Monday, April 16, 2012

Memori Seorang Tua






Cerpen Memori Seorang Tua
(Zahari Affandi)

Sinopsis
Pak Itam digambarkan seorang sebagai pejuang yang cekal. Dia telah beberapa kali keluar masuk penjara kerana penentangannya terhadap Inggeris. Beliau berhasrat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85. Beliau turut bercadang untuk menjemput wartawan, mahasiswa universiti serta para penduduk Langat ke majlis berkenan  bagi berkongsi kisah perjuangannya. Ketika Pak Itam membaca majalah Mastika lama, beliau tersentuh akan paparan Siti Nurhidayah yang menuntut fasakh ketika beliau ditahan di penjara Singapura. Itulah kali terakhir beliau menatap wajah dua orang anaknya, Izwan dan Nuryani Iman. 
            Tuk Mat merupakan orang yang banyak membantu Pak Itam menguruskan segala persiapan untuk majlis itu dan turut dibantu beberapa orang pemuda kampung seperti Isa, Latif dan Jali. Pada hari yng ditetapkan, Pak Itam lengkap berbaju Melayu menyambut tetamu. Orang kampung memenuhi tempat berlangsungnya majlis tersebut, namun Pak Itam kecewa kerana tetamu dari jauh masih belum sampai. Tambah mengecewakan Pak Itam kerana wartawan akhbar dan televisyen tidak muncul.Pak Itam merasakan segala pengorbanannya selama ini telah dilupakan.
            Apabila tiba waktu Zuhur, Pak Itam masuk untuk menunaikan solat. Kaih yang cemas cuba memberitahu perkara yang berlaku kepada Pak Itam. Apabila Tuk Mat mendekati Pak Itam yang terbaring di sejadah, beliau dilihat sudah meninggal dunia. Tetamu yang hadir membacakan surah Yasin untuk jenazah. Pada ketika itu, datang seorang perempuan tua mendekati jenazah membawa sejambak ros. Tatkala orang ramai tercengang memikirkan identiti perempuan tersebut, Tuk Mat menyapu air matanya dan menganggap hajat Pak Itam untuk bertemu isterinya, Siti Nurhidayah telah tercapai.


Tema
Semangat patriotik, iaitu tentang keinginan seorang tokoh yang ingin berkongsi memori lampaunya dengan masyarakat.
 Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucunya dalam usaha beliau membebaskan negara ini daripada penjajahan.

Persoalan

1.     Persoalan kesediaan menghadapi cabaran.
Pak Itam terpaksa menempuh halangan dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana perjuangannya bertentangan dengan dasar pemerintahan  pada masa itu.

2.      Persoalan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa.
Atas dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak menjadi hamba di negara sendiri.

3.      Persoalan jati diri yang teguh.
       Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun.


Plot  
Binaan Plot 

(i)            Permulaan
Mengisahkan kehidupan zaman muda Pak Itam yang sering keluar masuk penjara kerana menentang penjajah. Perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu amat menebal dalam jiwa Pak Itam.

(ii)          Perkembangan
Pak Itam melahirkan hasrat beliau untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85 tahun. Sambutan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang pejuang. Pak Itam juga turut menyatakan harapannya untuk melihat anak bangsanya hidup dengan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tetamu yang hadir pada sambutan majlis hari jadinya agak kurang dan ini menjadikan Pak Itam berasa sedih dan beranggapan bahawa pengorbanannya selama ini kian dilupakan.

(iii)         Klimaks
Pak Itam menghembuskan nafas terakhirnya di atas sejadah. Orang ramai yang hadir membaca surah Yasin untuknya.

(iv)         Peleraian
Kehadiran seorang wanita yang sudah berumur pada hari kematiannya membawa sejambak ros merah menjadikan  penduduk kampung tertanya-tanya. Hanya Tuk Mat mengerti dan berfikir dalam hatinya, hajat Pak Itam kesampaian juga.


Teknik Penceritaan
1.    Pemerian
Pak Itam toleh kiri kanan. Pokok pisang, pokok lengkuas, serai, betik dan rumput-
rampai sekitar rumahnya mengangguk perlahan ditiup angin pagi. Nyaman benar hidup 
di perkampungan, tetapi…

2.    Dialog
“Dah kaujemput budak-budak suratkhabar?” tanya Pak Itam.
“Sudah!” jawab Tuk Mat.

3.    Imbas Kembali
Tiba-tiba hatinya dipintali kesayuan. Di mana Siti Nurhidayah? Di mana Izwan dimana Nuryani Iman? Sudah berpuluh tahun berpisah.

