Friday, October 30, 2015

Perpaduan Semakin Longgar Dalam Kalangan Masyarakat - Kesan dan langkah Membendungnya

Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin longgar sejak akhir-akhir ini. Gejala ini boleh membawa pelbagai kesan negatif jikalau tidak dibendung lebih awal.
Bincangkan pendapat anda tentang kesan-kesan gejala tersebut dan langkah-langkah untuk membendungnya.


Pendahuluan 1        Masyarakat Malaysia telah diasaskan daripada komponen masyarakat yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, dan pelbagai etnik lain seperti di Sabah dan Sarawak. Walaupun terdapat kepelbagaian kaum dan etnik, namun keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi sebutan dan contoh tauladan kepada negara-negara lain. Hal tersebut berlaku apabila wujud sikap bertoleransi dan saling hormat dalam kalangan masyarakat. Sejak merdeka, kehidupan rakyat sungguh harmoni sekali. Namun, laut tidak selalu tenang dan langit tidak selalunya cerah, kerana sejak akhir-akhir ini perpaduan yang telah sekian lama terjalin mula rapuh akibat diganggu gugat dek pelbagai anasir. Bibit-bibit perpecahan yang berlaku dikhuatiri boleh membawa pelbagai ancaman terhadap kestabilan negara. Bimbang akan kemungkinan berlaku bencana yang lebih besar lagi, justeru sebagai rakyat yang prihatin kita hendaklah berusaha untuk memupuk semangat perpaduan tersebut semula.

PENDAHULUAN 2               Apabila berbicara tentang terma perpaduan, justeru, mafhum daripada sepotong maksud ayat al Quran iaitu, “Aku jadikan manusia daripada lelaki dan perempuan dengan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya mereka dapat saling berkenal-kenalan dan bekerjasama” amatlah relevan  untuk dirujuk. Sesungguhnya, perpaduan merupakan teras keamanan dan kesejahteraan kepada umat manusia. Perbezaan dalam aspek bangsa, budaya, agama, dan warna kulit bukan halangan untuk membentuk perpaduan. Demikianlah, hakikat sebenar yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, dengan anjakan pelbagai pengaruh, bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sungguh membimbangkan. Fenomena ini telah memungkinkan pelbagai implikasi negatif akan melanda negara. Sedar akan pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, maka sudah tiba masanya seluruh warga Malaysia menggemblengkan usaha untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke kancah pertelagahan yang lebih parah
Apabila perpaduan dalam kalangan rakyat sudah mula goyah, musibah besar yang bakal menimpa ialah keamanan dan keharmonian negara akan tergugatHal demikian tidak dapat dielakkan lagi apabila masing-masing mula menyimpan perasaan syak wasangka. Keadaan pasti lebih parah apabila api persengketaan mula menular dalam kalangan masyarakat majmuk. Masing-masing berlagak menjadi hero kaum serta cuba menyemaikan bibit perkauman dengan cara menangguk di air keruh. (H) Isu-isu remah cuba disensasikan sehingga tercetus api kemarahan.  Kesudahannya meletuslah persengketaan yang sukar dikawal seperti Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan perbalahan kaum di Kampung Medan pada tahun 2003. Akhirnya, masing-masing menanggung rugi ibarat tempelak peribahasa, kalah jadi abu menang jadi arang.


