Catatan Sebuah Perjalanan - UMRAH
(Lakaran
rasa : Saharuddin bin Abdullah)
Alhamdulillah, pada 28 Mei 2012 sehingga 10 Jun 2012,
saya bersama dua orang sahabat iaitu Encik Anizan Molaham dan Encik Samsuri
Rasib telah berpeluang untuk menjadi tetamu Allah iaitu berpeluang mengunjungi
Kota Madinatul Munawarah dan Mekatul Mukarramah. Suatu perjalanan yang telah
begitu lama didambarkan dan diimpikan. Perancangan untuk perjalanan ini diatur
hampir 3 tahun, maklumlah untuk satu perjalanan suci dan memerlukan
perbelanjaan yang banyak dan persediaan yang sewajarnya.
Pada Jun 2011, setelah berbincang dan membuat
penilaian kendiri, kami mengesahkan dengan Syarikat Yiros Tours and Travel
untuk perjalanan ini. Memang mendebarkan kerana memikirkan dosa-dosa yang
membaluti diri dan memikirkan dugaan dan rintangan yang akan dihadapi apabila
berada di kota suci itu nanti. Namun, kami tekadkan azam dan kuat semangat, apa
jua cabaran dan halangan, akan kami hadapi demi untuk menyucikan jiwa.
Setelah semua persediaan selesai iaitu kursus umrah,
membuat pasport, membuat visa, membuat pemeriksaan kesihatan dan membeli
peralatan untuk beribadah, maka pada 28 Jun bermulalah sebuah perjalanan yang
dinanti-nantikan. Syukur kepada Allah kerana sempat membuat kenduri doa selamat
agar selamat pergi dan balik serta dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.
Saya bertolak dari KLIA dengan penerbangan EITHAD
Airways. Berlepas dari KLIA pukul 8.20 malam dan sampai di Abu Dhabi pukul
10.20 malam. Transit di Abu Dhabi 2 jam. Sempat melihat panorama Airport Abu
Dhabi yang cantik dan tersergam Indah tetapi harga barangan sangat mahal. Air
Mineral 8 dirham dan nescafe panas 18 dirham.
Sekadar untuk merasa, maka saya beli jua. Waktu di Abu Dhabi lewat 7 jam
dengan waktu kita di Malaysia.
Pukul 12.40 malam saya berlepas dari Abu Dhabi ke
Jeddah. Penerbangan mengambil masa 6 jam. Suasana dalam penerbangan agak
melucukan. Pelbagai ragam yang mencuit hati berlaku kerana pramugari
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Arab dan sebahagian besar
sahabat-sahabat dalam penerbangan adalah orang kampung yang hanya tahu
berbahasa Melayu.
Kira-kira pukul 6.40 pagi (29 Jun) kami tiba di
Airport Jeddah. Airport Jeddah tidaklah secanggih KLIA. Turun dari pesawat,
kami dibawa dengan bas ke Terminal Haji. Selepas melalui pemeriksaan imigresen,
kami solat subuh. Selepas itu, satu taklimat diberikan oleh agensi untuk
perjalanan seterusnya. Bahang udara panas mulai dirasai dan kami dimaklumkan
suhu di Jeddah, Madinah dan Mekah antara 48 hingg 52 darjah Celsius.
Kami menaiki bas dari Jeddah ke Madinah. Perjalanan
mengambil masa kira-kira 5 jam. Pemandangan padang pasir mengiringi sepanjang
perjalanan kami. Suasana berbukit dan berbatu batan kelihatan di kiri kanan
jalan raya. Kira-kira 10 kilometer sebelum tiba di kota Madinah, mutawiff
menceritakan tentang sirah Rasulullah. Hati kami mula sebak, tergambar dalam
pemikiran betapa hebat dan tabahnya Rasulullah menjalani kehidupan di padang
pasir sepanjang hidupnya. Kira-kita 5 kilometer sebelum memasuki kota madinah,
kami sama-sama berselawat bagi mengingati junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.
