Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Thursday, January 27, 2011
Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar : Isu Besar Yang Harus Ada Penyelesaian
Sama ada di dada akhbar mahupun di paparan media elektronik, masyarakat seringkali diwar-warkan dengan pelbagai berita yang menyentuh hal yang berkaitan dengan sekolah. Mengapa terlalu banyak masalah dikaitkan dengan sekolah hari ini?. Dari isu lapok seperti merokok dan ponteng hinggalah kepada masalah gengsterisme. Sekarang ini tiba-tiba sahaja orang sibuk mengaitkan sekolah dengan buli walaupun ini merupakan bentuk keganasan yang terawal dan biasa di sekolah. Jika tidak kerana kejadian yang menimpa seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah agama baru-baru ini, orang ramai masih menganggap buli adalah perkara biasa, khususnya di sekolah-sekolah berasrama.
Persoalan pokok yang wujud dan timbul dibenak pelajar yang terlibat dengan kejadian buli ialah mereka tidak memahami erti buli yang sebenar. Pembuli atau mangsa buli kadang-kadang tidak tahu bahawa tindakan yang mereka lakukan itu dikategorikan sebagai kes buli. Lebih menyedihkan lagi ada sesetengah menganggap hal buli sebagai perkara remeh dan tidak perlu dijadikan isu.Bagi mereka "bunga-bunga" buli tidak memberikan apa-apa kesan. Sikap sudah terhantuk baru terngadah ini harus dikikis dalam jiwa mangsa buli. Janganlah berasa tersentak hanya setelah berlakunya kecederaan parah atau tinggal nyawa-nyawa ikan barulah terasa diri di buli.
Hampir semua pelajar yang pernah belajar di sekolah berasrama penuh mengetahui wujudnya buli, walaupun hanya segelintir yang menjadi mangsa atau pembuli.Tetapi saya percaya sebahagiannya tidak pula menganggap perkara ini serius dan perlu diperbesar-besarkan. Bagi mereka, buli yang dilakukan oleh pelajar senior ke atas pelajar junior adalah satu bentuk yang boleh diterima sebagai satu cara untuk menambahkan keyakinan hidup di asrama, untuk belajar hidup berdikari, menerima sedikit tekanan dan tidak dimanjakan. Malahan hubungan lebih mesra antara pelajar senior dengan pelajar junior akan berlaku selepas itu.
Tetapi orang lupa bentuk buli itu tidaklah sampai membunuh seperti yang berlaku pada diri Muhammad Farid Ibrahim. Buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini berlaku berkali-kali (Hazler & Hoover, 1993).
Oleh kerana gejala buli berlaku dalam tempoh yang panjang dan berkali-kali ia sepatutnya mudah untuk dikesan kerana ia memungkinkan wujud petanda-petanda awal. Petanda-petanda awal itu sepatutnya boleh dihidu, diramal dan dikesan oleh pengurusan sekolah.Kajian tentang buli telah dilakukan di kebanyakan negara sejak 1970-an lagi. Misalnya kajian di Norway oleh Olweus (1978), Kanada oleh Bentley (1994), USA oleh Hoover et al. (1993), Itali oleh Genta et al. (1996), Jepun oleh Hoover et al. (1993) dan Australia oleh Rigby (1996).
Di Malaysia orang yang paling menonjol kajiannya tentang buli ialah Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Malahan apabila Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan yang baru mula menangani kes samseng dan buli ini secara serius sehingga dibentuk Jawatankuasa Petugas Khas, dan talian hotline tentangnya ia merupakan satu pengiktirafan secara tidak langsung terhadap usaha gigih wanita ini tentang buli dan implikasinya terhadap pengurusan sekolah.
