Friday, July 1, 2011

Isu Pendatang Tanpa Izin : Tindakan Pemutihan Perlu Segera Dilakukan



Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

ISU kebanjiran pekerja dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di mana-mana negara tidak pernah selesai.

Malaysia tidak terkecuali. Sejak 1990-an lagi, sebanyak lima program pemutihan PATI termasuk dua di Sabah telah digerakkan.

Penguatkuasaan dan pengusiran dibuat tetapi masalah kebanjiran kumpulan itu terus berulang. PATI datang dan pergi ke negara ini - mengaut rezeki 'haram' mereka dan pulang semula ke negara asal.

Meskipun begitu, Kuala Lumpur tidak pernah berputus asa.

Kali ini kerajaan dilihat amat serius mahu membendung kebanjiran PATI. Dengan kos tanggungan untuk menampung seorang PATI yang ditempatkan di 13 depot Imigresen pada kadar purata antara RM13 hingga RM30 setiap seorang untuk lima kali makan sehari, masanya telah tiba untuk menangani isu yang berlarutan sekian lama ini.

Menerusi Program 6P yang bermula 11 Julai depan, ia membawa maksud kepada enam peringkat pelaksanaan yang akan digerakkan sepanjang tempoh Program Penyelesaian Menyeluruh PATI.

"Beza program pemutihan dahulu dan Program 6P ialah kali ini ia bertujuan mendapatkan data serta biometrik sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh statistik jumlah mereka di Malaysia.

"Program bermula dengan peringkat Pendaftaran dari 11 Julai hingga 24 Julai; Pemutihan dan Pengampunan (tiga bulan dari 8 Ogos hingga 31 Oktober); Pemantauan (seminggu dari 1 hingga 7 November) dan penguatkuasaan serta pengusiran yang dilakukan secara berterusan sehingga 31 Disember nanti," kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam dalam satu taklimat kepada media di Putrajaya Khamis lalu.

1. PENDAFTARAN

- Tindakan ini selari dengan inisiatif kerajaan mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan.

Ini termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.

Dalam peringkat ini, majikan-majikan atau PATI mereka yang secara sukarela mendaftarkan diri tidak akan disenaraihitamkan atau dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Malahan PATI yang telah berdaftar dibenarkan kembali bekerja dengan majikan masing-masing menggunakan pas sementara bagi memastikan langkah tersebut tidak mengganggu aktiviti negara.

2. PEMUTIHAN

- Setiap PATI yang telah berdaftar akan dikenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing.

Jika hasil pertimbangan mendapati PATI terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan itu, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya didaftarkan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar.

Proses pemutihan ini akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.

3. PENGAMPUNAN

- PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka, masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen.

4. PEMANTAUAN

- Naziran ke premis-premis seluruh negara akan dilakukan untuk memberi nasihat kepada majikan selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P.

Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta.

5. PENGUATKUASAAN

- Pada peringkat ini, operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.

6. PENGUSIRAN

- PATI yang ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu akan dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari negara ini.

Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.

Mahmood memberitahu, empat kategori warga asing yang perlu mendaftar/didaftarkan ialah:

i. Semua warga asing yang telah masuk ke Malaysia tanpa izin dan kini tinggal serta bekerja di negara ini secara tidak sah.

ii. Semua warga asing yang masih tinggal di Malaysia selepas pas atau permit kerjanya tamat tempoh atau dibatalkan.

iii. Semua warga asing yang telah menyalahgunakan permit masuk, pas atau dokumen-dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan.

iv. Semua warga asing yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang ditetapkan undang-undang Malaysia.

Menurut beliau, pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) juga tertakluk kepada keperluan untuk mendaftar di bawah Program 6P.

Mengenai keperluan pekerja asing yang mempunyai dokumen atau permit kerja sah tetapi tempoh kebenarannya hanya berbaki satu tahun berakhir untuk turut menyertai program ini, beliau menjelaskan: "Tidak perlu. Pendaftaran untuk program ini hanya dihadkan kepada PATI.

"Tidak ada bayaran dikenakan untuk proses pendaftaran jika ia dibuat di pejabat Imigresen. Tetapi jika pendaftaran dibuat dengan syarikat pengurus, caj perkhidmatan perlu dibayar. Senarai bayaran akan dimaklumkan kelak," kata Mahmood.

Pusat pendaftaran untuk PATI, kata beliau, akan dibuka di setiap daerah di Semenanjung. Bagaimanapun untuk memudahkan PATI serta majikan, mereka disaran menghubungi Bilik Gerakan KDN di talian 03-8886 8110/8112 atau talian hotline Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN1-800-22-9696 bagi merujuk lokasi terdekat dengan premis mereka masing-masing.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

3 comments:

  1. AWWABIN INDUSTRIAL SERVICE SDN BHD MERUPAKAN SALAH SATU SYARIKAT YANG MENDAPAT KELULUSAN UNTUK MENGURUSKAN PROSES PENDAFTARAN PENDATANG TANPA IZIN INI.KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT BOLEH MENGHUBUNGI KAMI DI spkria@gmail.com. SEKIAN TERIMA KASIH

    ReplyDelete
  2. Kepada Agen / syarikat / majikan / individu yang ingin membuat permohonan permit kerja sah / permit tamat tempoh / tiada dokumen bagi pekerja asing / pendatang tanpa izin (PATI), boleh menghubungi saya di 013 - 2728143 @ ridzman@gmail.com untuk mendapatkan borang atau keterangan lanjut.

    *saya bukan broker atau orang tengah tetapi terus dari panel yang dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Sila daftar awal untuk mengelak daripada kesulitan dan kelewatan yang tidak dijangka.

    ReplyDelete
  3. Adakah PATI yg memegang pas sementara dibolehkan pulang ke negara asal masing-masing untuk beberapa ketika kemudian kembali ke Malaysia untuk bekerja semula?

    ReplyDelete