Tuesday, August 12, 2014

Kepentingan Riadah Dalam Kehidupan Masyarakat

KEPENTINGAN AKTIVITI BERIADAH DAN REKREASI

                                          Harum sudah cempaka hiasan,
                                          Berpuput semilir laungan jiwa,
                                          Aktiviti riadah pencetus wawasan,
                                          Pastinya lahir nusa wibawa

            Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah. Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi bubur.

Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan beriadah  adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa Melayu, badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

            Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5 hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.

            Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka. Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah.

Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen kesepakatan dalam kumpulan masing-masing.  Sesungguhnya, muafakat merupakan inti kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke arah pembentukan integrasi kaum.

            Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas. Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung tanggungjawab seperti orang dewasa.  Seandainya  masa lapang itu tidak dipenuhi secara bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibarat menghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah, bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti riadah.

            Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.
 
http://noraini-ismail.blogspot.com/2011/07/contoh-karangan-cemerlang-spm_06.html
 
Disediakan oleh:
Khairunnisak bt Hassni,Ida Nur Izzaty bt IKhwan Goh,Siti Hawa bt Mahfar dan Nur Baiti Bt Mohd.Aini (5 Sc 1)

No comments:

Post a Comment