pertunjukan Orkes Perdana akan berlangsung, Hilmi tersungkur dan tempatnya digantikan oleh Hayati. Hilmi dimasukkan ke hospital. Tidak beberapa lama kemudian, Hilmi meninggal dunia. Datuk Johari terkejut apabila mendapat tahu bahawa Hilmi ialah anak kandungnya. Akhirnya Datuk Johari juga meninggal dan Datin Salmah insaf.
GAYA BAHASA NOVEL KONSERTO TERAKHIR
Dalam novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussien terdapat penggunaan gaya bahasa yang menarik misalnya penggunaan peribahasa. Contohnya, "jauh panggang dari api", 'hangat-hangat tahi ayam" dan biang keladi. Seterusnya, pengarang turut menggunakan ayat yang pendek-pendek seperti "Dia tergamam", "itu sahaja", "Hilmi kecewa" dan "Berfikir sejenak". Penggunaan metafora pula digambarkan melalui kata-kata, "warna perlindungan" dan "tasik matanya".
PERISTIWA YANG MEMBERI TELADAN
Berdasarkan novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussien, terdapat beberapa peristiwa yang memberi teladan. Antaranya, kesukaran Datuk Johari mencarikan pekerjaan untuk Hilmi kerana berkelulusan rendah. Disebabkan Hilmi hanya berkelulusan darjah empat Sekolah Melayu, tiada majikan yang menerimanya bekerja. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kelulusan yang tinggi untuk memperoleh pekerjaan yang baik.
Seterusnya, peristiwa tetamu yang datang ke rumah Datuk Johari memuji akan pokok bunga yang hidup subur. Kejadian ini menyebabkan tanggapan negatif Datin Salmah terhadap Hilmi mula berubah. Hal ini menunjukkan bahawa kita perlu bekerja bersungguh-sungguh supaya orang menghargai usaha kita.
Akhir sekali, peristiwa di hospital ketika Hilmi dalam keadaan nazak. Ketika di hospital, Pak Karim menceritakan kepada Datuk Johari bahawa Hilmi anak kandung Datuk Johari. Hal ini menunjukkanbahawa kita jangan melakukan kesilapan ketika muda yang akhirnya kesilapan itu terdedah apabila kita sudah tua.
NOVEL KONSERTO TERAKHIR: TIGA TEKNIK PENCERITAAN
Terdapat pelbagai teknik penceritaan yang digunakan oleh Abdullah Hussien dalam novel Konserto Terakhir. Antaranya teknik imbas kembali. Contohnya pengarang memaparkan peristiwa ketika Datuk Johari teringat akan kehidupannya semasa di kampung dahulu.
Seterusnya, teknik imbas muka dapat dilihat ketika Encik Bakar menjangkakan Hilmi akan menjadi seorang pemuzik yang terkenal suatu hari kelak.
Akhir sekali, teknik monolog dapat dibuktikan ketika Hilmi berasa sunyi dan tidak mempunyai teman untuk berbicara lalu dia bermonolog dengan mencurahkan segala-galanya kepada bunga-bunga yang seakan-akan faham perasaannya.
NOVEL KONSERTR TERAKHIR: PERWATAKAN HILMI
Dalam novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussien menggambarkan watak utama iaitu Hilmi secara fizikalnya berusia 19 tahun dan mempunyai ketinggian 5 kaki 5 inci. Dia berperwatakan baik hati. Buktinya, dia tidak pernah membantah kata-kata Datin Salmah yang selalu mencaci.
Perwatakan seterusnya ialah yakin diri misalnya walaupun dia tidak mempunyai kelulusan tinggi, tiada asas dalam bidang muzik, namun dia berjaya memajukan diri sendiri dan menguasai bidang yang diminatinya itu.
Akhir sekali, Hilmi merupakan seorang yang penyayang. Walaupun dia telah berpisah dengan isterinya Azizah, namun perasaan kasih sayang terhadapnya tetap ada.
No comments:
Post a Comment