Baca
petikan di bawah dan buat suatu rumusan tentang langkah-langkah yang dapat
menggalakkan remaja menghayati semangat kejiranan dan faedah-faedah yang
diperoleh masyarakat daripada penghayatan tersebut.. Panjang rumusan
mestilah tidak melebihi 120 patah kata.
Masyarakat
bermula daripada jiran. Jiran pula terdiri daripada semua lapisan. Oleh hal
itu, remaja merupakan satu daripada entiti yang memenuhi definisi kejiranan. Dalam hal ini remaja ada peranannya yang
tersendiri. Konsep kejiranan serta persaudaraan cukup menarik dan mesti
dikekalkan oleh masyarakat , khasnya oleh golongan remaja. Melalui persaudaraan
dan semangat kejiranan, perasaan kasih
dan bantu-membantu tersemai dalam diri malah dapat membantu mewujudkan kekuatan
dalam kalangan rakyat untuk ingat-mengingati dan tegur-menegur, sehingga
seseorang itu berasa begitu lemah jika hidup tanpa jiran.
Semangat
kejiranan dan persaudaraan yang akrab juga dapat menghilangkan perasaan dengki,
iri hati, bermusuh-musuhan dan sifat negatif lain yang membawa perpecahan. Oleh
sebab remaja merupakan entiti penting dalam masyarakat maka remaja boleh
mengaktifkan diri melalui persatuan masyarakat seperti Rukun Tetangga yang
semakin luas fungsinya meliputi aktiviti pendidikan, alam sekitar, sukan,
kesihatan, keagamaan dan ekonomi. Selain itu, remaja boleh berperanan sebagai
mata-mata kepada pihak berkuasa bagi menangani masalah jenayah di kawasan
kejiranan masing-masing. Sehubungan
dengan itu, ibu bapa dan guru berperanan untuk memastikan remaja berupaya mentafsirkan
peranan masing-masing dalam masyarakat apabila dewasa kelak.
Namun
begitu, pegangan agama mesti menjadi pegangan kuat dalam kalangan remaja.
Mereka perlu memahami dan menghayati matlamat hidup di dunia agar menjadi lebih
bertanggungjawab kepada diri sendiri, agama dan masyarakat. Hal ini akan
menjadikan remaja lebih peka akan konsep kejiranan. Pada masa yang sama, Rukun Tetangga perlu
berbincang dan bersepakat melaksanakan program yang bersesuaian dengan kehendak
remaja demi kemaslahatan jiran tetangga. Sebagai contoh, penganjuran Hari Keluarga
dapat merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk, bak kata peribahasa
“sepakat membawa berkat”. Masyarakat
pula perlu mempunyai kesedaran untuk berubah. Hasil kajian Jabatan Perpaduan
dan Intergrasi Nasional menunjukkan bahawa sikap mementingkan diri merupakan satu
faktor utama kelunturan semangat kejiranan.
Tindakan
seterusnya ialah kesediaan pihak polis
melibatkan masyarakat dalam usaha mencegah jenayah dalam kalangan masyarakat.
Rakan Cop yang diperkenalkan pada 9 Ogos 2004 diilhamkan atas kesedaran bahawa
polis merupakan elemen pelengkap sesebuah masyarakat yang aman dan
harmoni. Pendekatan Rakan Cop adalah
untuk membentuk interaksi dua hala dengan masyarakat. Secara tidak langsung remaja boleh bertindak
sebagai ‘ mata dan telinga’ kepada pihak polis demi keselamatan jiran
mereka. Sementara itu, Gagasan
1Malaysia yang sangat menekankan semangat perpaduan antara semua kaum di
Malaysia perlu dihayati dan diaplikasikan oleh golongan remaja dalam aktiviti
seharian mereka demi pemupukan semangat kejiranan yang utuh dalam kalangan
masyarakat. Peranan semua pihak ini
akan lebih berkesan jika media massa memainkan peranan penting menyemarakkan
semangat kejiranan dalam kalangan remaja dan masyarakat. Program penyiaran yang
melibatkan remaja dalam aktiviti kejiranan dan perpaduan mampu mempengaruhi
sikap dan mentaliti remaja terhadap kepentingan semangat kejiranan dalam hidup
mereka.
Segala
usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat tidak dapat
dicapai dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, sentiasalah beringat
bahawa “tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat
dituruni”. Demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan remaja yang peka
akan kepentingan bermasyarakat, semua pihak dan anggota masyarakat perlu
berganding bahu.
(dipetik dan diubah suai daripada ,Hidup Berjiran Muafakat Masyarakat
Oleh Juliana Mansor, Majalah Dewan Siswa,
Mac 2011)
Soalan 2(a) Petikan Umum
1.
Berikan maksud rangkai kata kemaslahatan jiran tetangga berdasarkan dalam petikan.
( 2
markah )
2. Mengapakah kejiranan yang akrab
penting dalam hidup bermasyarakat?
( 3
markah )
3. Pada pendapat anda mengapakah
golongan remaja dianggap sebagai satu entiti penting di sebuah
kawasan kejiranan.
( 4
markah )
No comments:
Post a Comment