Wednesday, November 10, 2010

CEMERLANG SPM - NOVEL BUKIT KEPONG




SINOPSIS NOVEL BUKIT KEPONG
Novel ini mengisahkan Othman yang begitu berminat menjadi anggota polis walaupun mendapat tentangan daripada ibunya. Setelah mengikuti latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Beliau mengahwini Limah dan membawa isterinya ke Pagoh. Tidak beberapa lama kemudian, Othman dihantar bertugas di Rumah Pasung Bukit Kepong.

Pada 23 Februari 1950, seramai 180 anggota komunis menyerang Rumah Pasung yang hanya dipertahankan oleh 18 orang anggota polis. Pasukan polis telah diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd. Shah, berjuang bermati-matian dalam pertempuran itu dari waktu malam hingga ke subuh. Hanya empat orang anggota polis yang terselamat, termasuk Othman. Setelah menerima rawatan selama enam minggu di Hospital Muar, Othman dibenarkan bercuti. Dia pulang ke kampung halamannya. Namun, didapati isterinya yang baru melahirkan anak lelaki ditimpa sakit jiwa. Apabila penyakit isterinya semakin teruk, Othman meletakkan jawatan. Kaki Othman terpaksa dipotong kerana kecederaannya yang tidak dapat dipulihkan.

GAYA BAHASA NOVEL BUKIT KEPONG
Terdapat kepelbagaian gaya bahasa dalam novel Bukit Kepong karya Ismail Johari. Antaranya, penggunaan istilah kepolisan misalnya chamber, EPC, jungle squad dan combat. Seterusnya, simpulan bahasa seperti ....melihat keadaan yang cemas itu, dua orang rakan pengganas komunis itu membuka langkah seribu.. Selain itu, gaya bahasa hiperbola iaitu pernyataan yang berlebih-lebihan misalnya, ..isteri muda itu cuba menepis setiap kali hujung laras senjata itu dibenamkan ke dadanya..

TIGA PERISTIWA YANG MEMBERI TELADAN DALAM NOVEL BUKIT KEPONG
Berdasarkan novel Bukit Kepong karya Ismail Johari, terdapat beberapa peristiwa yang dapat menjadi teladan kepada pembaca iaitu, kejadian bas yang dinaiki oleh Limah dan rakan-rakannya ditahan lalu dibakar oleh komunis. Peristiwa ini menunjukkan komunis sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk menakutkan orang ramai. Hal ini menunjukkan betapa perlunya kita menghargai keamanan yang kita peroleh sekarang.
Seterusnya, peristiwa kegigihan anggota polis seramai 18 orang menentang asakan komunis seramai 180 orang. Hal ini menggambarkan kegigihan dan semangat bekerjasama memungkinkan kita memperoleh kejayaan.
Akhir sekali, peristiwa kehidupan Othman yang melarat setelah berhenti dari pasukan polis. Hal ini menunjukkan, kita perlu mempunyai wang untuk bekalan pada masa depan dan kerajaan pula wajar mengenang jasa pahlawan negara.

NOVEL BUKIT KEPONG:TIGA TEKNIK PENCERITAAN
Terdapat pelbagai teknik penceritaan yang digunakan oleh Ismail Johari dalam novel Bukit Kepong. Antaranya ialah, teknik dialog misalnya perbualan dua orang watak yang dapat mengukuhkan peristiwa yang diungkapkan dalam novel tersebut. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan dialog : "Abang, abang bangun. Temankan saya ke bilik air," kata Pon Khalid sambil membetulkan baringnya. Dia merapati suaminya. "Buat apa turun tengah malam buta begini?'" rungut suaminya dengan suara malas.
Seterusnya, teknik pemeri yang bertujuan menggambarkan sesuatu latar dan aksi watak secara terperinci. Contohnya, "Masyarakat Cina Bukit Kepong tidak kenal politik. Sementara masyarakat Melayu baharu mahu berjinak-jinak dengan politik yang dibawa oleh Tuk Penghulu."
Akhir sekali, teknik monolog dalaman yang digunakan dalam aliran kesedaran untuk mengungkapkan fikiran dan pengalaman. Contohnya, Nyata Leha juga belum pulang. Pasti isterinya juga menjadi mangsa pengganas komunis seperti Limah, Mak Mah dan penumpang-penumpang yang lain.

NOVEL BUKIT KEPONG: PERWATAKAN OTHMAN YUSUF
Dalam novel Bukit Kepong karya Ismail Johari, dapat diungkapkan perwatakan Othman secara fizikalnya memiliki tubuh yang gempal, tinggi sederhana dan berkulit cerah. Beliau merupakan seorang yang berjiwa patriotik, misalnya sanggup berjuang bermati-matian menentang serangan komunis sehingga nyawanya sendiri nyaris terkorban.
Perwatakan beliau seterusnya ialah bertanggungjawab, miasalnya mengambil berat akan keadaan isterinya yang sakit lalu bertukar tempat bertugas dan seterusnya berhenti kerja.
Akhir sekali, beliau digambarkan sebagai seorang yang berpendirian tegas. Misalnya bekeras menjadi seorang polis walaupun dibantah oleh ibunya.

BUKIT KEPONG: KEPENTINGAN PERISTIWA YANG DIANGGAP KLIMAKS
Antara peristiwa yang dianggap klimaks dalam novel Bukit Kepong ialah, peristiwa 200 orang pengganas komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada subuh 23 Februari 1950. Terdapat 18 orang anggota polis yang berada di balai polis itu, sama ada yang sedang bertugas atau bukan dalam waktu bertugas, turut mengangkat senjata untuk melawan pengganas komunis.

Pertempuran berlarutan hampir empat jam lamanya. Pengganas komunis berusaha untuk menawan balai polis tersebut. Manakala, pasukan polis berusaha bermati-matian mempertahankannya. Pertempuran berakhir dengan kekalahan pada pihak polis. Pengganas komunis berjaya membunuh 23 orang yang terdiri daripada anggota polis dan polis simpanan serta membakar balai polis.

Hakikatnya, pengganas komunis membalas dendam atas kekalahan mereka yang diserang hendap oleh polis ketika merancang untuk menyerang Rumah Pasung Labis. Di sini dapatlah dirumuskan bahawa bahagian klimaks lazimnya segala konflik menemukan penyelesaian. Konflik antara pangganas komunis dengan pasukan polis dianggap selesai kerana mereka telah berjaya membalas dendama. Pada bahagian ini, perasaan ingin tahu pembaca, iaitu siapa yang akan menang telah terjawab.

No comments:

Post a Comment