Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Wednesday, November 10, 2010
SPM 2010 : KEMAHIRAN BERBAHASA - JOM SANTAI...JANGAN TERTEKAN
MARI MEMBINA AYAT
1. kupas = analisis/hurai dengan teliti :
"Tolong kupas idea yang saya kemukakan sebentar tadi," kata cikgu Azza kepada pelajarnya.
2. kopek = belah untuk dapat isi:
"Kamu kopek dulu kulitnya yang keras, barulah dapat keluarkan isinya,"beritahu Teck lam kepada Laila.
3. pecah = berbelah-belah menjadi kecil :
Pinggan di atas meja saya pecah akibat dilanggar oleh si Tompok kesayangan ibu.
4. retak = garis yang nampak pada benda keras yang menunjukkan akan pecah :
Pinggan yang retak eloklah dibuang bimbang akan pecah semasa digunakan nanti.
5. jemput = datang / disongsong:
"Marilah kita jemput kakak di kolej, "kata ibu kepada adik.
6. undang = ajak/mempersilakan
"Jangan undang orang asing ke rumah kita, jika ayah tiada di rumah," kata ayah kepada adik.
KATA PENGUAT
KATA PENGUAT HADAPAN:
- paling(P)
- agak (A)
- terlalu (T)
KATA PENGUAT BEBAS:
- sungguh (S)
- amat (A)
- sangat (S)
KATA PENGUAT BELAKANG:
- benar (B)
- sekali (S)
- nian (N)
PERINGATAN:
1. kata penguat hadapan dan belakang tidak boleh digunakan serentak dalam satu ayat.
contoh:
a. terlalu baik sekali (salah)
b. paling cantik sekali (salah)
c. paling besar nian (salah)
2. Ter + Adjektif tidak boleh ditambah Kata Penguat
contoh:
a. terpandai
b. tertinggi
c. terbaik
d. tercantik
3. Ter + amat/sangat + kata adjektif
contoh:
a. teramat rajin
b. tersangat rajin
4. Sungguh/amat/sangat + Kata Adjektif + sekali
contoh:
a. Faizal amat ramah sekali. (betul)
b. Sungguh besar sekali rumah datuk Haikal. (betul)
c. Izzat sangat rajin sekali membaca buku. (betul)
5. Kata Penguat Bebas boleh berurutan sebelum kata adjektif
Contoh:
a. Suara Siti Nurhaliza sungguh amat merdu.
MARI MEMPERKAYA PERIBAHASA ANDA
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna : Kita hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu agar kita tidak menyesal kemudian
Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya : Bekerja keras melakukan sesuatu untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan : melaksanakan sesuatu kerja sehingga selesai dan memperoleh hasil yang dikehendaki
Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih : sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mencapai keinginan sebaliknya memberi pelbagai alasan kerana tidak mahu melakukan pekerjaan
Ayam terlepas, tangan berbau tahi : sesuatu yang dihajati tidak diperoleh sebaliknya sesuatu yang buruk pula yang menimpa
Pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar : bijak melakukan sesuatu ataupun menggunakan masa dengan sebaik-baiknya
Tak sungguh tak melata, tak sungguh orang tak kata : kerana perbuatan yang dilakukan sendiri maka diri sendiri yang menjadi buah mulut orang.
PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA
Kata Majmuk yang telah mantap:
1. antarabangsa
2. setiausaha
3. beritahu
4. sukarela
5. suruhanjaya
6. bumiputera
7. jawatankuasa
8. tandatangan
9. kakitangan
10. tanggungjawab
11. kerjasama
12. warganegara
13. olahraga
14. pesuruhjaya
15. matahari
KATA PEMERI IALAH DAN ADALAH
Kata Pemeri terbahagi kepada dua iaitu ialah dan adalah.Namun, masih terdapat kesalahan penggunaannya yang perlu diperbetul misalnya:
ialah + Kata Nama
adalah + Kata Adjektif /Kata Sendi
SALAH
1. Bola sepak adalah sukan yang elok dipertandingkan.. = ialah
2. Beliau adalah orang yang pertama membiakkan... = ialah
3. Kaum wanita adalah elemen... = ialah
4. Anak adalah anugerah Allah... = ialah
5. Matlamat NURY adalah pembinaan masyarakat cemerlang = ialah
6. Masalah yang kita hadapi adalah kekurangan beras. = ialah
7. Perkara ini adalah masalah yang tidak mudah diatasi. = ialah
Penggunaan adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama seperti untuk, pada, dalam, daripada, dengan dsb. Manakala, kata ialah pula hanya digunakan di hadapan perkataan atau rangkai kata yang berupa kata nama atau frasa nama, yakni yang menyatakan nama sesuatu benda, keadaan, pekerjaan, konsep dsb seperti sukan, orang yang pertama, elemen, Allah, pembinaan, kekurangan beras dan masalah.
DI ANTARA DAN ANTARA: APA PERBEZAANNYA?
