PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK
“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia. Tiada simpanan yang paling berharga dan kekayaan yang paling mahal nilainya untuk kehidupan dunia dan akhirat jika dibandingkan dengan anak soleh, apalagi jika dilengkapi dengan pendidikan dan didikan yang betul dan lengkap berlandaskan Islam.
Terdapat empat kaedah asas untuk mendidik anak iaitu :
1- Didikan dengan menunjukkan contoh teladan
Didikan dengan menunjukkan contoh teladan adalah antara cara yang paling berkesan untuk membentuk peribadi anak-anak dari segi akhlak, rohani dan sosial. Orang yang mendidik merupakan contoh yang paling utama sekali kepada anak-anak. Samada guru ataupun rakan-rakan di sekolah mahupun jiran tetangga di rumah, majoriti mereka haruslah yang boleh memberikan teladan yang baik kepada diri anak-anak. Oleh sebab itu, adalah penting untuk ibu bapa memilih sekolah dan suasana tempat tinggal yang baik. Sekolah yang dipilih haruslah mementingkan soal-soal akhlak yang baik dan bukan sahaja mementingkan kemajuan akademik semata-mata. Jika sebaliknya, maka anak-anak akan lebih cenderung untuk mencontohi golongan majoriti yang tidak baik.
2- Didikan dengan nasihat dan bimbingan
Nasihat dan bimbingan merupakan kaedah mendidik yang berkesan. Nasihat dan bimbingan ini penting dalam proses menerapkan soal-soal ghaib atau berkaitan dengan keimanan, seperti soal mempercayai Allah SWT, mempercayai malaikat, kitab, Rasul, syurga neraka serta qada’ dan qadar. Proses nasihat dan bimbingan ini adalah menyampaikan ilmu mengenai segala hukum hakam agama (ilmu syariat), ilmu membersihkan hati (tasauf) dan juga segala peraturan yang ditentukan oleh manusia yang tidak bercanggah dengan hukum agama Islam. Ia penting supaya anak-anak mempunyai pemahaman yang jelas tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat.
Kaedah nasihat ini berperanan dalam menjelaskan keada anak-anak tentang segala hakikat, menghiasinya dengan moral yang mulia, dan mengajarinya dengan prinsip-prinsip Islam. Maka tidak pelik jika kita dapati al-Quran menggunakan kaedah ini dan berbicara kepada jiwa manusia dengan nasihat dan bimbingan yang berhikmah dan berperingkat. Al-Quran sering mengulang-ulang berbagai pengarahan dan nasihatnya untuk tujuan membimbing dan terus membimbing umat Islam kejalan yang benar. Anak-anak perlu diberi nasihat dan bimbingan sebanyak 200 kali untuk benar-benar faham dan menghayati apa yang ingin disampaikan. Ibu bapa tidak seharusnya berasa jemu atau patah semangat untuk berpesan kepada anak-anak dari semasa ke semasa.
3- Didikan dengan pemerhatian dan pengawasan
Maksud didikan dengan pengawasan ialah mendampingi anak-anak dalam usaha untuk membentuk akidah dan moral, memerhati dan mengawasi mereka dengan berkomunikasi secara terus menerus tentang keadaannya, baik dalam hal luaran dan dalaman mereka. Ia bertujuan untuk melahirkan anak yang seimbang, yang dapat menjalankan kewajipan-kewajipan dengan baik dalam kehidupan seseorang muslim.
Memerhati dan mengawas anak-anak juga merupakan satu daripada kaedah mendidik yang efektif. Ia tidak sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan dan menunjukkan contoh teladan sahaja, tetapi ia mesti diiringi dengan pemerhatian dan pengawasan daripada ibu bapa. Untuk melaksanakan ini, ibu bapa sendiri perlulah meluangkan masa mendampingi anak-anak dan sesekali mengikuti dan meninjau bagaimana perlakuan anak-anak ketika bermain dan bercampur dengan rakan-rakannya diluar, sewaktu anak melakukan kerja rumah dan sewaktu anak melakukan ibadah dan sebagainya.
Setelah pemerhatian dibuat dan dipastikan tingkahlaku sebenar anak-anak, maka ibu bapa perlu menganalisa samada mereka menunjukkan peningkatan atau penurunan. Ibu bapa haruslah ingat bahawa tingkahlaku anak-anak boleh berubah dengan hadirnya pengaruh atau faktor yang baru dalam hidup mereka.
4- Didikan dengan hukuman dan denda
Mendenda dan menghukum dibolehkan dalam Islam, tetapi ia ada cara-caranya tersendiri. Ini jelas ditunjukkan dalam al-Quran, dimana Allah SWT sendiri memerintahkan agar mereka yang bersalah dihukum. Sungguhpun hukuman dibenarkan, ia merupakan kaedah didikan yang terakhir sekali, iaitu selepas ibu bapa telah memberikan nasihat dan bimbingan serta teguran yang mencukupi. Tetapi hukuman itu hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu daripada hukuman yang ringan beransur-ansur ke berat. Ini bermakna, jika dengan hukuman yang ringan masih tidak berkesan, maka hukuman yang lebih berat boleh dilakukan.
Antara contoh hukuman yang ringan ialah mengasingkan anak supaya bersendirian dan agar anak sedar tentang kesalahan yang telah dilakukan. Ataupun mendenda anak supaya melakukan kerja tambahan ataupun memendekkan masa bermainnya. Hukuman memukul merupakan hukuman yang paling berat untuk seorang anak dan ia tidak akan mungkin mengulanginya selepas hukuman yang telah dilaluinya.
Selain mendidik anak-anak dengan menunjukkan contoh teladan, memberikan nasihat dan bimbingan, pemerhatian dan pengawasan serta memberikan hukuman dan denda, ibu bapa juga boleh menggunakan kaedah yang digunakan oleh Rasulullah SAW ketika mendidik anak-anaknya antaranya seperti:
1- Mengajari dan membiasakan anak-anak dengan ucapan salam
Diantara petunjuk dan kaedah Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak ialah. Setiap kali beliau bertemu dengan anak-anak maka beliau mengucapkan salam untuk mereka. Ini seperti yang diceritakan oleh Anas r.a bahawa :
”Rasulullah SAW berjalan dan bertemu anak-anak, maka baginda mengucapkan salam kepada mereka semua. Dan baginda sering melakukan hal tersebut”.
2-Memperlakukan anak-anak dengan sikap lembut, tulus dan penuh kasih sayang
Salah satu bentuk kasih sayang Rasulullah SAW ialah larangannya yang sangat tegas kepada sesiapa sahaja yang memperlakukan dan berinteraksi dengan anak-anak secara keras dan kasar. Dalam kisah lain, dari Usamah bin Zaid pernah mengutus puteri Rasulullah SAW kepada ayahnya, bahawa anak saya sudah menjelang ajal. Maka beliau mengutus seseorang dan mengirim salam seraya bersabda :
”Sesungguhnya apa yang diambil dan diberikan oleh Allah SWT adalah miliknya. Setiap sesuatu disisi Allah SWT memiliki batas akhir yang telah ditentukanNya. Oleh itu bersabarlah kamu dan berharaplah akan adanya pahala” .
Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam usaha membentuk sahsiah anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mendisiplinkan anak-anak terutama pada peringkat permulaan. Kegagalan mendidik anak-anak pada peringkat permulaan akan membawa suatu petanda buruk kepada pembentukan disiplin anak-anak
No comments:
Post a Comment