Latihan Rumusan
Soalan 1 : Rumusan
(30 markah)
Baca petikan di bawah ini dengan teliti
dan kemudian buat satu rumusan tentang khasiat kunyit dalam bidang perubatan dan masakan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Kunyit
merupakan sejenis tumbuhan tradisi yang berasal daripada keluarga
Zingiberaceace. Tumbuhan ini mempunyai pelbagai nama. Di negara China, kunyit
dikenali sebagai Jiang Huang dan Yu Jin. Bagi masyarakat Arab, kunyit sinonim
dengan panggilan Kurkum. Masyarakat Indonesia pula memanggil kunyit
sebagai Indian Saffraon, Curcuma dan Kunir. Mengikut catatan, kunyit banyak
terdapat di kawasan – kawasan tropika dan negara asal yang dikenal pasti bagi
tumbuhan ini ialah India.
Hal ini memang ada kebenarannya kerana kalau kita perhatikan, masyarakat India
kebanyakannya menggunakan tumbuhan tersebut terutama sekali sebagai ramuan dalam masakan.
Sebagai sejenis tumbuhan herba, kunyit
sememangnya banyak mempunyai khasiat. Selain menjadi rempah ratus dan penyedap
dalam masakan, kunyit turut digunakan
dalam perubatan tradisional. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu, ibu
kunyit dapat membantu wanita yang baru bersalin untuk membersihkan dan
mengecutkan rahim. Mereka juga menggunakan kunyit bersama – sama lada hitam
untuk memanaskan badan. Perubatan tradisional turut menggunakan kunyit untuk
mengubati penyakit seperti darah tinggi, demam kuning, cirit – birit, batuk,
lelah dan sebagainya. Caranya adalah dengan menumbuk kunyit sehingga lumat dan
kemudiannya ditapis untuk diminum.
Kunyit
juga dipercayai dapat mengubati penyakit seperti sakit perut, asma, selain
dapat mengurangkan rasa gatal pada mata. Bagi bayi yang menghidap penyakit
kulit susu, kunyit yang dicampur dengan kapur dipercayai dapat mengatasinya
dengan cara menyapukannya pada bahagian yang berkurap. Kunyit bersifat
analgesik dipercayai dapat menyembuhkan luka serta dapat mengurangkan
kesakitan. Hal ini dapat dilakukan dengan cara menumbuk kunyit hingga lumat dan
seterusnya ditampal pada bahagian yang luka. Kecergasan ibu – ibu selepas
bersalin dapat dipulihkan dengan cara mengisar kunyit dan pegaga kemudian
airnya diminum. Bukan itu sahaja, malah cara ini dapat menghilangkan keputihan
dalam kalangan kaum wanita.
Di
negara China,
kunyit telah digunakan sejak beratus – ratus tahun dahulu sebagai bahan
perubatan. Menurut pengamal perubatan tradisional negara China, kunyit
dapat melancarkan peredaran darah manusia dengan cara menjadikan kunyit sebagai
bahan minuman. Bagi seseorang yang mengalami
rasa lebam dan darah beku, ianya akan dapat dihilangkan dengan cara
menyapu kunyit yang telah ditumbuk pada bahagian yang tertentu. Di Thailand,
penduduknya menggunakan kunyit untuk menghilangkan kesan bisa akibat dipatuk
oleh ular tedung. Perubatan tradisional India turut menggunakan kunyit
sebagai salah satu bahan herba yang amat mujarab sebagai pencuci di samping dapat mengubati
penyakit kulit atau gatal – gatal. Sebenarnya masih banyak lagi khasiat yang
terdapat dalam kunyit. Kita berharap agar para penyelidik akan terus melakukan
penyelidikan terhadap tumbuhan tersebut dan seterusnya kunyit dijadikan ubat
penyakit kronik yang mujarab.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Kunyit Kaya dengan
Pelbagai Khasiat Boleh diperoleh, Melaka Hari Ini, 20 Julai 2011)
No comments:
Post a Comment