         Musibah yang amat nyata apabila berlaku perbalahan dalam kalangan masyarakat sudah pasti menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara. Ekonomi ialah tiang seri dan pasak kekuatan kepada sesebuah negara. Tanpa sokongan ekonomi yang mapan, kemajuan negara akan terbantut. Krisis kemanusiaan seperti kebuluran yang melanda negara-negara di Afrika, seperti Somalia, Burundi dan Sudan adalah berpunca daripada runtuhnya sistem ekonomi dan sosial mereka yang terlalu parah. Sebaliknya, apabila kita menoleh kepada negara-negara yang aman, seperti Jepun, Norway,  dan Hongkong, justeru potensi ekonomi mereka berjaya dibangunkan sehingga menjadi kuasa ekonomi yang tersohor. Sebenarnya, apakah resipi istimewa di sebalik kejayaan tersebut? Jawapannya, tentu sekali kejayaan mereka berpaksikan kepada sikap toleransi dan saling memahami yang wujud dalam kalangan rakyat. Sesungguhnya, Malaysia juga tidak terkecuali sekiranya acuan perpaduan berjaya direalisasikan dalam kalangan  rakyat pelbagai kaum nescaya potensi ekonomi negara bertuah ini dapat dimanfaatkan.
Sudah lumrah, sesekali berarak juga mendung nan kelabu dan kadang-kadang gigi dan lidah pun boleh tergigit. Demikianlah hakikat pertelagahan dan perselisihan yang sering menjadi duri dalam daging yang menghalang perpaduan. Demi negara yang tercinta ini kembalilh kepada slogan “Bersatu teguh, bercerai roboh” dan peribahasa bulat air kerana  pembetung, bulat manusia kerana muafakat  sebagai prakarsa  untukmenyuburkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Kita hendaklah menjadi rakyat yang berfikiran rasional dan dingin kepala dalam menghadapi sesuatu masalah. Kita perlu bersatu di bawah panji-panji negara yang berdaulat dan merdeka. Sesungguhnya, kita wajar menilai semula akan harga kemerdekaan dan kebebasan yang kita kecapi kini adalah terlalu mahal. Demi negara, kita hendaklah menyanjung tinggi kedaulatan watan dengan menghayati sedalam-dalamnya wadah, “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”. kita harus peka tentang apakah untung atau ruginya jikalau bersengketa?  Kita khuatir akan kesudahannya, kalah jadi abu menang jadi arang apabila berbalah sesama kita. Oleh itu, amalkan petunjuk daripada falsafah Confucious yang menyebut, “Apalah guna tidur sebantal jikalau mimpi berbeza-beza, lebih baik berlainan bantal namun mimpi tetap sama”.


          Semangat patriotik dan perasaan berbangga menjadi rakyat Malaysia hendaklah sentiasa subur dan mekar di dalam jiwa raga setiap rakyat. Anggaplah kelahiran kita di bumi Malaysia ini sebagai suatu rahmat. Apabila sudah ditakdirkan kita dilahirkan di sini, justeru inilah negara yang perlu dicintai dan tumpahkan seluruh taat setia. Jangan ada sikap mengggunting dalam lipatan dan telunjuk lurus kelengkeng berkait dalam kalangan rakyat Malaysia. Sikap sesetengah pihak yang sentiasa mengagumi negara lain sedangkan sesuap nasi untuk dirinya masih berada di sini amatlah dikesali.  Ingatlah, seberapa tinggi sekalipun, seseorang itu mengagung-agungkan negara lain, sesudahnya dirinya diibaratkan tidak jauh seluang melaut akhirnya balik juga ke muara.


Kesimpulan : Penanda wacana + tema + harapan/penilaian
        Dalam usaha mencari penyelesaian isu ini,  ambillah panduaan peribahasa Melayu yang menjelaskan, sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Salah faham dan pertikaian yang berpanjangan dalam kalangan kaum hanya mendedahi kita kepada kemusnahan. Keamanan yang telah terbina sejak sekian lama akan terkubur begitu sahaja. Oleh itu, amalkan sikap saling bersatu, ibarat ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Insyaa-Allah, sekiranya falsafah daripada peribahasa tersebut dipegang dengan kukuh, nescaya akan lahirlah suatu bangsa Malaysia yang kuat kerana berpegang kepada tonggak perpaduan, bertolak ansur, sejahtera, dan harmoni.


Disalin daripada blog Cikg Ishak -

No comments:

Post a Comment