Alhamdulillah, pukul 11.00 pagi kami menjejak kaki di
bumi Madinah. Walaupun cuaca panas, tetapi hati sangat teruja kerana kami telah
berada di tanah haram. Kami mendaftar di Hotel Rejal, kira-kira 200 meter dari
Masjid Nabi. Suatu fenomena luarbiasa dapat dilihat iaitu apabila azan
berkumandang semua kedai akan ditutup dan peniaga-peniaga bergegas ke Masjid
Nabi untuk solat berjemaah. Kami solat Zohor di hotel sahaja kerana kepenatan.
Kira-kira pukul 3.00 petang, pertama kali saya
memasuki Masjid Nabawi. Ya Allah, terujanya untuk berada di sisi Rasulullah.
Selepas solat Asar, saya dibawa untuk melihat Makam Rasulullah. Kami masuk
melalui pintu utama. Dalam perjalanan menuju ke makam Rasulullah bersama
himpitan ribuan manusia, air mata mulai menitis. Nampak sahaja pintu makam kami
sampaikan salam…Asalamualaika Ya Rasulullah, Asalamualaika Ya Habibullah. Di sebelah
makam Rasulullah terdapat Makam Syaidina Abu Bakar dan Syaidaina Umar. Selama 4
hari berada di Kota Madinah, setiap hari kami akan menziarahi Makam Rasulullah
dan mengambil kesempatan berada dan berdoa di Raudhah. Kami juga menyampaikan
salam rakan-rakan untuk junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Kami mengadakan
ziarah ke Masjid Quba, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh, Kubur Baqi’
dan Kebun Kurma. Pada petang Khamis kami membuat ziarah wada’ ke Makam
Rasulullah. Sedih rasa hati kerana akan berjauhan dengan Rasulullah.
Selepas Solat Jumaat (31 Mei 2012), kami meninggalkan
kota Madinah. Kami bersiap dengan pakaian Ihram. Perjalanan ke Kota Mekah
mengambil masa kira-kira 7 jam. Kami miqat di Bir Ali untuk umrah pertama. Tiba
di hotel kira-kira pukul 10.45 malam. Selepas mendaftar, kami terus di bawa
untuk umrah pertama.
Tanggal 31 Mei 2012 – jam 11.45 malam, pertama kali
memasuki Masjidil Haram melalui laluan Bukit Marwah. Ya Allah, bersyukurnya
kerana dapat melihat Kaabah di depan mata. Kami sama-sama sujud syukur. Selepas
itu, kami tawaf dan saie secara berjemaah. Selepas tawaf, kami solat sunat
tawaf bertentangan dengan Multazam. Semua Jemaah menanggis kerana terlalu
gembira dapat berada di Masjidil Haram. Kami selesai saie dan bertahlul
kira-kira pukul 3.00 pagi. Kami terus menunggu untuk solat subuh yang akan
masuk pada pukul 3.30 pagi. Memang terasa kepenatan, namun kegembiraan dapat
menenggelamkan kepenatan. Selepas sarapan pagi, kira-kira pukul 6.00 pagi, saya
membawa isteri dan anak-anak untuk tawaf dan saie kerana mereka tidak ikut serta
dalam tawaf dan saie secara berjamaah.
2 Jun 2012 – Kami dibawa melawat ke Jabal Thur, Padang
Arafah, Jabal Rahmah, Mudzalifah, Jamrah di Mina dan Jabal Nur. Antara yang
menarik ialah di Jabal Rahmah, tempat pertemuan ADAM dan HAWA selepas terpisah
kerana melanggari arahan ALLAH ketika di Syurga. Apabila mendengar penerangan
mutawif, terdetik dihati untuk hadir semula bagi menyempurnakan ibadat haji
suatu ketika nanti. Selepas lawatan selesai, kami ke Masjid Ja’ranah untuk
miqat umrah kedua. Sampai di Masjidil Haram kira-kira pukul 11.00 pagi, kami
terus melakukan tawaf, saie dan bertahlul untuk umrah kedua.
