Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Friday, December 23, 2011
PMR 2011 - Antara tangisan suka dan tangisan duka.
Tahniah, syabas kepada calon PMR 2011 yang telah memperoleh kejayaan yang gemilang. Itulah hasil yang dikecap setelah anda bertungkus lumus dalam memerah keringat, mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi untuk mengejar sebuah kejayaan. Terbukti sudah, usaha gigih anda dan kaedah belajar yang sistematik telah membuahkan kejayaan yang cemerlang. Kata-kata hikmah yang berbunyi, usaha luar biasa, sudah pastilah hasilnya juga luar biasa. Anda boleh tersenyum megah dan menangis kegembiraan atas kejayaan ini. Tetapi jangan sesekali anda lupa, disebalik kejayaan itu, ada tangan-tangan yang menjolok dan melonjak anda dari belakang. Siapa ? Sudah pasti ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan kaum keluarga. Sokongan dan dorongan mereka adalah pembakar semangat dan perangsang yang sangat bermakna sepanjang anda berusaha ke arah kejayaan itu. Ucapkanlah rasa terima kasih anda kepada mereka semua, tanda anda sangat menghargai mereka biarpun mereka sekadar hanya menumpang kegembiraan anda. Jangan lupa untuk memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah mengurniakan anda nikmat sihat, nikmat meerasai kegembiraan dan nikmat untuk berjaya. Jika mampu, lakukan sujud syukur sebagai tanda syukur kepada Allah yang tidak mampu kita lafazkan dengan kata-kata.
Kepada calon-calon yang kurang berjaya, usah dikesali atau ditangisi apa yang anda peroleh. Marilah kita muhasabah diri, inilah hasil atas usaha yang cuma sedikit yang kita lakukan selama ini. Inilah keadilan Allah Yang Maha Esa. Kita tidak mampu menanggis kegembiraan kerana usaha kita tidak sepertimana mereka yang berjaya. Semoga keinsafan membalut tubuh kita dan detik ini kita jadikan teladan agar tidak berulang kembali dalam peperiksaan SPM nanti. Semoga kita bangkit atas kesilapan lalu, semoga kita telah sedar daripada lena dan impian yang tidak dapat direalitikan. Ketahuilah, kita asih belum terlambat, PMR hanya sekadar ujian pertama yang mengajar kita untuk lebih matang. Yang pasti, SPM lebih bermakna yang akan menjadi tiket untuk membina sebuah kehidupan yang bererti. Marilah kita berubah untuk sebuah perjalanan hidup yang masih panjang dan juga satu perjalanan hidup yang lebih mencabar.
Akhir kalam, sama ada kita berjaya atau kurang berjaya kehidupan tetap diteruskan. Beruntunglah mereka yang mampu berfikir tentang kehidupan masa hadapan tanpa ada perasaan putus asa dan yakin atas kehebatan dan kemampuan diri sendiri. Didoakan semoga tidak ada pelajar yang 'sombong' atas apa yang mereka kecapi hari ini kerana kealpaan dan bangga diri boleh memusnahkan kehidupan yang lebih bermakna untuk hari-hari yang mendatang.
No comments:
Post a Comment