Walau apapun matlamat baik yang cuba diketengahkan daripada tindakan buli, buli tidak boleh dibenarkan. Tindakan menyakitkan perasaan dan fizikal orang lain apatah lagi mencederakan dan membunuh tidak dibenarkan baik dalam agama apa sekalipun. Ia bukan boleh dibuat jenaka atau dilakukan dengan tujuan berseronok-seronok. Dalam budaya Melayu buli hampir tidak ada seperti juga April Fool. Dalam Islam lebih-lebih lagilah. Allah berfirman bermaksud: “janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi ”.
Jika kita ingin memerangi keganasan, dan tidak bersetuju dengan tindakan pengganas kita hendaklah menyekat buli ini kerana dari sinilah punca-punca keganasan bermula dan bakal-bakal pengganas amatur dibentuk.Menurut Trump, KS (2000) dalam bukunya Classroom Killers? Hallway Hostages?: How Schools Can Prevent And Manage School Crises buli akan melahirkan sekumpulan orang muda yang bertindak sebagai penyerang. Menurut beliau lagi jika pendidik peka terhadap masalah perlindungan, mereka harus bermula dengan sebab-sebab yang mencetuskan gejala buli, berusaha untuk meminimumkannya ketika pelajar masih dalam usia kecil dan memeranginya secara konsisten. Ini termasuklah dalam melaksanakan strategi-strategi perlindungan dan pencegahan ketika anak-anak membesar dalam saat-saat persekolahan mereka.
Adalah penting untuk kita ingat bahawa buli, konflik verbal, sentuhan fizikal dan yang berhubung dengan tindakan agresif masih menjadi bentuk yang biasa dalam masyarakat. Trump menegaskan bahawa bentuk-bentuk keganasan sekolah ini merupakan petanda awal kepada bentuk keganasan yang lebih besar dalam masyarakat. Sebab itu mengendalikan masalah kecil di sekolah adalah penting untuk kita mengelakkan berlakunya masalah yang lebih besar.
Kita tentu tidak mahu insiden buli ini menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya ialah insiden Columbian High School. Urutan kehangatan peristiwa-peristiwa tembak-menembak yang berlaku di sekolah di sekitar Amerika Syarikat pada akhir 1990-an, satu dokumen bertajuk Early Warning, Timely Respons: A Guide to Safe Schools (Dwyer, Osher, Werger 1998) telah diterbitkan. Dokumen itu menyenaraikan satu panduan amaran awal bagi membantu orang dewasa bagi mendekati kanak-kanak yang bermasalah secara cepat dan berkesan. Dalam dokumen itu, penulisnya menekankan akan bahaya menyalahertikan atau mengabaikan tanda-tanda pengenalan ini. Penulis menambah budak-budak yang bermasalah selalunya menunjukkan banyak tanda amaran awal dan ini berlaku secara berulang dengan yang akhir lebih teruk atau serius dari yang awal. Inilah yang perlu dikesan oleh pengurusan sekolah, terutamanya guru kaunseling.Kesan psikologi, kesihatan mental, jenayah, keganasan dan serangan semuanya merupakan isu yang kompleks.
Walaupun kita tidak dapat mengelakkannya atau hanya melihat secara luaran sahaja terhadap isu-isu ini, namun kita tidak perlu menunggu hingga ke tahap “paralysis by analysis” atau menanti indidvidu tertentu yang mempunyai ijazah kedoktoran dan bertahun-tahun pengalaman dalam profesion kesihatan mental untuk mengesan petunjuk awal keganasan.(Zain-ter).Realitinya, kemahiran pemerhatian yang baik dan “common sense” oleh para guru, ibu bapa dan orang ramai tentang petanda amaran awal ini akan membantu mengatasi masalah ini. Common sense dan kesedaran yang tinggi tentang tanda-tanda awal keganasan, digabungkan dengan masa yang mencukupi serta “follow-through” yang sesuai akan membantu sekolah menangani tragedi keganasan ke atas remaja yang lain. Di samping itu ia akan dapat mengelakkan penglabelan yang tidak sesuai dan salah kenal terhadap remaja sebagai pesalah-pesalah keganasan.
