Tuesday, July 10, 2012

Tekanan Kerja Guru


Profesion perguruan sungguh mencabar. Untuk menjadi seorang guru dan pengurus pendidikan yang baik, seorang guru harus peka dengan perkembangan terkini yang sentiasa mendatang juga sanggup untuk menghadapi proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Justeru itu, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab para guru menjadi lebih besar, mencabar dan kompleks. Cabaran dan tanggungjawab yang bertambah juga perubahan kurikulum dan kokurikulum baru dalam sistem pendidikan Malaysia sering dikaitkan dengan fenomena guru mengambil keputusan menukar kerjaya dan bersara awal. Perubahan yang sentiasa berlaku menyebabkan tugas guru semakin banyak di samping harapan masyarakat terhadap para guru semakin menggunung tinggi. Dengan itu, guru berasa amat tertekan kerana tidak mampu menangani tugas dan harapan yang sentiasa berterusan mengalami perubahan.

Menurut Girdano (1979), individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan dan produktif jika ia dalam keadaan tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Hal-hal ini akan menghalang seseorang mewujudkan sifat peribadi yang positif, apa lagi sifat toleransi dan kasih sayang.

Artikel ini akan membincangkan kajian yang dijalankan dengan tujuan: pertama, untuk mengetahui hubungan di antara kecerdasan emosi dengan tekanan kerja dan niat berhenti kerja dari profesion perguruan, dan kedua, melihat interaksi kesedaran kendiri, pengurusan kendiri, kesedaran sosial dan kemahiran sosial ke atas tekanan kerja dan niat berhenti kerja di kalangan guru.

Tekanan yang dihadapi oleh guru-guru biasanya dikaitkan dengan kepuasan dalam kerjaya perguruan tersebut. Kajian oleh Norkiah (1981) dan Abdul Wahid (1995) menunjukkan tidak terdapat hubungan antara tekanan kerja dengan kepuasan kerja. Hasil kajian Tan (1996) pula menunjukkan purata tekanan dalam kerjaya guru berada pada tahap sederhana, manakala dari aspek kepuasan kerja dalam kerjaya tersebut juga berada pada tahap yang sederhana sahaja. Manakala kajian Noor Azzuddin (1990) menunjukkan bahawa memang terdapat hubungan antara tekanan kerja dan kepuasan kerja dalam kerjaya guru.

Dapatan kajian Chan dan Hui (1995) menunjukkan guru menggunakan strategi melarikan dan mengelak bagi menangani tekanan. Hasil kajian ini selaras dengan kajiankajian yang dijalankan oleh Pratt (1978), Borg, Riding dan Fazlon (1991), Siti Rohani (1991) dan Abdul Wahid (1995).

Menurut Halpert (1966), terdapat dua faktor yang menyebabkan tekanan iaitu manifestasi tekanan fizikal dan kedua, berkaitan dengan kecerdasan emosi iaitu perasaan ragu-ragu mengenai keupayaan cara hendak berfungsi di dalam kelas sebagai seorang guru. Punca utama wujudnya tekanan di kalangan mereka disebabkan ketidaksetujuan mereka terhadap guru penyelia berkaitan dengan tugas, tidak bersetuju dengan personaliti guru-guru dan berkonflik dengan murid-murid. Semua ini berkaitan dengan ciri-ciri kecerdasan emosi menurut Goleman (1995) dalam dimensi yang kelima iaitu berkeupayaan dalam mengenali emosi orang lain di persekitaran kerjaya mereka. Begitu juga kajian oleh Pratt (1978) menyokong dapatan kajian Borg, Riding dan Fazlon (1991). Kyriacou (1978), Rudd dan Wiseman (1962) yang melaporkan bahawa tekanan kerja yang dialami dalam kerjaya perguruan disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah tidak ada kerjasama dari murid-murid yang agresif dan hubungan antara kakitangan di sekolah.

Menurut Pratt (1978), tekanan kerja di kalangan guru berpunca dari beberapa kategori iaitu tidak dapat mengatasi masalah pengajaran, tidak ada kesamaan dari murid yang agresif, penekanan kepada pembelajaran murid-murid dan hubungan dengan kakitangan sekolah. Semua ini terdapat dalam elemen-elemen kecerdasan emosi yang dinyatakan oleh Bar-On (1997) dalam domain hubungan interpersonal, dan Goleman (1995, 1998) dalam dimensi membina hubungan dengan orang lain (kemahiran sosial). Keputusan kajian lalu menunjukan tekanan kerja berhubung secara positif dan signifikan dengan kecenderungan niat berhenti kerja dalam kalangan guru sekolah (Kyriacou dan Sutcliffe 1979).

Kajian Kyriacou (1978) menunjukkan kepentingan sokongan sosial dalam menangani tekanan di kalangan guru-guru. Sokongan sosial mendasari keseluruhan strategi-strategi dalam usaha membantu mengatasi tekanan. Strategi ini boleh berupa strategi berbentuk tidak langsung mahupun strategi yang berfokus terus kepada emosi. Oleh itu berdasarkan kajian ini jelas kepada kita bahawa faktor tekanan kerja di tempat kerja khasnya yang melibatkan hubungan interpersonal (Bar-On 1997) merupakan salah satu elemen dalam kecerdasan emosi yang boleh menyumbang kepada peralihan atau berhenti kerja dari sesuatu kerjaya di kalangan para pekerja. Pendapat sama diberikan juga oleh Russel, Altmaier dan Valzan (1987).

Oleh itu sokongan sosial dan kemahiran sosial boleh membantu seseorang pekerja mengurangkan masalah tekanan di dalam organisasinya dan seterusnya mengelak dari untuk berhenti kerja. Ini jelas menunjukkan bahawa elemen dalam kecerdasan emosi membantu mengatasi tekanan dan mengelakkan pekerja dari berhenti kerja dari kerjaya yang mereka telah melibatkan diri.

P/s: Sila sebarkan tips ini kepada rakan lain yang mungkin mendapat kebaikan daripada perkongsian ini dengan meminta mereka merujuk ke blog ini. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment