Wednesday, January 11, 2012

Persekolahan Di Negara Malaysia

Setiap tahun, di samping cuti panjang, yang akan menjadi tumpuan adalah sesi persekolahan dan sesi tahun 2012 sudah bermula. Dalam kerancakan membeli pakaian, kasut dan beg sekolah, ada juga dalam kalangan ibu bapa dan penjaga berlumba-lumba mencari bahan bacaan, dan tidak kurang yang cuba mendapatkan guru tuisyen terbaik untuk anak mereka.

Yang berada di Tahun 6, pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); sudah pasti merasa bahangnya bukan saja diri sendiri tetapi ibu bapa yang mahu memastikan mereka mendapat keputusan terbaik dengan gred A sahaja.

Apakah makna sekolah sebenarnya? Adakah sekolah merupakan hanya tempat untuk mendapat gred terbaik atau ia sebenarnya merupakan penginstitusian tersohor melahirkan modal insan yang bukan hanya mencari ilmu tetapi turut menampilkan kreativiti dan kebolehan di samping menerokai nilai karakter keperibadian mulia. Apakah guru hanya menjadi cikgu yang mengajar ataupun sebagai 'pendidik'?

Iqra atau 'bacalah' merupakan tuntutan yang barangkali mahu melentur pembentukan insaniah yang berwajahkan akidah dan akhlak serta memenuhi acuan individu yang bersifat menyeluruh yang antaranya melibatkan peranan 'Cikgu' yang merupakan ungkapan yang amat mulia. Dalam wadah pendidikan, jasa dan sumbangan warga pendidik terhadap negara dan masyarakat amat besar. Guru menjadi ejen yang membina, melahir dan melentur generasi yang ada untuk kesinambungan negara-bangsa.

Guru juga berperanan memastikan sekolah menjadi lokasi paling disukai pelajar dan murid. Dahulu, ramai suka dan mahu terus berada di sekolah walaupun berhadapan dengan guru yang garang tetapi ia diimbangi dengan sikap ambil tahu dan menganggap murid seperti anak sendiri walau dari pelbagai latar belakang manakala bagi ibu bapa, guru adalah 'dewa ilmu' anugerah Tuhan yang tahu baik buruk untuk anak mereka. Maka guru diberi 'lesen' melakukan apa sahaja ke atas anak mereka kerana percaya guru komited ke atas ilmu; guru mahu memastikan sekurang-kurangnya murid mempunyai asas membaca, mengira dan menulis.

Inilah realiti alam sekolah kerana sukar mengharapkan kesemua pelajar akan mempunyai kecekapan dan kebolehan yang sama tetapi guru yang cekal serta gembira mengajar dan sentiasa mahu berada di sekolah kerana komitmen menjadi pendidik yang bukan sekadar sebagai satu 'pekerjaan' tetapi 'ibadah'.

Pelajar harus memahami makna sekolah tanpa merasa terpaksa ke institusi ini atau mahu diucap 'terima kasih' kerana hadir ke sekolah. Murid dapat memudahkan tanggungjawab guru jika memahami tanggungjawab dan peranan sebagai pelajar dan memberi maksud ke atasnya. Sekolah merupakan tempat pembinaan budaya ilmu dan pembudayaan negara bangsa dan aspirasi ini akan dapat dijiwai dengan mudah jika proses pengajaran dan pembelajaran tidak dianggap sebagai 'pilihan' atau 'paksaan'.

Jika ada yang menjadi guru kerana tidak ada 'pilihan', wajar imbas semula peranan guru mereka sendiri satu ketika dahulu dan bagaimana kesungguhan guru ketika itu yang memberi keutamaan kepada proses pemurnian sekolah itu sendiri. Barulah, cabaran dalaman dan luaran dapat diatasi dengan mudah kerana motivasi, keazaman dan kesungguhan memahami perkembangan alam sekolah; menguasai subjek dan pedagogi; menguasai teknologi terkini sebagai nilai tambah kepada kreativiti dan inovasi serta memiliki keyakinan yang membolehkan kepercayaan dilahirkan ke atas guru dan murid.

