Alhamdulillah, telah bermula sesi persekolahan tahun 2012 - Ketika coretan ini saya nukilkan, sudah 11 hari pelayaran kita dalam tahun 2012. Terasa terlalu cepat masa beralu dan secara tidak langsung usia kita juga semakin tua atau kalau malu untuk disebut tua ; usia kita semakin bertambah. Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan merahmati kita untuk meneruskan kehidupan yang fana ini.
Agak lama juga saya tidak dapat menulis dalam blog ini...mungkin ada yang merindui bahan ilmu daripada saya. Insya Allah, saya akan cuba mengaktifkan diri untuk menulis semula dalam waktu terdekat ini. Tujuan utama saya menulis bukan untuk menonjolkan diri, sekadar untuk berkongsi ilmu dan bertukar pandangan serta idea dengan sahabat, dengan anak-anak didik dan dengan pencinta ilmu. Ilmu yang dipaparkan adalah ilmu Allah yang digarap, diolah dan ditambah nilai untuk mudah difahami. Semoga dapat dimanfaatkan untuk mencapai cita-cita, sterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Seperti biasa, di awal persekolahan ini agak sibuk, banyak perkara yang perlu dirancang dan diselesaikan. Antara yang perlu diberi perhatian ialah post mortem PMR, penyediaan head count, pelbagai mesyuarat, proses pembelajaran dan pengajaran, perancangan strategik dan lain-lain. Tak menang tangan dibuatnya. Walau bagaimanapun, kerja tetap perlu diteruskan. Kita perlu senaraikan semua tindakan yang perlu dibuat dan dilaksanakan mengikut keutamaan. Bak kata pepatah, berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit.
Alhamdulillah, anak-anak didik tidak menimbulkan banyak masalah setakat ini. Harap-harap mereka telah sedar daripada lena mimpi semalam. Moga jati diri mereka terus kukuh dan ampuh, moga mereka terus bermotivasi dan moga mereka dalam rahmat Allah. Tiada yang menggembirakan hati seorang guru, selain daripada mempunyai anak didik yang sangat dedikasi, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah.
Moga tahun ini SMK Sijangkang Jaya akan terus unggul dan cemerlang.
No comments:
Post a Comment