Friday, February 26, 2016

Rumusan - Gejala Rasuah dalam Kalangan Masyarakat



Hasil carian imej untuk rasuah di malaysia


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca berlakunya rasuah  dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
           
Rasuah bukanlah satu fenomena baru yang wujud dalam masyarakat moden. Kewujudannya telah dikesan sejak ribuan tahun yang lalu dan masalah ini berlaku dalam semua masyarakat sejak manusia mengenal erti peradaban. Rasuah boleh diertikan sebagai penyuapan, pemerasan atau penyelewengan dalam apa-apa juga bentuk kuasa sama ada melibatkan kewangan atau perkhidmatan dan sebagainya untuk sesuatu kepentingan. Banyak orang lupa bahawa sebab dan asal-usul amalan rasuah atau korupsi itu berbagai-bagai, bukan satu dan bukan dua. Kewujudannya dapat dilihat dalam pelbagai bentuk, saiz, tempat, dan situasi. Oleh sebab itu, penyelesaiannya pun tidaklah begitu mudah.
Salah satu punca yang menyebabkan kegiatan rasuah terus berleluasa adalah kerana sikap segelintir masyarakat yang ingin mengejar kemewahan hidup. Ditambah lagi dengan didikan dan penghayatan terhadap nilai-nilai dan peraturan agama yang senipis kulit bawang, akhirnya seseorang itu mudah tertewas dengan tuntutan hawa nafsu. Apabila diri telah dikawal oleh nafsu, akhirnya jadilah dia seorang yang lemah, mudah dikaburi wang ringgit, tamak, iri hati, dengki, tidak suka melihat kesenangan orang lain dan tidak berasa puas dengan apa-apa yang dimiliki. Rasuah juga sering dikaitkan dengan mereka yang menghadapi masalah kewangan. Hakikatnya itu bukanlah satu alasan yang bijak kerana didapati pada masa ini perbuatan rasuah juga dilakukan oleh golongan yang berpendapatan sederhana dan tinggi. Sebenarnya perbuatan rasuah tidak akan terjadi jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran agama, dan bertakwa.
            Selain itu, rasuah berlaku disebabkan oleh kegagalan pegawai penyelia memantau pekerja-pekerja di bawah tanggungjawabnya. Terlalu banyak penurunan kuasa tanpa pengawasan yang bijak oleh pegawai atasan juga membuka banyak ruang berlakunya perbuatan rasuah. Hal ini akan memudahkan individu tertentu mengambil peluang untuk melakukan penyelewangan, penyalahgunaan kuasa, dan rasuah. Oleh hal yang demikian, kesedaran yang jitu dan unggul para pegawai atasan  dalam sebuah organisarsi perlu ada dalam diri masing-masing agar terhindar daripada perbuatan rasuah. Dalam pada itu, ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang bagi membendung rasuah merupakan suatu yang dialu-alukan. Bagi menyelesaikan masalah ini komitmen dan sokongan daripada semua pihak khususnya anggota masyarakat sangat diperlukan. Di samping itu, sikap hidup yang suka bermegah-megah seperti kata orang Perak “biar pape asal bergaye” menjadi amalan yang menyebabkan berlakunya rasuah.
            Rasuah juga disebabkan kelemahan kepemimpinan dalam sesuatu institusi yang berkaitan. Selain itu, rasuah berlaku disebabkan oleh pemahaman bahawa perbuatan itu bukan satu kesalahan tetapi lebih merupakan ganjaran atas bantuan atau perkhidmatan yang diberikan. Keadaan ini berlaku kerana keuntungan yang diperoleh daripada kegiatan rasuah itu adalah jauh lebih besar berbanding risiko yang bakal dihadapi. Oleh sebab itu, amalan rasuah di negara-negara dunia ketiga didapati lebih serius berbanding negara-negara maju.
Secara tuntasnya, rasuah merupakan gejala yang boleh merebak dan berjangkit sehingga menjadi rangkaian kejahatan yang besar. Apabila keadaan ini berlaku, usaha untuk membanteras rasuah akan menjadi lebih sukar. Memang tidak dinafikan rasuah tidak akan berlaku tanpa adanya dua pihak iaitu pemberi dan penerima. 

 (Dipetik dan diubahsuai daripada
 “Memerangi rasuah hingga ke akar  umbi”
 oleh Hj Samad bin Buang, Dewan Siswa, Jun 2011.)


1 comment: