PERANAN BELIA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA
Dasar Pembangunan Belia Negara menakrifkan bahawa belia ialah orang yang
berumur dalam lingkungan 15 tahun hingga 40 tahun. Statistik kependudukan
menunjukkan bahawa jumlah belia di Malaysia ialah 12.9 juta daripada 28 juta
penduduk di Malaysia. Ini membuktikan bahawa golongan belia merupakan
penduduk majoriti yang menjadi aset negara untuk menggalas cabaran yang bakal
dipikul oleh negara pada masa akan datang. Justeru, sumbangan mereka
amat diperlukan untuk merealisasikan wawasan negara.
Antara sumbangan belia dalam pembangunan negara adalah gigih dalam membuat
kajian dan penyelidikan untuk kemajuan negara. Belia perlu melengkapkan
diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memudahkan penyertaan mereka dalam
pembangunan nusa bangsa serta menghadapi cabaran globalisasi. Kegigihan
dalam membuat penyelidikan dengan mengaplikasikan ilmu-ilmu yang pernah dipelajari
perlu untuk menghasilkan inovasi agar Malaysia mampu berdiri sama
tinggi, duduk sama rendahdengan negara-negara lain dari segi R&D
(Research anda Development). Dengan itu, Malaysia akan menjadi sebuah
negara yang tersohor di dunia kerana keterlibatan belia dalam penyelidikan yang
membuahkan hasil yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Di samping itu, generasi masa kini juga perlu bersiap siaga untuk menjaga
keamanan negara. Golongan belia digalakkan menyertai pasukan keselamatan
sama ada terlibat secara langsung menjadi anggota keselamatan atau menjadi
sukarelawan sahaja. Sekiranya para belia melibatkan diri secara aktif
dalam aktiviti seumpama ini, mereka bukan sahaja menyumbang dalam menjaga
kemerdekaan negara malah mereka dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan
gejala-gejala yang tidak sihat seperti menagih dadah, gengsterisme, vandalisme
dan mencuri. Justeru, keselamatan negara akan terus terjamin kerana
golongan belia sentiasa berada di barisan hadapan untuk mengelakkan daripada
sejarah lama berulang kembali bak kata peribahasa, "pisang tidak
berbuah dua kali."
Bukan itu sahaja, golongan belia juga perlu sentiasa memelihara semangat
bersatu padu antara kaum. Mereka hendaklah menjalinkan hubungan baik
antara kaum dengan mengamalkan sikap tolak ansur dan saling menghormati antara
satu sama lain. Belia juga harus bijak menilai kebenaran berita yang
diperoleh kerana dikhuatiri terdapat dakyah daripada orang yang ingin menangguk
di air yang keruh untuk memecahbelahkan kaum di negara ini. Oleh
hal yang demikian, perpaduan amat penting untuk dikekalkan oleh belia demi
pembangunan negara yang berterusan dan rakyat hidup dengan tenang seperti air
dalam terenang.
Tuntasnya,
golongan belia merupakan pewaris kemerdekaan dan penerus kemajuan negara pada
masa hadapan. Mereka perlu memajukan diri, bersikap proaktif dan bersatu
tenaga dalam membangunkan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara. Tanggungjawab yang besar perlu dipikul oleh belia untuk
menjadikan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri yang
keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad suatu realiti.
No comments:
Post a Comment