Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Friday, February 10, 2012
Langkah-langkah Membendung Masalah Remaja Terlibat Dalam Jenayah
Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan berita-berita panas yang melibatkan golongan remaja. Kisah berkaitan dengan remaja ini bukan sahaja meniti dari bibir ke bibir masyarakat malah hampir setiap hari dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Fenomena ini sangat merisaukan masyarakat kerana goongan remaja ini merupakan pewaris bangsa dan bakal memimpin negara pada masa akan datang. Statistik pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan ramai golongan remaja terlibat dalam kes curi, cabul, penyalahgunaan dadah dan lebih mengejutkan terdapat juga remaja yang terlibat dalam kes bunuh. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Siapa yang harus dipersalahkan ? Apakah tindakan yang sewajarnya kita lakukan? Persoalan-persoalan ini akan dihuraikan secara lebih terperinci dalam perenggan berikutnya.
Pelbagai langkah boleh diambil untuk membendung masalah ini. Sebagai remaja, mereka seharusnya bijak memilih kawan. Kawan yang baik akan membawa remaja ke arah yang baik begitu juga sebaliknya, jika remaja berkawan dengan kawan yang nakal, maka pelbagai kegiatan jenayah dan perkara tidak elok akan dilakuan. Jiwa remaja yang masih muda selalunya mudah dipengaruhi dan mempunyai sifat ingin mencuba sesuatu yang baru. Oleh itu, remaja perlu berkawan dengan sahabat yang boleh menjadi ubat bagi diri mereka seperti bait gurindam yang berbunyai "Cari olehmu akan sahabat yang boleh dijadikan ubat".
Selain itu, remaja juga perlu menyemai, mengamalkan serta memperkukuhkan jati diri. Jati diri boleh dipupuk melalui pendidikan keagamaan. Apabila ilmu agama telah mantap dalam diri remaja, mereka mampu berfikir secara matang dan rasional. Mereka juga dapat membezakan antara perkara yang baik atau perkara yang memudaratkan diri mereka. Nah, ternyatalah bahawa kekuatan jati diri dalam diri remaja membolehkan masalah kegiatan jenayah dapat dikurangkan.
Ibu bapa juga mempuyai peranan besar untuk mengatasi masalah jenayah yang melibatkan remaja Ibu bapa perlu meluangkan masa untuk berbual dengan anak-anak. Dalam sesi pertemuan itu, ibu bapa perlulah menasihatkan anak-anak supaya mematuhi peraturan dan undang. Ibu bapa juga perlu memahami kehendak anak-anak dan memberi peluang kepada anak-anak untuk menceritakan smua masalah diri mereka. Perkongsian minda antara anak dan ibu bapa mampu mengubah kehidupan mereka yang lebih poitif.
Di samping itu, masyarakat juga berperanan untuk mengurangkan masalah jenayah yang melibatkan remaja. Sikap 'tidak perlu jaga tepi kain orang' dan sikap 'biarkan' akan menjadikan remaja itu lebih liar. Jika masyarakat ternampak remaja melakukan kerja-kerja tidak sihat seperti hidu gam, melakukan maksiat dan mencuri, mereka perlu membuat laporan polis dan memaklumkan hal tersebut kepada pihak keluarga remaja tersebut. Jika hal ini dapat dipraktik oleh masyarakat, maka masalah jenayah dalam kalangan remaja akan lebih terkawal. Bak kata pepatah, sikap cubit paha kanan, paha kiri juga terasa haruslah ditanam dalam diri setiap anggota masyarakat.
Jenayah dalam kalangan remaja ini juga dapat dibendung dengan tindakan bersepadu pihak berkuasa. Pihak berkuasa perlu menggubal undang-undang yang lebih tegas ke atas pesalah remaja supaya dapat memberi pengajaran kepada remaja lain. Remaja yang didapati bersalah perlu diberi hukuman yang setimpal dan hukuman itu perlu diwar-warkan dalam media massa supaya remaja lain berasa gerun dan takut untuk melakukan jenayah. Pihak berkuasa juga perlu mengawal dan mengawasi pelbagai media massa yang boleh mempengaruhi jiwa remaja kearah jenayah seperti filem lucah, filem ganas dan cerita yang tidak memberikan manfaat kepada remaja.Kajian membuktikan, pengaruh media massa ini merupakan punca utama remaja melakukan jenayah.
Daripada huraian di atas, ternyatalah bahawa jenayah remaja ini berpunca daripada pelbagai sudut. Semua pihak, sama ada remaja itu sendiri, ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa harus berganding bahu, sederap melangkah dan sebulat suara untuk mengurangkan masalah ini. Kita perlu kurang bercakap tetapi lebihkan usaha unyuk bertindak bagi membendung masalah jenayah dalam kalangan remaja. Kita tidak mahu sikap sudah terngantuk baru terngadah menjadi amalan semua pihak. Kita perlu ingat apabila nasi sudah menjadi bubur, apa juga usaha yang kita lakukan sudah tidak mempunyai apa-apa makna lagi.
(Karangan ini dibincangkan bersama dengan pelajar 5MPV pada 10 Februari 2011)
apa maksud meniti dari bibir ke bibir
ReplyDeletesubhanallah..
ReplyDeletemeniti dari bibir ke bibir bermaksud sering diperbualkan
ReplyDeletebolehkah tambah lagi isi...plis
ReplyDeleteboleh tuliskan isi didikan moral dan agama?
ReplyDeleteapa kesan is/isis kepada masyarakat?
ReplyDelete