3 Jun 2012 – program bebas, kami mengambil kesempatan
untuk tawaf sunat dan beribadah di Masjidil Haram. Terasa terlalu kerdil di
sisi ALLAH dan terlalu banyak dosa yang membaluti diri. Selepas tawaf sempat solat di Multazam,
memegang Kaabah dan Solat di Hijir Ismail. Pukul 4.45, kami mengikuti tazkirah
berkaitan sirah Rasulullah yang disampaikan oleh Ustaz Khairul di dewan makan
hotel.
4 Jun 2012 – Kami dibawa melawat ke Muzium Haramain
dan ladang ternakan unta. Ketika sampai di lading unta, kami sempat bergambar
dan minum susu unta. Di Muzium Haramain, terdapat pelbagai barangan lama
Masjidil Haram yang disimpan dan dipamerkan. Kebetulan ketika itu, kami bertemu
dengan Imam Besar Masjidil Haram iaitu Abd Rahman bin Sadas. Kami miqat di
Masjid Hudaibiyah untuk umrah ketiga. Sampai di Masjidil Haram pukul 11.00
pagi, kami terus melaksanakan tawaf, saie dan bertahlul.
6 Jun 2012, kami melakukan umrah keempat. Kami menaiki
van ke Masjid Tanaim untuk miqat. Tambang van ialah 10 riyal seorang dan kami
pergi bersama 16 orang jamaah. Pukul 8.30 pagi, kami tiba di Masjidil Haram
untuk melakukan tawaf , saie dan bertahlul.
8 Jun 2012 – Aktiviti bebas. Kami mengambil kesempatan
membeli beberapa barangan sebagai kenangan-kenangan. Terlalu banyak barangan
yang ada disekitar hotel. Kekadang nafsu mengatasi diri, apabila tiba di hotel
barangan yang dibeli terlalu banyak. Terpaksa mencari beg dan kotak untuk
mengisi barangan yang dibeli. Pada sebelah petang kami mengerjakan tawaf sunat
dan beberapa orang rakan berjaya mengucup Hajarul Aswad. Isteri dan anak lelaki
saya juga berjaya mengucup Hajarul Aswad. Dikesempatan ini, dihadapan Kaabah
kami mendoakan keafiatan rakan-rakan seperjuangan, kecemerlangan anak-anak
didik dalam peperiksaan, kesejahteraan kaum keluarga dan dihindari sekolah
daripada gangguan makhluk halus yang mengganggu situasi pengajaran dan
pembelajaran.
9 Jun 2012 – Selepas solat Subuh kami melakukan tawaf
Wada’. Terharu dan sangat sedih kerana kami akan meninggalkan Kaabah dan
Masjidil Haram. Ya Allah, berikan kami kesempatan untuk hadir lagi, dan jika
ditakdirkan inilah kunjungan kami yang terakhir, maka haramkan jasad dan roh
kami dari menjadi bakaran api neraka. Pukul 9.00 pagi, kami bertolak dari hotel
ke Airport Jeddah. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Penerbangan kami pada pukul
4.30 petang dari Jeddah ke Abu Dhabi. Kami tiba di Abu Dhabi kira-kira pukul
6.50 petang.
10 Jun 2012 - Kami transit di Abu Dhabi selama 6 jam.
Suasana di Airport Abu Dhabi sangat sejuk. Kira-kira pukul 2.40 pagi, kami
bertolak dari Abu Dhabi ke KLIA. Penerbangan mengambil masa kira-kira 6 jam.
Kami mendarat di KLIA pukul 2 petang (waktu Malaysia). Setelah selesai
pemeriksaan imigresen kami mengambil bagasi dan sanak saudara telah menanti di
balai ketibaan. Alhamdulillah, kami selamat pergi dan kembali untuk meneruskan
tugasan harian.
Sesungguhnya perjalanan ini sangat menyeronokkan.
Sama-samalah kita berazam untuk mengunjugi Kota Madinah dan Kota Mekah.
No comments:
Post a Comment