Alam sekolah yang kondusif turut memerlukan fungsi pentadbir yang tidak mengejar kedudukan peratusan kelulusan semata-mata tetapi percayalah mereka akan turut dihormati sekiranya mendahulukan pelajar yang terpinggir dan murid yang terkandas atau tercicir dalam pelajaran.

Mereka juga mahu didalami dan difahami bukan dimarahi tetapi memberi petunjuk dan menjadi idola sepanjang hayat mereka kemudiannya. Ramai yang berjaya hari ini bukan sekadar bergantung kepada ilmu tetapi tunjuk ajar guru yang menjadikan mereka 'manusia' dengan didikan berterusan tanpa mengira penat-lelah.

Guru sebegini harus diberikan pengiktirafan oleh pentadbir sekolah supaya mereka tahu dihargai. Pada zaman 1960-an dan 1970-an, profesion guru dianggap yang paling mulia kerana tanggungjawab sebagai pendidik. Mereka dihormati kerana sanggup mendaki gunung tinggi, menyusuri lurah bukit serta berpayung dalam hujan dan berkayuh basikal berbatu jauhnya semata-mata menjalankan tanggungjawab sebagai guru yang komited dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang berilmu.

Sebagaimana kata arwah Usman Awang, jika hari ini ada Perdana Menteri berkuasa; Raja menaiki takhta; Ulama yang mulia, Presiden sebuah negara; Peguam menang bicara; Penulis terkemuka; sejarahnya adalah bukan sahaja dari keluarga tetapi alam sekolah yang menjadikan mereka dewasa dan diajar penerapan akhlak mulia.

Bermakna, pelajar yang bermasalah juga memerlukan perhatian supaya tidak berkecenderungan membantut dan menamatkan hayat pembelajaran murid yang merupakan penjana wawasan dan misi negara. Jika murid itu gagal, kesemua pihak terbabit iaitu ibu bapa, guru, sekolah, media, rakan sebaya, persekitaran atau individu itu sendiri memilih untuk melakukan kesalahan bertanggungjawab. Alam sekolah hanya bermakna jika masing-masing memainkan peranan dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas untuk membangunkan seseorang murid.

Malahan, alam sekolah tidak sewajarnya membebankan. Subsidi berterusan diberikan oleh pihak berwajib dan baucar tuisyen dan kemudahan lain boleh diperhebatkan melalui pelbagai mekanisme agar pelajar tidak menjadikan ia sebagai alasan tidak mahu merasai alam sekolah.

Bagaimana pelajar yang tidak berkemampuan dapat menyesuaikan diri dengan persaingan yang diwujudkan oleh guru dan harapan serta tuntutan ibu bapa jika sekiranya tidak bermakna kepadanya sehingga berkecenderungan untuk melahirkan pelajar yang inferior ke atas prestasinya akibat ketiadaan dayatahan pertembungan dengan pelajar yang berkemampuan.

Kita tidak boleh membiarkan pelajar yang berkemampuan terjerumus dalam kancah pertarungan yang memberi kepentingan bertunjangkan kepada materialisme pemilikan wang ringgit. Budaya pencapaian pelajar yang sebenarnya berkemampuan dari segi akal-fikirannya tetapi menjadi mangsa kerana berada dalam kepompong keluarga berpendapatan rendah tidak boleh dikompromi.

Alam sekolah dicorakkan oleh guru, murid, pentadbir, ibu bapa dan kita sebagai anggota masyarakat. Jika murid gagal, kita juga bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut sebagaimana kita merasa mahu berkongsi kejayaan mereka. Memperkasakan alam sekolah adalah tanggungjawab bersama dan memartabatkan ilmu, kemahiran dan kebolehan juga adalah tanggungjawab bersama.

Saya berterima kasih kepada alam persekolahan yang berbeza-beza baik di Tanjung Malim mahupun Kuala Lumpur kerana tanpanya dan keberkatan ilmu, pedoman dan ajaran mereka, tidak mungkin kegagalan boleh membawa pancaran sinar baru dalam kehidupan.

Kepada yang melangkah masuk dan sudah berada di persimpangan, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin dengan diberkati mereka yang ada di sekeliling anda, berikanlah sekolah makna dalam hidup anda.

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment