“Membaca itu jambatan ilmu,”
merupakan satu kata-kata hikmat yang jelas menunjukkan kepentingan amalan
membaca dalam hidup kita. Kendatipun begitu, kata-kata hikmat ini sering
dipandang enteng oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia terutamanya para
remaja yang akan menjadi pemimpin negara pada suatu masa kelak. Masyarakat
Malaysia sering kali menganggap bahawa amalan membaca itu bukan sekadar untuk
lulus peperiksaan semata-mata tetapi juga untuk mengetahui keadaan semasa,
meluaskan ilmu pengetahuan dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, setiap pihak
haruslah melaksanakan obligasi masing-masing untuk memupuk tabiat suka membaca
dalam kalangan rakyat Malaysia
Ibu bapa merupakan
insan yang memainkan peranan signifikan untuk memupuk tabiat suka membaca dalam
kalangan rakyat Malaysia. Menurut Confucius, “ keluarga merupakan unit asas
pembentukan masyarakat”. Kata-kata ini jelas menunjukkan pembentukan peribadi
seseorang individu bermula daripada keluarga dan keluarga itu pula lahir dengan
sepasang ibu bapa. Dalam hal ini, sebagai insane yang paling penting, ibu bapa
perlulah menjadi entity mithali yang terbaik bagi anak-anak. Ibu bapa mestilah
menunjukkan uswah terbaik dengan mengamalkan amalan membaca di hadapan
anak-anak. Hal ini demikian kerana, apabila ibu bapa hanya menasihati anak-anak
supaya membaca tetapi mereka sendiri tidak menunjukkan teladan yang baik, pasti
anak-anak akan mempersoalkan sebab mereka perlu membaca, sedangkan ibu bapa
mereka tidak perlu membaca. Oleh hal yang demikian, sebagai insan yang terdekat
dengan anak-anak, ibu bapa perlulah mengamalkan amalan membaca di hadapan
anak-anak sama ada membaca akhbar, buku ilmiah, novel dan sebagainya. Dengan
adanya contoh yang baik di hadapan anak-anak, barulah ibu bapa boleh menasihati
anak-anak supaya membaca pada saat itu, anak-anak tidak akan mempersoalkan lagi
sebab mereka perlu membaca, seperti cogan kata, “ kepimpinan melalui
teladan.”
Bukan itu sahaja,
ibu bapa juga perlulah membelanjakan sedikit daripada wang pendapatan mereka
untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak. Ibu bapa seharusnya tidak kedekut
dalam membelanjakan sebahagian daripada wang pendapatan mereka untuk membeli
bahan bacaan kerana mereka perlu sedar bahawa yang dibelanjakan oleh mereka itu
tidak sia-sia dan bakal menjadi sesuatu yang berguna untuk anak-anak mereka
sebagai peneraju masa hadapan, seperti kata-kata seorang tokoh, “ masa hadapan
itu dibeli oleh masa sekarang.” Apabila ibu bapa sudi membelanjakan sebahagian
daripada wang mereka untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak, pasti anak-anak
akan lebih mudah mendapatkan bahan bacaan dan tidak perlu ke mana-mana untuk
mendapatkan bahan bacaan sekali gus meningkatkan minat membaca dalam diri
anak-anak. Seiring dengan itu, selain sebuah keluarga ini dapat membentuk
sebahagian masyarakat, apabila anak-anak kecil ini keluar dari rumah mereka dan
membaca di hadapan masyarakat lain, pasti masyarakat lain akan mencontohi
perbuatan anak-anak kecil ini sebagai orang yang lebih dewasa, pasti mereka akan
berasa malu terhadap anak-anak kecil ini. Hal ini demikian kerana, apabila
masyarakat yang lebih dewasa melakukan kerja yang sia-sia, dalam mengisi waktu
lapang mereka, pasti akan terdetik dalam sukma mereka, sedangkan anak kecil ini
lebih menghargai masa dengan memenuhkan masa lapang mereka dengan membaca,
mengapa mereka yang lebih berilmu dan berpengalaman tidak melakukan hal yang
yang sama. Dengan itu, secara implisit, tabiat suka membaca dalam diri
masyarakat Malaysia dapat dipupuk.
Selain itu, pihak
kerajaan juga memainkan peranan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, pihak kerajaan bolehlah mengadakan
kempen-kempen yang menggalakkan amalan membaca. Pihak kerajaan seharusnya
menggunakan sebahagian daripada pendapatan negara untuk memupuk minat membaca
dalam diri masyarakat Malaysia. Bagi golongan miskin pula, dalam menjayakan
kempen memupuk budaya membaca ini, pihak kerajaan bolehlah membantu warga miskin
ini dengan memberikan buku-buku percuma kepada mereka. Dengan adanya buku-buku
mahupun bahan-bahan bacaan yang percuma, pasti kempen ini dapat dijayakan oleh
seluruh rakyat Malaysia kerana tidak timbul lagi masalah ketiadaaan bahan bacaan
dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pihak kerajaan juga seharusnya tidak
memandang enteng terhadap usaha mengadakan kempen untuk memupuk minat membaca
dalam diri masyarakat kerana dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh dan
beristiqamah oleh pihak kerajaan, pasti matlamat kudsi kerajaan untuk mewujudkan
masyarakat yang minat membaca dapat diwujudkan. Pihak kerajaan seharusnya tidak
takut akan kegagalan usaha mereka ini, seperti kata-kata Phytagoras, “ kegagalan
bukanlah bererti kemusnahan tetapi jadikanlah kegagalan itu sebagai lanjakan
untuk mencapai kejayaan”. Oleh itu, wajarlah pihak kerajaan mengadakan kempen
untuk memupuk minat membaca dalam diri masyarakat kerana “ belum cuba, belum
tahu.”