4.    Monolog dalaman
Pak Itam sudah berfikir-fikir, budak-budak surat khabar sudah tentu akan mengerumuninya, menghulur berbelas, mungkin berpuluh kaset perakam suara mahu menemuramahnya.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Pak Itam
1.    Berasal dari Kuala Semantan, Pahang.
2.    Berumur 85 tahun.
3.    Mempunyai isteri  iaitu, Siti Nurhidayah dan dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman yang terpisah sejak isterinya meminta fasakh ketika dia di penjara.
4.    Mempunyai seorang anak angkat bernama Sidah.

5.    Suka membaca. -, Pak Itam suka membaca akhbar dan majalah di kerusi malas di kaki lima rumahnya.
6.  Seorang nasionalis tulen. -  Pak Itam berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk bangsanya.
7.  Seorang yang taat akan perintah agama.- Pak Itam sentiasa beribadat dan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
8.  Baik hati  - Pak Itam bersedia melayan tetamu yang datang untuk bertemu dengannya di rumah.

Watak Sampingan

Tuk Mat

1.    Bekas anggota polis.
2.    Jiran Pak Itam.
3.    Bertubuh sasa, kulit dan batang lengannya masih pejal dan kemas.
4.  Rajin. - beliau banyak membantu Pak Itam dalam usaha mengadakan sambutan hari lahirnya.
5. Boleh diharapkan dan berdisiplin -, hal ini diakui oleh Pak Itam apabila membandingkan sifat anak-anak muda seperti Isa dan Latif dengan watak Tuk Mat.

Siti Nurhidayah

1.    Bekas isteri Pak Itam yang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara.
2.    Sempat hadir pada hari kematian Pak Itam.
3.    Mempunyai dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman.


Latar
Latar Masa
1.    Sehari sebelum hari lahir Pak Itam yang ke-85 tahun- Tuk Mat dan penduduk kampung sibuk menguruskan persiapan untuk majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam.
2.    Sebelum Zuhur - Pak Itam masih menanti. Dia amat kecewa.  Tuk Mat menyuruhnya berehat.
3.    Selepas Zuhur - Kiah menjerit memberitahu Tuk Mat bahawa Pak Itam sakit. Pak Itam meninggal dunia dan bacaan Yasin diadakan.

             
Latar Tempat
 1.    Kediaman Pak Itam dan halaman rumahnya- tempat majlis kenduri sempena hari jadi 
      Pak Itam dan pameran diadakan .
2.    Di kaki lima rumah Pak Itam -  tempat Pak Itam duduk sambil membaca akhbar dan 
     majalah seharian di atas kerusi malas.
3.  Kampung Pak Itam di Hulu Langat- perkampungan yang nyaman tetapi mula tercemar 
     apabila dua buah kilang dari Korea dan Jepun mula beroperasi.
4. Penjara di Singapura - Siti Nurhidayah, isteri Pak Itam datang bersama dua orang   
    anaknya membawa surat kadi meminta fasakh ketika Pak Itam meringkuk di situ.

Latar Masyarakat

1.    Masyarakat pejuang yang mencintai bangsa dan negara.
Pak Itam sanggup keluar masuk penjara kerana menentang Inggeris demi sayang akan bangsa dan negara.

2.    Masyarakat penulis dan wartawan.
 Pak Itam mewakili golongan masyarakat yang menentang penjajah menggunakan mata pena.

3.    Masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan gotong royong serta bekerjasama.
Tuk Mat dan beberapa orang pemuda kampung yang membantu Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadi Pak Itam secara besar-besaran.
  .
Gaya Bahasa
1.    Simile - …kian mengecil seperti sebiji debu
2.    Peribahasa  - seperti enau di belukar
3.    Metafora  -tangisan ketakwaan
4.    Penggunaan Bahasa Inggeris  - vision, Happy Birthday To You
5.    Personifikasi  - Pungguk di belakang rumah terus merintih, merindu bulan…

Nilai
1.    Nilai pengorbanan.
Pak Itam sanggup menolak jawatan sebagai majistret demi cinta akan bangsa dan negara.
2.    Nilai cinta akan negara.
Pak Itam berjuang untuk membebaskan anak bangsanya daripada dibelenggu kemiskinan dan mahu melihat anak bangsanya mendapat pendidikan tinggi.
3.    Nilai bekerjasama.
Semua penduduk kampung tidak kira muda atau tua berganding bahu menjayakan persiapan majlis sambutan hari jadi Pak Itam.


Pengajaran

1.    Kita  hendaklah cinta akan bangsa dan negara agar tidak dijajah oleh bangsa lain.
2.    Kita wajarlah saling membantu dalam setiap usaha agar pekerjaan menjadi mudah.
3.    Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah tuhan dengan meningkatkan amal ibadah agar mendapat kesenangan di kemudian hari.
4.    Kita haruslah mengenang jasa tokoh yang banyak berkorban  untuk bangsa dan negara walaupun masa berubah.




No comments:

Post a Comment