Latihan Cuti Sekolah Sempena Hari Raya Cina.
Pemahaman / Rumusan
Baca petikan di bawah
dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang punca-punca berlakunya
keracunan makanan dan kepentingan makanan berkhasiat kepada orang ramai. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah
kata.
Kes keracunan makanan terutamanya di sekolah semakin
kerap disiarkan oleh media sejak
akhir-akhir ini. Isu ini bukan suatu perkara yang baharu tetapi telah lama dibincangkan oleh pihak-pihak yang
terlibat. Keracunan makanan bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi di mana-mana
sahaja disebabkan berlakunya pencemaran makanan. Malah keracunan makanan juga boleh berlaku di
rumah jika cara penyediaannya tidak dijaga dengan baik.
Namun, kita sering
memerhatikan bahawa ramai pengendali makanan yang tidak
menjaga kebersihan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan mereka,
sama ada di kantin sekolah, restoran, gerai di tepi jalan atau di pasar
malam. Sepatutnya pengendali makanan mengamalkan
kebersihan diri dengan membasuh tangan sebelum menyentuh atau menyediakan
makanan. Mereka juga dilarang menghisap rokok, batuk dan meludah semasa
menyediakan atau mengendalikan makanan.
Bahan yang digunakan untuk memasak makanan hendaklah bersih. Proses memasak makanan juga memainkan peranan
yang penting. Makanan yang tidak dimasak dengan
sempurna akan menyebabkan berlakunya pembiakan mikroorganisma berbahaya
terutamanya dalam bahan makanan yang berprotein tinggi seperti daging, ayam,
makanan laut, telur dan hasil tenusu.
Makanan dari peti sejuk mestilah dinyahbekukan dengan sempurna dan dimasak
secukupnya untuk memastikan bakteria berbahaya terhapus. Bakteria juga boleh
membiak dengan cepat pada suhu bilik. Makanan yang
telah dimasak atau disediakan awal jika tidak
disejukbekukan akan terdedah dengan pembiakan bakteria yang mencemarkan
makanan. Malah makanan yang disimpan pada suhu bilik
dengan begitu lama juga tidak selamat walaupun telah dipanaskan kerana
cara ini tidak akan menghapuskan bakteria atau kuman penyebab keracunan
makanan.
Keracunan makanan juga
boleh berlaku apabila seseorang individu mengambil
makanan dan minuman yang tercemar oleh bakteria, virus atau organisma
berbahaya. Keadaan ini berlaku disebabkan penyediaan
makanan yang tidak bersih di samping penggunaan
bekas makanan yang tercemar. Malah penggunaan
bahan kimia dan bahan beracun yang semakin berleluasa terhadap
sayur-sayuran juga akan mencemarkan bahan makanan itu tanpa mengira cara
memasaknya. Gejala yang dialami mangsa keracunan juga berbeza mengikut individu
bergantung pada tahap ketahanan seseorang. Keracunan makanan juga akan berlaku
dalam kalangan bayi, kanak-kanak, warga tua dan individu yang mempunyai imuniti
yang rendah terhadap penyakit. Mangsa keracunan makanan akan mengalami
gejala-gejala yang berikut seperti loya atau pening, muntah, cirit-birit, sakit
di bahagian abdomen dan demam.
Isu keracunan makanan
dapat diatasi jika semua pihak melaksanakan peranan masing-masing dengan baik.
Yang paling penting, kesedaran semua pihak terhadap kepentingan memakan makanan
yang bersih dan berkhasiat. Mencegah
sesuatu lebih baik daripada mengubatinya.
(Dipetik dan diubahsuai daripada Keracunan
Makanan, Dewan Siswa, Oktober 2007).
No comments:
Post a Comment