Thursday, June 3, 2010

Tawarikh - Bangsaku Gemilang

TAWARIKH BANGSAKU
Acapakali kudengar slogan nan indah cemerlang dan gemilang
bermain-main pada gegendang telingaku ini
namun rohnya bagaikan tidak padu
lantas dalam membilang-bilang
padulah ia dek kata terbilang
lalu mantaplah ia pabila dilaung dan didendang oleh bangsaku
ke sana dan ke sini
sebagai tangkal membina keyakinan diri.

Cemerlang,gemilang dan terbilang membawa aku menerobos hikayat lama tentang tawarikh bangsaku
mencari-cari aku di dalamnya
lalu kutemui tawarikh bangsaku pada tinta yang pudar warna
menukilkan kata bahawa bangsaku memang bangsa cemerlang, gemilang dan terbilang.

Tawarikh bangsaku memang cemerlang, gemilang dan terbilang
kerana
Datukku panglima Awang pernah bergelar Alexander The Great
telah memandu Magellan dari Cardova
meredah lautan luas dengan ombaknya nan buas itu
merentas alam maya menjejak peta dunia.

Tawarikh bangsaku memang cemerlang, gemilang dan terbilang
kerana
lewat dahulu bahasaku lingua franca
di pelabuhan dagang yang sesak pelbagai bangsa
lantas memaksa Pigafetta dan Wilkinson menyusun daftar bahasaku
menjadi kamus untuk bangsa mereka dan teman-teman.
di desa dan istana
bahasaku jua penyambung lidah
mubaligh dan cendekiawan menyampai ajaran nan kudus

Tawarikh bangsaku memang cemerlang, gemilang dan terbilang
kerana hingga kini jua
bahasaku masih mampu berdiri di maya pada ini
sebagai lima bahasa utama
masih belum mati ditelan dek zaman
walau ada jarum yang menusuk-nusuk jasadnya.

Tawarikh bangsaku memang cemerlang, gemilang dan terbilang
kerana
bumiku di pesisir pernah berdiri megah
menjadi kerajaan maritim
desa nelayan di muara sungai duyung
menjadi empayar besar
menjadi pelindung pada bangsa yang lemah
menjadi sahabat pada empayar yang hebat.

Tapi tawarikh bangsaku juga memang terbilang
kerana
bangsaku suka berhasad dengki sesama sendiri
meremeh budaya sendiri
sudah ramai pula yang pudar pekerti diri
hingga hilang jati diri
hingga tak tahu di mana tempat berdiri.

Tawarikh bangsaku ini
adalah cerminan diri
untuk mencari akar diri sendiri
agar teguh berdiri menjujung panji-panji bangsa
dalam kilauan sains dan teknologi
untuk satu tawarikh lagi.

No comments:

Post a Comment