Tuesday, December 11, 2012

SETULUS PENGHARGAAN BUAT SEMUA PENULIS BLOG BAHASA MELAYU



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kehadrat Illahi kerana masih memberi ruang dan peluang untuk saya terus menulis dalam blog ini. Sesungguhnya idea yang datang adalah daripada anugerahNYA yang membolehkan saya menukilkan di atas paparan skrin ini.
Semoga perkongsian ilmu dari kita dapat membantu anak-anak watan yang sedang membelek, mencari, mencedok, menggali, dan menerokai ilmu berkaitan dengan bahasa Melayu. Kesudian mereka untuk bersama-sama kita sangatlah dihargai kerana mereka sememangnya mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada kita sebagai bekalan untuk mereka terus berjuang di medan ilmu.

Sejak 5 November 2012, saya cuba menganalisis bahan-bahan yang kita paparkan untuk tatapan anak-anak didik kita di serata pelosok negara. Pada masa yang sama saya menyemak dan memerhati skrip jawapan pelajar, ternyata banyak bahan-bahan kita yang pelajar gunakan untuk diterjemahkan dalam skrip jawapan mereka. Semoga perkongsian ilmu kita itu dapat terus dimantapkan untuk hari-hari mendatang.

Apa yang jelas, analisis soalan-soalan percubaan negeri banyak membantu pelajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam jawapan mereka. Secara kebetulan, analisis kita digunapakai untuk pecutan akhir sebelum kertas bahasa Melayu mereka jawab pada tarikh tersebut. Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penulis blog yang sudi bersama-sama saya untuk kita kongsikan bahan-bahan yang dapat membantu pelajar untuk menjawab soalan bahasa Melayu. Jasa baik tuan/puan sangat dihargai dan disanjung tinggi. Semoga ilmu tuan/puan akan menjadi amal untuk bekalan sebagai jutawan akhirat.

Adalah menjadi harapan saya, agar para pelajar dapat menggunakan pendidikan maya ini sebagai satu alternatif mereka untuk mendapatkan ilmu. Kita mungkin tidak mampu untuk menyediakan bahan secara bersendirian tetapi perkongsian bahan yang kita muatkan seboleh mungkin dapat dimanfaatkan oleh sebahagian besar pelajar dan juga guru-guru yang baharu. 

Semoga kita terus dapat bersama-sama dalam menyumbangkan ilmu untuk Memartabtkan Bahasa Melayu.

  

No comments:

Post a Comment