Wujudnya hot line buli di bawah kementerian pelajaran yang baru dilihat betapa seriusnya masalah buli. Sesetengah pula melihat sebagai satu sindiran kepada pihak pengurusan sekolah yang gagal menangani masalah disiplin sehingga menteri terpaksa campurtangan. Apakah tidak ada sesiapa lagi di sekolah yang tidak boleh diharapkan oleh pelajar sehingga mereka terpaksa berhubung terus dengan kementerian untuk membuat aduan?. Pendedahan oleh sesetengah media menunjukkan betapa sekolah gagal memainkan peranan yang sepatutnya. seolah-olah sekolah tidak selamat lagi untuk para pelajar.
Sama ada disukai atau tidak, pengetua dan guru besar selaku pemimpin di sekolah harus menerima perkembangan ini dengan fikiran terbuka. Tindakan terbaru ini harus dilihat sebagai perkembangan yang positif kerana ini menunjukkan semua pihak semakin sedar masalah ini dan berghairah untuk membantu pihak sekolah.Inilah masanya sekolah mengambil kesempatan untuk mendedahkan punca sebenar masalah ini kepada umum. Inilah masanya sekolah menuntut peranan semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat agar melihat peranan masing-masing untuk membantu sekolah.Perasaan kita tentang sebilangan kecil yang tidak senang dengan sekolah harus disingkirkan kerana majoriti masyarakat kita masih sayangkan sekolah.
Alasannya mudah. Bukankah di sinilah anak-anak, anak-anak saudara, dan cucu-cucu mereka ditempatkan dalam suatu tempoh yang bukan pendek. Mereka menyerahkan tugas mendidik dan menjaga keselamatan anak-anak mereka kepada guru-guru. Mereka percaya guru-guru mampu melakukannya dan menunaikan tanggungjawab sebagai in loco parentis dalam tempoh masa rasmi persekolahan.Walaupun dikatakan segala-galanya bermula di rumah, tetapi dengan segala kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, ditambah dengan kepakaran mendidik yang ada pada guru-guru, sekolah dilihat berupaya memainkan peranan lebih utama dalam pembentukan calon pemimpin, pekerja dan ahli masyarakat masa depan. Justeru, sekolah wajar mengambil langkah berjaga-jaga yang berpatutan supaya tidak dituduh cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai in loco parentis.
Al-hamdulillah dengan pendekatan berakhlak dan beragama yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi segala-gala yang tidak berjalan menurut akhlak dan agama diperangi habis-habisan. Dari memerangi cetak rompak, video lucah, sehinggalah kepada rasuah, sehinggalah kini memerangi gejala ponteng dan buli.Usaha mengatasi masalah disiplin pelajar umumnya dan buli khasnya hanya akan berjaya jika ia dilakukan secara ikhlas, konsisten dan melibatkan semua pihak secara sedar dan terancang. Tindakan secara ad hoc dan berkala hanya dilihat sebagai tindakan hangat-hangat tahi ayam. Usaha murni ini tidak wajar dilakukan dengan melihat kesalahan orang lain.
Selagi ada pihak yang mendakwa ada pihak yang lebih bersalah daripada pihak yang lain, usaha ini tidak akan ke mana-mana.Ingat kita melaksanakannya bukan untuk menunjukkan siapakah di antara kita yang lebih hebat, jauh sekali untuk mencari kesalahan pihak lain tetapi semua ini dilakukan atas satu kesedaran bahawa semua pihak bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku pada anak-anak bangsaMalaysia yang merdeka. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini, baik sebagai guru, ibu, bapa, masyarakat, pemimpin, media dan sesiapa sahaja akan memberi impak yang besar bagi pembentukan generasi akan datang. Tentulah cara kita berbeza-beza menurut peranan dan fungsi kita masing-masing.
Hakcipta Abd Bashid Harun
No comments:
Post a Comment