Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Saturday, December 24, 2011
"INTERLOK" DALAM KENANGAN - KASIH YANG DISENTAP - NAMAMU TETAP DALAM MINDAKU
INTERLOK sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) bagi mata pelajaran bahasa Melayu untuk pelajaran Tingkatan Lima pada tahun hadapan kemungkinan dimansuhkan setelah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam membuat pengumuman mengenai status novel itu dilihat mendahului Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.
Bahasa sebagai wahana fikiran dan fungsi komunikasi digunakan untuk menyampaikan mesej dan idea dengan pelbagai gaya bahasa. Gaya bahasa terarah kepada budaya komuniti bahasa. Ini berbeza dengan ilmu bahasa atau linguistik sebagai satu disiplin yang mengandung sistem bahasa sesuatu komuniti bahasa.
Sehubungan dengan itu, gaya bahasa dalam karya kreatif tidak mutlak sebagai sistem tetapi lebih akur kehendak budaya masyarakat. Titik utama penggunaan bahasa dalam apa-apa medan dan lapangan berdasarkan prinsip asas bahasa tegak berdasarkan sistem dan budaya.
Isunya novel sastera menjadi polemik kerana segelintir pihak gemar menggunakan politik sebagai asas perhitungan mempopularkan diri. Walhal karya kreatif yang berunsurkan semangat kebangsaan seperti novel Interlok karya Abdullah Hussein diterbitkan pada 1971 antara tulisan pascamerdeka. Penulis sezamannya terutama Arena Wati (Sandera, 1971) dan Aziz Jahpin (Pulanglah Perantau, 1971) mengutarakan idea dan tema novel yang bersifat sejarah dan menyemarakkan semangat kebangsaan melalui aplikasi bahasa Melayu sebagai wadah perjuangan umat Melayu. Antara novelnya ialah Putera Gunung Tahan (1937) dan Anak Mat Lela Gila (1941) karya Ishak Haji Muhammad.
Bahasa Melayu sebagai medium menyalurkan semangat kebangsaan sekian lama terutama menyalurkan idea dalam karya sastera Melayu moden pada 1920-an telah menanam sifat ‘bahasa jiwa bangsa.’
Kebebasan jiwa seorang penulis tidak terbatas dan pemikiran kreatif terpancar melalui karya kreatif termasuk karya fiksyen tetapi olahan dan manipulasi bahasa puitis dan gramatis menggambarkan realiti kehidupan dalam negara yang pelbagai kaum perlu menjadi garis panduan dan pedoman rakyat.
Pengungkapan idea dan pemikiran dalam genre sastera, iaitu prosa dan puisi yang banyak konsep dan bayangan melalui ungkapan, kalimat simbolik dan gaya bahasa kreatif dari aspek fungsi wahana perhubungan menjadi paksi perpaduan.
Malah karya kreatif yang dilihat dari aspek politik ditokok isu sensitif seperti agama, dan kaum dengan penuh prejudis hanya menimbulkan perasaan kurang senang.
Dalam teks novel yang berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman berkenaan membabitkan penghijrahan kaum pekerja dari luar termasuk dari Selatan India. Penulis menggambarkan situasi dalam kapal itu bersesak-sesak antara golongan Brahmin dan golongan Kysatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api dan buruh di ladang getah.
Penaakulan yang waras dan akademik menghayati karya sastera dan sejarah dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berasaskan perasaan dan politik yang hanya menafikan asal usul dan kaum itu sendiri. Pemain politik yang membangkit sentimen kaum hanya satu perenggan dalam novel semata-mata memperlihatkan tahap pendidikan dan politik baru.
Harapan masyarakat Malaysia bahawa politik baru dan media baru tidak meminggirkan idea dan pemikiran keindahan gaya bahasa dalam tulisan karya kreatif atau bersifat akademik apalagi sejarah yang mencatat fakta dan data.
DR ZULKEFLEE YAACOB,
Presiden Majlis Bahasa Melayu Kebangsaan,
Tanjung Malim, Perak.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment