Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa menghiasi lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tampaknya, masalah gengsterisme, vandalisme, samseng jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Walhal, peranan keluarga amat signifikan untuk mengekang sindrom sosial terutamanya masalah remaja.
Salah satu peranan institusi keluarga adalah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang segala godaan maksiat . Senario ini dapat membantu anak-anak mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Sebagai contoh, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri atau menghantar mereka ke sekolah agama. Ketua keluarga perlu membimbing anggota keluarga untuk menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab. Sehubungan dengan itu, anak-anak dapat membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.
Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar kawasan sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar. Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia, remaja yang setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya. Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang mulia sehingga berjaya.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak. Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka meniru apa-apa sahaja yang dilihatnya. Bak kata peribahasa, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Ibu bapa perlu menjauhi kegiatan yang negatif seperti merokok, minum alkohol, mengakses laman web lucah dan lain-lain lagi. Bapa borek anak rintik merupakan peribahasa yang perlu dihayati oleh ibu bapa. Sikap ibu bapa yang ego, individualistik, materialistik, dan bongkak akan mencanai generasi muda yang berakhlak biadab dan berbudaya sumbang.
Dalam pada itu, kasih sayang yang sempurna dan kamil amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu , ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Kejadian ini berlaku kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang akan mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Ibu bapa perlu sentiasa melayani anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa sewajarnya membelai dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak-anak mereka. Sementelahan, ibu bapa perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang betul. Dengan itu, anak-anak akan berasa gembira dan seronok berada di rumah bersama-sama keluarga mereka. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka bersedia mendengar rintihan jiwa mereka. Ternyata keluarga yang harmoni berdominan untuk membanteras kegiatan negatif.
Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan masalah anak-anak. Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka. Dengan itu, setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga.
Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat
Dipetik dan diubahsuai dari Blog Cikgu Tan
No comments:
Post a Comment