Friday, September 14, 2012

Ungkapan Menarik




Cuba hayati nasihat Pak Hamka dalam pantun kiasannya;

Sekupang penambat hati
Setahil pembeli ketaya
Sekali terlencong budi
Seumur hidup orang tak percaya


Jenis-jenis ungkapan indah/menarik


        Peribahasa
        Seloka
        Pantun
        Bahasa Kiasan
        Kata-kata pujangga (filosof)
        Hadis Nabi
        Ayat al-Quran dan banyak lagi……….

Teknik Pemakaian Langsung

        Contoh : Dalam hal mendidik akhlak dan tingkah laku anak-anak, perihal sikap dan perwatakan ibu bapa adalah penting untuk diteladani anak-anak kerana menjernih air di muara hendaklah bermula di hulunya.

Panduan > Teknik ini adalah cara yang paling mudah diguna pakai kerana hadir serentak dalam ayat yang sama. Walau bagaimanapun, hanya unsur-unsur seperti peribahasa, perumpamaan, pepatah dan bidalan sahaja yang sesuai menggunakan teknik ini. Kata-kata hikmat atau maksud daripada ayat al Quran dan hadith hendaklah dipetik dalam bentuk membuat kod.

TEKNIK PERBANDINGAN

Contoh : Apabila menyelesaikan sesuatu masalah yang rumit, carilah jalan penyelesaian dengan cara yang paling bijaksana agar kerumitannya dapat diselesaikan tetapi dengan tidak mengorbankan segala prinsip dan tanggungjawab. Tindakan tersebut bak kata/ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan terserak.

ATAU

Ibarat orang mementung ular, ular dipentung biar mati, kayu pementung jangan patah, dan tanah datar jangan lembang.

Panduan > Apabila menggunakan teknik ini, pelajar hendaklah membuat kenyataan lengkap tentang fakta atau data terlebih dahulu. Ungkapan menarik digunakan hanya sebagai peneguh atau penyokong sahaja


TEKNIK KOD :

1. Kod Hadapan

Dalam sepotong Hadis Nabi yang bermaksud, “Jagalah usia mudamu sebelum datang kepadamu usia tua”. Demikianlah ungkapan yang membawa maksud, usia muda atau remaja amat berharga dan usia tersebut perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Panduan > Kod hadapan biasanya tepat digunakan untuk membuka laluan kepada sesuatu idea yang baru. Maksudnya, perlu ditulis apabila hendak memulakan perenggan yang baharu.


2. Kod Belakang

Nilai tamadun sesuatu bangsa itu dianggap amat berharga seperti kata-kata Aristotle,
“UKURAN TAMADUN SESUATU BANGSA BUKAN TERLETAK KEPADA KESUBURAN TANAHNYA TETAPI KEPADA DARJAT BANGSANYA YANG MERDEKA”.

Panduan > Secara lazim, penggunaan kod belakang sudah serasi diguna pakai apabila hendak memperlengkap hujah atau menyantuni perenggan agar lebih kemas.

Panduan Umum > Para pelajar hendaklah ambil perhatian, sebarang penggunaan ungkapan menarik hendaklah benar-benar boleh menyokong kenyataan tersebut. Oleh itu, sumber yang dipilih hendaklah mendukungi maksud yang tepat atau hampir tepat dengan isi, fakta atau hujah yang hendak disampaikan. Kegagalan memahami maksud sama ada secara tersirat mahupun falsafahnya boleh menyebabkan pelajar menggunakannnya secara salah.


Dipetik dan diubahsuai dari Blog Cikgu Ishak's

No comments:

Post a Comment