Media massa juga
berperanan penting untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Media
massa seperti televisyen, internet, radio dan sebagainya penting dalam
menghebahkan kepada masyarakat tentang kepentingan tabiat membaca. Dalam hal
ini, pihak-pihak yang terlibat seperti penerbit stesen televisyen haruslah
mengadakan satu dokumentasi yang memaparkan kepentingan membaca dalam kehidupan
dan menayangkannya di televisyen. Dengan ini, masyarakat yang cetek ilmu tentang
kepentingan membaca akan lebih tahu mengapa membaca itu penting dalam kehidupan
mereka. Drama pendek yang berkaitan dengan kepentingan membaca juga boleh
dipertontonkan di televisyen kerana mesej yang disampaikan oleh drama-drama yang
ditayangkan di televisyen akan meresap dengan lebih mudah dalam jiwa masyarakat
Malaysia. Hal ini demikian kerana, jiwa masyarakat selalunya lebih tertarik
dengan dunia hiburan. Jadi, sebagai pihak media massa yang prihatin, mereka
seharusnya lebih kreatif dalam melaksanakan usaha untuk memupuk tabiat membaca
dalam kalangan masyarakat Malaysia agar Malaysia terus maju seiring dengan arus
globalisasi.
Pihak sekolah juga
menggalas tanggungjawab untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Dalam hal ini, guru merupakan insan terpenting yang berperanan memupuk
minat membaca dalam diri pelajar. Sebagai guru yang penyayang dan ingin
pelajarnya berjaya, pasti guru-guru sedar akan kepentingaan membaca dalam
kehidupan. Guru-guru di sekolah seharusnya bekerjasama dalam mengadakan
pertandingan bagi memupuk minat membaca dalam diri pelajar. “melentur buluh
biarlah dari rebungnya,” jelas menunjukkan dalam usaha membentuk peribadi
seseorang, kita perlulah membentuknya sejak dari kecil lagi. Guru-guru tadika
mahupun guru-guru sekolah rendah memikul tanggungjawab yang paling penting untuk
menerapkan minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah kerana pada saat ini,
pelajar-pelajar ibarat kain putih yang belum dicorakkan. Pada ketika ini,
pelajar-pelajar masih belum dapat membezakan antara baik dan buruk mahupun dosa
dan pahala. Oleh itu, apabila guru-guru mengadakan pertandingan seperti
pertandingan membaca paling banyak dan memberikan hadiah berupa wang tunai dan
bahan bacaan kepada para pemenang,pasti pelajar-pelajar tersebut tidak akan
melepaskan peluang untuk mengambil bahagian sekali gus mereka akan selalu
membaca. Mungkin pada mulanya, pelajar-pelajar ini membaca kerana ingin
memenangi pertandingan tetapi pasti lama-kelamaan minat membaca akan timbul
dalam diri mereka. Oleh hal yang demikian, guru-guru haruslah menjalankan
peranan mereka untuk memupuk minat membaca dalam diri pelajar sekali gus
membentuk masyarakat Malaysia yang minat membaca.
Tidak kurang juga,
syarikat-syarikat seperti Karangkraf, PtsOne dan sebagainya perlulah menjalankan
peranan dengan mengeluarkan bahan bacaan yang sesuai untuk semua peringkat umur
agar masyarakat Malaysia mempunyai lebih banyak pilihan dalam memilih bahan
bacaan yang sesuai dengan umur mereka. Dengan adanya kepelbagaian bahan bacaan,
pasti masyarakat Malaysia akan menjadi lebih tertarik untuk membaca. Oleh itu,
sebagai syarikat swasta yang prihatin dengan keadaan rakyat Malaysia, mereka
haruslah menjalankan peranan mereka dengan
bersungguh-sungguh.
Akhirulkalam,
semua pihak haruslah berganding bahu untuk memupuk minat membaca dalam diri
masyarakat dan tidak melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak kerajaan
semata-mata kerana “ muafakat membawa berkat.” Semua pihak haruslah bersikap, “
bagai aur dengan tebing” dalam menjayakan usaha untuk memupuk minat membaca
dalam kalangan masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia pula, kita seharusnya turut
mempunyai inisiatif dalam mengubah diri bagi memupuk minat membaca dlam diri
kita sendiri kerana “ di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Janganlah kita
terlalu mengharapkan pihak lain dalam membentuk peribadi kita kerana
segala-galanya yang berlaku adalah pilihan kita sendiri.
AUNEE AZRINA ZULKIFLI
(5SC1)
No comments:
Post a Comment