Tuesday, October 8, 2013

Gaya Hidup Sihat Menjamin Kebahagiaan




4. AMALAN GAYA HIDUP SIHAT


(TEMA) Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. (ISU) Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini, gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. (ARAHAN) Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
 
(ISI) Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. (MENGAPA) Tubuh orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. (BAGAIMANA) Sebagai contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. (KESAN) Dengan cara itu, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. (PENEGAS) Jadi, izharlah bahawa pemakanan yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria dan sihat.
 
(ISI) Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. (MENGAPA) Aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan mengeluarkan peluh. (BAGAIMANA) Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal, berjoging, atau berenang. (KESAN) Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas kerana badan cergas, otak cerdas. (PENEGAS) Tegasnya, aktiviti beriadah dan bersukan dapat menjamin kesihatan seseorang.
 
(ISI) Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. (MENGAPA) Hal ini akan memastikan anggota dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. (BAGAIMANA) Melalui cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. (KESAN) Dengan cara itu, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera kerana alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru tengadah. (PENEGAS) Ringkasnya, seseorang itu akan senantiasa memastikan dirinya sentiasa sihat dengan mendapatkan pemeriksaan doktor secara berjadual sebelum kudis menjadi tokak.
 
(ISI) Akhir sekali, setiap individu perlu menjauhi gaya hidup yang negatif dan tidak sihat seperti pengambilan alkohol yang banyak, ketagihan rokok dan juga pengambilan dadah atau pil-pil perangsang. (MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana amalan gaya hidup yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawanya atau nyawa orang lain. (BAGAIMANA) Pengambilan alkohol dan dadah akan mendedahkan badan kepada pelbagai penyakit dan masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan kesihatan mental. Selain kita, setiap orang juga perlu menjauhi amalan mengunjungi rumah pelacuran atau tempat-tempat maksiat bagi mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit kelamin dan HIV Aids. (KESAN) Tahap kesihatan rakyat yang baik dapat menjamin maruah diri dan meningkatkan produktiviti negara. (PENEGAS) Pendek kata, seseorang yang mengimpikan kehidupan yang sihat akan memastikan dirinya tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

(PENUTUP) Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat dapat dipraktikkan dengan banyak cara. Amalan-amalan ini memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat. (CADANGAN) Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi realiti jika semua pihak saling bekerjasama ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (HARAPAN) Semoga kempen kerajaan iaitu kempen ‘Rakyat Sihat Negara Maju’ dapat direalisasikan kerana rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif.

 

No comments:

Post a Comment