Perkataan 'antara' berfungsi sebagai kata sendi nama dan kata arah. Kata sendi nama ialah kata yang digunakan di hadapan frasa nama, menghasilkan frasa sendi nama. Contohnya:
..di sekolah itu
... ke arah selatan
...ke dewan pameran
...ke saat yang terakhir
...kepada pihak polis
...dari kiri
...dari sudut ekonomi
...dari pukul tujuh pagi
...pada papan kenyataan
...untuk kegunaan
...bagi tahun hadapan
...demi kepentingan bersama
...tentang masalah negara
...seperti batu
...bagai pinang dibelah dua
...umpama kilat
AYAT MAJMUK
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung gabungan seperti atau, dan, lalu, malahan, sambil serta tetapi bagi, seraya, kecuali, melainkan, manakala, bahkan, kemudian dan kata hubung gabungan lain.
Contoh:
a. Awak boleh memakai kasut putih atau kasut hitam.
- Awak boleh memakai kasut putih.
- Awak boleh memakai kasut hitam.
b. Halim memelihara ikan sepat dan ikan keli.
- Halim memelihara ikan keli.
- Halim memelihara ikan sepat.
c. Ramli menyanyi sambil menari.
- Ramli menyanyi.
- Ramli menari.
2. Ayat majmuk pancangan ialah ayat yang terbina daripada gabungan beberapa ayat tunggal dengan menggunakan kata hubung pancangan seperti agar, bahawa, jika, untuk, ketika, semasa, setelah, semenjak, selagi, selama, supaya, hingga, walaupun...
Ada tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu pancangan relatif, pancangan komplemen dan pancangan keterangan
i)Ayat majmuk pancangan relatif menggunakan kata hubung yang. Contoh:
a. Wanita yang menjadi calon ibu misali itu ibu saya.
- Wanita itu menjadi calon ibu misali.
- Wanita itu ibu saya.
ii) Ayat majmuk pancangan komplemen menggunakan kata hubungan bahawa dan untuk.
a. Perdana Menteri mengumumkan bahawa kakitangan kerajaan akan menerima kenaikan gaji tidak lama lagi.
b. Tentulah tidak wajar untuk mereka melakukan aktiviti membuli pelajar lain di sekolah.
iii)Ayat majmuk pancangan keterangan berfungsi memberikan huraian lanjut kepada kata kerja induk. Ayat-ayat ini terdiri daripada ayat majmuk keterangan musabab, waktu, syarat, cara, tujuan, perbandingan, pertentangan dan akibat.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan musabab:
a. Saya tidak menghadiri majlis perkahwinan itu kerana tidak diundang.
b. Oleh sebab mereka tidak menjelaskan yuran tahunan persatuan, keahlian mereka dalam persatuan itu akan digantung.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan waktu.
a. Guru baru itu melaporkan diri di sekolah itu setelah menerima surat daripada Jabatan Pelajaran Negeri.
b. Sementara menunggu anak saya pulang dari sekolah, saya mengemas rumah.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan syarat:
a. Sekiranya awak lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan ini saya akan menghadiahi awak sebuah motosikal.
b. Kita akan dapat melaksanakan Program Pendidikan Alam Sekitar ini seandainya kita mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Contoh ayat majmuk keterangan cara:
a. Murid-murid di kawasan pedalaman itu ke sekolah dengan menaiki perahu.
b. Dengan berbekalkan semangat yang tinggi serta usaha yang gigih, Hazreen berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Contoh ayat majmuk keterangan tujuan:
a. Pekerja syarikat itu digesa melipatgandakan usaha mereka untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil kerja.
b. Demi menjaga nama baik dan imej sekolah, semua pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan olahraga peringkat daerah itu dinasihati agar mematuhi peraturan pertandingan.
Contoh ayat majmuk pancangan keterangan perbandingan:
a. Sikap pemuda itu yang tidak pandai menghargai pemberian orang lain, samalah ibarat kera mendapat bunga.
b. Suasana kehidupan penduduk desa itu amat harmoni lantaran mereka saling membantu bagaikan aur dengan tebing.
Contoh ayat majmuk keterangan pertentangan:
a. Walaupun malam sudah larut, Faizal masih terus mengulang kaji pelajarannya.
b. Meskipun ayah saya sudah berumur, dia masih ingin menguruskan kebun buah-buahannya.
Contoh ayat majmuk keterangan akibat:
a. Kanak-kanak itu menjerit terlalu kuat hingga hilang suaranya.
b. Pelajar yang cacat penglihatan itu amat gigih dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga dia berjaya.
3.Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat , yakni yang terdiri daripada campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk atau deretan jenis ayat majmuk dengan menggunakan pelbagai kata hubung. Contoh:
a. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia dengan sifat lemah lembut serta sopan-santun yang tinggi nilainya lagi mulia.
* Ada beberapa jenis ayat kecil yang membentuk ayat majmuk di atas , iaitu:
1. Orang Malaysia memang terkenal di seluruh dunia.
2. Orang Malaysia memang terkenal dengan sifat lemah lembut.
3. Orang Malaysia memang terkenal dengan sopan santun yang tinggi nilainya lagi mulia.
No comments:
Post a Comment