Sunday, November 4, 2012

Latar masyarakat dan Latar Tempat


i) Jelaskan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam sebuah novel yang telah anda pelajari.

            Berdasarkan novel yang telah saya kaji iaitu Konserto Terakhir hasil nukilan Abdullah Hussain, terdapat beberapa latar masyarakat yang menggambarkan keadaan masyarakat terkandung dalam novel ini.

            Antara latar masyarakat yang terkandung dalam novel ini termasuklah masyarakat yang memiliki kesantunan dan budi bahasa yang tinggi dengan sesiapa sahaja. Gambaran masyarakat yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja dapat dilihat daripada perwatakan Hilmi yang lemah lembut apabila berhadapan dengan Datuk Johari dan Datin Salmah. Hilmi menghormati mereka dengan bersalaman dengan mereka apabila bertemu. Hilmi kemudian menyampaikan salam yang dikirimkan oleh keluarganya di kampung kepada Datuk Johari dan Datin Salmah.

            Selain itu, latar masyarakat yang senantiasa beribadat kepada Tuhan juga terkandung dalam novel ini. Latar masyarakat ini dapat dilihat apabila Hilmi tidak pernah meninggalkan sembahyang dan sentiasa beribadat kepada Allah apabila tiba masanya. Walaupun terlalu sibuk, Hilmi masih mendirikan sembahyang. Ketika bekerja di rumah Datuk Johari, Hilmi senantiasa menunaikan sembahyang. Buktinya ialah Hilmi berhenti melakukan kerja perkebunan di belakang rumah Datuk Johari apabila hari sudah lewat petang untuk menunaikan sembahyang Asar.

            Di samping itu, terdapat juga latar masyarakat yang mengamalkan budaya ‘morning coffee’. Latar masyarakat ini dapat dilihat pada watak Datin Salmah dan rakan-rakannya seperti Datin Faridah, Datin Mariam dan lain-lain. Buktinya, Datin Salmah pergi ke rumah Datin Faridah kerana ‘morning coffee’ di sana apabila Hilmi mula tiba di rumah mereka. Dalam pertemuan secara tidak rasmi ini, isteri orang-orang besar ini membincangkan pelbagai hal, sama ada hal-ehwal semasa atau tentang diri dan keluarga masing-masing. Misalnya, Datin Mariam yang gemuk seperti tong dan suka mengunyah sirih selalu menceritakan hal-hal dukun.

Latar Masyarakat Papa:
  1. Masyarakat pelajar - Intan Julia belajar di tingkatan empat dan lima di Sekolah Seri Gading iaitu tempat ibunya mengajar - Rasylan dan Intan Julia telah menyambung pelajaran dan menjadi seorang siswa dan siswi di pusat Matrikulasi UIA
  2. Masyarakat yang penyayang – Intan Julia anak amat sayang akan ibunya, Intan Maliana serta bapanya, Jeffri. Jeffri juga amat sayang kepada isterinya Maliana. Jeffri juga amat sayang kepada anaknya Intan Julia, tambahan lagi Intan Julian merupakan anak tunggalnya. Dia mengambil berat tentang pelajaran Intan Julia. Malah, pada saat dia ingin ke majlis akad nikahnya, Jeffri sanggup membatalkan pernikahan itu jika Intan Julia tidak membenarkannya.
  3. Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap keluarga - Jeffri memberikan sokongan moral kepada isterinya semasa isterinya mengandung dan saat melahirkan anak. Semasa isterinya koma, dia sentiasa pergi ke hospital untuk melawat isterinya. Malah, dia telah membawa isterinya pulang ke rumah supaya dia dapat selalu menjaga dan memerhatikan isterinya. Selama isterinya koma, dia menjalankan tanggungjawab untuk menghantar dan mengambil anaknya Intan Julia dari sekolah selain daripada mengambil tahu perkembangan pelajaran Intan Julia sehinggalah Intan Julia belajar di UIA.


(iii) Setiap novel terdapat latar tempat untuk menjadikan novel tersebut lebih memberikan kesan. Berikan tiga latar tempat dalam sesebuah novel yang anda pelajari

            Novel yang saya kaji ialah Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain. Terdapat beberapa latar tempat dalam novel ini. 

             Antara latar tempat yang terdapat dalam novel ini termasuklah ruang tamu rumah Datuk Johari. Pada suatu petang, semasa Hilmi bersendirian di rumah, Hilmi bermain piano Hayati di ruang tamu. Tanpa disedari Hilmi, Mak Minah pulang ke rumah. Mak Minah memekik nama Hilmi dan menepuk belakangnya. Hilmi terperanjat lalu terjatuh dari bangku dan pengsan. Apabila Hayati bermain lagu ‘Blue Danube’ untuk kaum keluarga Datin Salmah di ruang tamu, dia mendapati behawa pianonya rosak. Akibatnya, Hilmi dimarahi oleh Datin Salmah dan dikenakan hukuman potongan gaji oleh Datuk Johari untuk membaiki piano yang rosak itu.

            Selain itu, terdapat latar tempat stesen minyak di Jalan Setapak. Hilmi bekerja di sini setelah meninggalkan rumah Datuk Johari. Pada suatu hari, ketika Hilmi bekerja di bahagian hadapan stesen minyak itu, Mohsin memberhentikan motokarnya untuk mengisi minyak di situ. Malangnya, Mohsin ternampak Hilmi dan memberitahu tauke stesen minyak tersebut bahawa Hilmi seorang yang tidak baik dan memintanya memberhentikan Hilmi daripada bekerja di sana lagi. Jika tidak, Mohsin tidak akan mengisi minyak di sana lagi. Walau bagaimanapun, tauke stesen minyak itu sanggup kehilangan pelanggan seperti Mohsin daripada kehilangan pekerja yang rajin seperti Hilmi. 

            Di samping itu, terdapat juga latar tempat di bilik menunggu di Hospital Besar Kuala Lumpur. Semasa Hilmi menjalani pembedahan, Hayati, Datuk Johari, Datin Salmah, Azizah, Hakim, isteri Encik Bakar dan Pak Long Karim menunggu di sana. Di bilik menunggu tersebut, Pak Long Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi bukan anaknya, tetapi anak Datuk Johari hasil hubungannya dengan isteri pertamanya. Pak Long Karim terpaksa menyimpan rahsia tersebut kerana tidak mahu rumah tangga Datuk Johari dan Datin Salmah menjadi porak-peranda. Berita tersebut telah memeranjatkan Datuk Johari dan Datin Salmah. Datuk Johari menyesali kesalahannya yang menyeksa Hilmi dan ibunya begitu lama. Datin Salmah pula menangis kerana menyesal atas layanan buruknya terhadap Hilmi.

NOVEL PAPA:

1.      Bilik Intan Maliana di rumah keluarga Jeffri
·         Intan Maliana bangun dari koma – dikelilingi Jeffri, Intan Julia, Aisyah – marah – ternampak Aisyah – memegang bahu Jeffri dan mengandung – Jeffri cuba menjelaskan – Intan Maliana mengalirkan air mata – Julia membisikkan kalimah syahadat – dadanya bergoncang – meninggal dunia

2.      Sekolah Seri Gading
·         Tempat Intan Maliana dan Jeffri bertemu ketika mengajar
·         Tempat Intan Julia bersekolah – bertemu dengan Rasylan

3.      Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa
·            -         Tempat Intan Julia dan Rasylan melanjutkan pelajaran – memperoleh keputusan cemerlang dalam            SPM  – Julia mengikuti kursus ekonomi – tinggal di asrama

No comments:

Post a Comment