Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Thursday, January 27, 2011
Gejala Buang Bayi : Isu Yang Perlu Dirungkai Dengan Segera
Tahun 2011 baru seminggu membuka tirainya tetapi dalam tempoh itu tujuh kes buang bayi dilaporkan.
Angka itu perlu diberi perhatian serius dan bimbang dengan gejala yang berterusan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerajaan akan memperhebatkan kempen kesedaran dalam usaha menyekat gejala itu daripada berlarutan.
"Kerajaan komited terhadap usaha membanteras perbuatan membuang bayi yang kini menuntut tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Kami Prihatin' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Kempen itu adalah untuk mencetuskan rasa keinsafan dan menebalkan kembali nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak dan buang bayi.
Shahrizat berkata kementerian akan terus mendekati golongan remaja hingga ke peringkat akar umbi selain mempergiatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam menjalankan kempen kesedaran mendidik masyarakat.Beliau berkata media massa dan badan-badan agama juga perlu terus memainkan peranan yang lebih kritikal bagi membendung gejala itu.
Petikan yang saya coretkan itu adalah antara paparan yang membuktikan bahawa gejala buang bayi terus menular dalam masyarakat Malaysia.Mengapa perkara ini terus berlaku? Di mana nilai kemanusiaan dalam diri masyarakat? Sampai bila kita akan terus menatapi peristiwa ini ? Melampau, perangai binatang, tidak berguna, haiwan berkepala manusia, dan pelbagai istilah lain yang diberikan kepada mereka yang melakukan perkara terkutuk itu.
Yang pasti, hati kita terguris luka, benak kita memberontak dan jiwa kita terseka apabila menyaksikan insan suci terdampar dalam sungai, terperosok dalam timbunan sampah, tergantung dipintu pagar masjid, ditanam hidup-hidup, tubuh badan digonggong anjing, dikerumuni semut atau terbiar kaku berulat. Air mata mana yang tidak mengalir menyaksikan semua situasi ini. Itupun sekadar kes yang dapat dikesan, mungkin banyak kes yang tidak mampu dikesan dan hanya menjadi igauan pelakunya. Mengapakah ini boleh berlaku? Di manakah silapnya ? Siapakah yang harus dipersalahkan ?
Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai pihak sama ada kerajaan, pihak berkuasa, ahli politik, masyarakat, guru dan ibu bapa harus berganding bahu dan seia sekata untuk sama-sama membasmi kebejatan sosial yang semakin melampau ini. Kita buangkan sikap ego dalam diri kita, kita satukan idea, kita satukan tekad dan kita satukan kerjasama. Mengalah bukan bererti kita kalah. Mengenepikan perbezaan politik bukan kerana menjaja maruah tetapi demi melihat dan membina sebuah bangsa yang tidak kembali dengan sifat jahiliah.
Untuk mengatasinya, kita perlu kembali melihat puncanya. Jika punca tidak dikekang atau diatasi, buatlah apa saja program pembasmian, semuanya akan menjadi sia-sia. Sediakanlah peruntukkan berjuta ringgit semuanya akan menjadi "seperti mencurahkan air ke atas daun keladi".Kita bukan menolak pembangunan tetapi, pembangunan perlu seiring dengan pembangunan modal insan yang berakhlak dan beretika atau lebih tepat menyediakan modal insan yang mantap iman di hati.
Kerajaan sebagai pihak berkuasa, perlu menggubal sistem pendidikan negara supaya dapat membentuk iman yang mantap dalam jiwa generasi pewaris bangsa. Tidak cukup sekadar untuk melahirkan seorang insan berpendidikan sahaja. Kita berlumba-lumba untuk mendidik generasi yang mengenali sejarah negara atau kita risau kalau anak bangsa kita lupa pada sejarah tetapi tidak risau kalau kita gagal menanamkan iman dalam jiwa pelajar. Sedangkan iman itulah yang menentukan kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Kita tidak mahu didakwa oleh anak bangsa kita, kehinaan yang berlaku dalam diri mereka disebabkan dasar pendidikan kita yang tidak mampu membentuk keperibadian mereka.
Kita juga perlu menamatkan program-program yang menjadi bibit-bibit kepada pergaulan bebas dan "kekacauan" jiwa remaja. Program hiburan sempena sambutan tahun baru, program ambang merdeka dan pelagai program hiburan selalunya menjadi "tiket" untuk pergaulan bebas. Bukan tidak boleh menyambut dan meraikan majlis itu, tetapi biarlah kita raikan berlandaskan ajaran Islam. Sekurang-kurangnya kita mampu mengajak remaja mendekati Allah dan membersihkan jiwa remaja kita daripada melakukan perkara tidak baik.
Pihak berkuasa juga harus tegas dalam menangani bunga-bunga kepada permasalahan sosial. Tindakan segera perlu diambil berdasarkan peruntukkan undang-undang supaya memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat. Pihak berkuasa tidak perlu memberi muka kepada mereka yang didapati berdua-duaan atau dalam keadaan yang 'memualkan' di tempat-tempat awam. Apa yang menghairankan, terdapat terlalu ramai remaja yang berlaku sumbang di tempat-tempat awam dan inilah salah satu punca kepada masalah buang bayi.
Selain itu, pihak berkuasa perlu membanteras faktor-faktor yang boleh mengghairahkan pelajar untuk melakukan maksiat yang berakhir dengan pembuangan anak. Operasi membanteras CD lucah, media lucah, filem lucah, bahan bercetak lucah harus dilakukan dengan berkesan agar dapat dipadam terus dari minda rakyat Malaysia. Tentu ada kaedah atau cara yang boleh diambil untuk mengatasi masalah itu. Janganlah operasi hanya bermusim atau ada "tangan-tangan" yang boleh terlepas dan berdondang sayang dengan penyebaran bahan-bahan tersebut. Jika ini dapat dikuatkuasakan, sudah tentu kita mampu membendung masalah sosial yang tercetus akibat bahan rangsangan yang mudah didapati.
Ibu bapa juga perlu menilai balik tanggungjawab mereka. Kegagalan ibu bapa menanam jati diri dalam jiwa anak-anak menyebabkan mereka tidak mampu mengawal diri mereka. Ibu bapa berperanan ;
a) Memberikan didikan agama secukup dan selengkapnya.
b) Mengawal dan mengawasi pergerakkan anak-anak
c) Mengambil tindakan ke atas anak yang "liar"
d) Menghalang anak-anak terlibat dalam pergaulan bebas.
e) Mengadakan perbincangan dengan anak-anak'
f) Menjadi suri teladan kepada nak-anak
g) Jangan terlalu mementingkan kerjaya
h) Memastikan anak-anak sentiasa mengamalkan amalan agama
i) Memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan bahan memudaratkan spt CD
Apalah ertinya kesenangan dan kekayaan, jika anak kita boleh menguggat maruah keluarga atau memalukan keluarga kita.
Pihak sekolah juga seharusnya mengingatkan pelajar tentang kesan buruk yang akan berlaku jika mereka terlibat dengan masalah sosial. Peringatan haruslah diberikan setiap masa, bukan hanya sekali. Dedahkan kepada mereka tentang dosa dan hukuman jika mereka terlanjur atau terlibat dalam gejala buang bayi.
Bukanlah hasrat saya untuk mengajar tetapi kita perlu kembali kepada persoalan pokok untuk untuk menangani masalah pembuangan bayi ini. Kita mahu generasi kita tidak lagi terlibat dalam masalah ini.
No comments:
Post a Comment