KUALA TERENGGANU 8 Ogos - Anehnya, di negeri dan negara yang bahasa Melayu merupakan bahasa rasminya kita masih lagi terpaksa berkempen sesama sendiri dalam usaha mendaulatkan atau meletakkan ia di tempat sewajarnya.
Malah diadakan program Bulan Bahasa saban tahun di seluruh negara dengan pelbagai kegiatan menyemai kecintaan dan memperluaskan penggunaannya di samping ikrar dan tekad pihak berkuasa mempertahankannya.
Kerap kedengaran diadakan seminar atau apa sahaja pertemuan khusus untuk membincangkan masa depannya, justeru lahir pelbagai resolusi, usul bernada rayuan, desakan dan laungan agar kedengaran dan diberi perhatian.
Anehnya, kita berhabis masa dan wang untuk tujuan itu yang akhirnya bagaikan pesta bermusim kononnya mempertahankan sesuatu yang sebenarnya menjadi milik sendiri dan tidak perlu dipersoalkan sesiapa.
Jika bahasa dikatakan sebagai jiwa bangsa, alangkah kacau dan celarunya jiwa bangsa kita apabila semakin ramai yang merasakan sukar menggunakan atau berbahasa ibunda dalam perhubungan harian terutama dengan bangsa lain.
Maka, di negara ini, makin ramai rakyatnya yang gagal bercakap dalam bahasa itu dengan baik mengetepikannya dalam urusan perniagaan dan perkhidmatan sekali gus makin melenyapkan jati diri mereka malah jati diri bangsa.
Seorang pencinta bahasa, Sulong Taib berpendapat, di negeri dan negara yang diterajui oleh bangsa sendiri soal bahasa sebenarnya tidak perlu didesak dan dipandu arah oleh sesiapa dalam memperjuangkannya.
"Tetapi apa sebenarnya yang telah kita lakukan, di luar sedar sebenarnya kita meruntuhkannya. Betapa mudah kita ke tepikan bahasa sendiri seperti kesediaan menggunakan bahasa Inggeris untuk lokasi-lokasi atau produk atas nama pelancongan.
"Melucukan, seolah-olah tiada ayat yang sesuai dalam bahasa Melayu maka wujudlah nama-nama Kuala Terengganu Waterfront, Payang Walk, T-Shoppe dan lain-lain. Lihat juga di papan tanda perniagaan dan perumahan di merata negeri.
"Apakah pelancong tidak akan datang dan orang tidak membeli jika ditulis atau dinamakan dalam bahasa Melayu. Apakah mereka ingin melihat nama dan bukannya segala tarikan yang sepatutnya disajikan," katanya yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Cendering, dekat sini.
Inilah yang turut mengecewakan Gagasan Pendidikan Melayu Kebangsaan (Gagasan) negeri Terengganu dan bersama Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), mereka mengadakan sidang meja bulat baru-baru ini.
Ia suatu usaha kecil mereka agar sekurang-kurangnya suara mereka didengari pihak berkuasa bandar raya di negeri Warisan Pesisir Air ini kerana bahasa itu warisan yang tidak harus dikesampingkan.
Mereka ingin menyatakan rasa kesal dan bimbang dengan gejala pengabaian dan pencabulan bahasa Melayu termasuk di kalangan pihak berkuasa dan orang Melayu sendiri di mana sahaja kini.
Sidang meja bulat mengenai masa depan bahasa itu dipengerusikan Munsyi Dewan, Nawi Ismail dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri yang kemudiannya menerima resolusi untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
Penyertaannya amat menggalakkan dengan 40 peserta yang diundang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi-institusi pengajian tinggi serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan.
Sebanyak 17 resolusi digariskan termasuk penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai lapangan perlu mencerminkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan warisan bukannya sebagai bahasa pinggiran dan diperlekehkan dengan pelbagai alasan.
Mereka antara lain berharap kebijakan dan kemahuan pemerintah wajar diperteguhkan untuk menguatkuasakan dan melaksanakan semua dasar yang berkaitan dengan bahasa itu dalam semua urusan terutama dalam soal pengiklanan, bahan penyebaran dan paparan umum.
Mereka juga mendesak pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab dalam penamaan sesuatu tempat atau meluluskan papan iklan melantik panel merujuk kesalahan bahasa atau merujuk kepada agensi bertanggungjawab seperti DBP sebelum meluluskannya.
Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, mungkin kerana bahasa itu tidak memberi sebarang pulangan dari segi pengaruh politik dan ekonomi maka ia tidak memerlukan langkah segera.
"Ada ahli politik dan pemimpin yang menegaskan tidak bangga dengan bangsa dan warisannya semata-mata untuk lunak didengar oleh bangsa lain dan dapat menarik sokongan mereka," ujarnya.
Katanya, bagi golongan itu bahasa Melayu tidak perlu diperjuangkan dan mereka sedia mengetepikannya kerana apa yang lebih utama adalah peluang mendapatkan kedudukan dan kuasa.
"Ada pula yang merasakan penggunaan bahasa Inggeris lebih gah dan memberi kesan lebih besar terutama dalam perniagaan apatah lagi jika ia dikaitkan dengan budaya ilmu dan pelancongan," katanya.
Menurut beliau, segala usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan kerja pejuang atau mereka yang mencintai bahasa itu semata-mata tetapi harus dihayati para pemimpin segenap lapisan masyarakat.
Beliau memetik kenyataan Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan yang menyebut: "Kalangan bukan Melayu, meskipun ribuan langkah di hadapan dalam bidang ekonomi umumnya ternyata begitu prihatin terhadap bahasa dan budayanya dan sanggup mati bergalang tanah untuk mempertahankannya.
"Adalah perlu diakui ada penjawat awam, sarjana dan kalangan sektor lain yang memahami erti dan sumbangan bahasa kebangsaan dalam pembangunan bangsa dan negara, tetapi pada masa sama dapat disaksikan betapa besarnya golongan yang tidak peduli akan nasib bahasa Melayu di bumi sendiri,'' katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment