Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Thursday, March 24, 2011
Contoh Karangan Syarahan : Memupuk Minat Membaca Dalam Kalangan Masyarakat
Terima kasih, Tuan Pengerusi Majlis. Yang Arif lagi bijaksana, panel penilai dan rakan-rakan yang dihormati. Assalamualaikum dan selamat pagi.
Tajuk syarahan yang menjadi pilihan saya pada pagi ini ialah “Ke Arah Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat”. Mengapakah saya memilih tajuk ini dan apakah yang ingin saya kupas daripada tajuk ini? Sebenarnya, beberapa hari yang lepas, saya baru selesai mengikuti jerayawara ke lima buah daerah di Johor untuk mengajar pelajar mengaplikaskan maklumat dalam karangan. Daerah terakhir yang saya kunjungi ialah daerah Pasir Gudang iaitu pada 3 Julai yang lalu. Di setiap daerah, saya akan bertanya kepada pelajar-pelajar, siapakah yang membaca surat khabar pada setiap hari? Tuan-tuan dan puan-puan tahu apakah jawapannya? Jawapannya amat mendukacitakan. Daripada lebih 100 orang peserta di setiap daerah, tidak sampai 10 orang yang membaca surat khabar pada setiap hari! Kalaupun ada yang membaca, mereka akan hanya membaca ruangan tertentu seperti ruangan sukan atau hiburan. Mereka juga tidak mengetahui nama-nama pemimpin negara apalagi isu semasa yang melanda negara. Inilah gambaran budaya membaca masyarakat kita yang sebenar. Oleh itu, tidak hairanlah jika, Perpustakaan Negara Malaysia mengumumkan bahawa purata membaca setiap rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku setahun. Keadaan ini amat menyedihkan, tetapi itulah hakikatnya! Oleh sebab remaja hari ini merupakan pemimpin masa depan, maka usaha-usaha untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan oleh semua pihak. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, pada hari ini saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memupuk budaya membaca dalam masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu lebih agresif dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Sebelum ini, banyak usaha dijalankan namun tahap pembacaan masyarakat masih rendah. Malahan, Kampung Buku di Langkawi yang diharapkan dapat menjadi daya tarikan untuk memupuk budaya membaca, dilaporkan terbiar dan tidak dimanfaatkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk membinanya. Oleh itu, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas, yang mahu menjadikan Malaysia sebagai “Negara Pembaca” perlulah disambut baik oleh semua pihak. “Negara Pembaca” yang dihasratkan ialah negara yang bukan sahaja memiliki rakyat yang suka membaca dan berasaskan ilmu pengetahuan, malahan diharapkan agar rakyat mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru. Tuan-tuan dan puan-puan, dengan terealisasinya hasrat ini, maka terealisasilah juga “Dasar Buku Negara” yang berhasrat untuk menjadikan masyarakat Malaysia, bukan sahaja suka membaca malah berupaya untuk menghasilkan dan menerbitkan banyak buku yang sesuai dan berkualiti.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Selain dasar dan polisi kerajaan, prasarana yang sesuai dan mesra pengguna hendaklah dibangunkan. Kerajaan boleh membangunkan perpustakaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi. Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu diperbanyak supaya gerakan ini dapat sampai ke seluruh ceruk rantau. Selain kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian juga boleh membangunkan perpustakaan. Di Amerika Syarikat, lending library atau circulating library ini dibangunkan dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar. Usaha ini telah pelopori oleh William Rind sejak tahun 1762 dan telah mendatangkan impak yang amat besar terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan rakyat Amerika selepas itu. Oleh itu, jelas bahawa pembinaan prasarana yang banyak dan meluas, membantu masyarakat kita membudayakan membaca.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pihak swasta juga perlu memainkan peranan untuk memupuk masyarakat membaca. Selain syarikat penerbitan menerbitkan banyak judul menarik dan mengusahakan penterjemahan buku-buku yang berkualiti dari negara, media massa turut memainkan peranan yang penting. United Kingdom, merupakan sebuah negara yang sememangnya berbudaya membaca dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang terbina dalam sekelip mata. Pada tahun 2004, mereka telah mengadakan program BigRead yang merupakan satu program untuk mencari 100 buah buku paling popular di United Kingdom. Yang terpenting ialah program ini telah dilakukan secara bersepadu oleh pihak-pihak media, seperti TV, radio, Internet dan juga usaha sama dengan beberapa buah kedai buku. Caranya mudah sahaja. TV UK, misalnya BBC 1, telah menyiarkan program yang mengulas 100 buah buku yang tersenarai pada setiap minggu. Pada masa yang sama, orang ramai akan mengundi buku-buku kegemaran mereka menerusi Internet. Toko-toko buku pula akan menjual buku yang tersenarai itu dengan melabel dan meletakkannya pada rak-rak khas yang tercetak BigRead di muka depannya. Cara ini umpama carta muzik di kaca TV kita. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, jika kita boleh menciplak banyak program tv realiti berbentuk hiburan dari negara Barat, apalah salahnya jika kita menciplak idea yang sangat membina ini? Jika semua pihak swasta menggembleng tenaga, saya yakin dan percaya, di samping mendapat keuntungan, akan terlunaslah satu daripada tanggungjawab sosial mereka kepada negara iaitu memupuk budaya membaca. Inilah yang dikatakan situasi menang-menang, tuan-tuan dan puan-puan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Erasmus Mundus, seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, ‘‘When I have money, I buy books. If any is left, I buy food.’’. Apakah maknanya kata-kata itu, tuan-tuan dan puan-puan? Maknanya, Erasmus melebihutamakan buku, sedangkan kepentingan makanan datang kemudian. Pada Erasmus dan juga sebilangan besar masyarakat negara maju yang lain, membaca itu amat penting buat santapan minda. Oleh itu, sebagai langkah yang ke-4, kita perlulah memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan. Masyarakat kita bukannya tidak mempunyai wang, mereka ada wang. Hampir setiap rumah, mempunyai radio dan televisyen, malah melanggan Astro. Bagi yang berkemampuan sedikit, mereka tidak lokek untuk berbelanja bagi memiliki produk penjagaan diri dan kesihatan, dan sebagainya. Cuma mereka tidak terbudaya untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli buku. Oleh itu, suatu gerakan besar-besaran perlulah dilakukan supaya, masyarakat kita, terbudaya untuk merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk pembelian buku. Diharapkan dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang walaupun tidak kaya tetapi berminda kelas pertama. Sebenarnya, inilah modalnya untuk kita menjadi negara yang maju dan kaya menjelang tahun 2020 ataupun 2058 sebagaimana yang disasarkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Akhirnya, ialah peranan ibu bapa. Bagaimana acuan begitulah kuihnya manakala melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita. Berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Ibu bapa bukan sahaja menjadi penggalak, malah perlu menjadi suri teladan. Mereka mestilah terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan tabiat membaca. Sebagai permulaan, anak-anak boleh dibacakan “bed time story” sebelum mereka tidur. Apabila usia bertambah, belikan buku-buku cerita yang menarik dan berwarna-warni untuk menarik perhatian mereka. Menjelang usia remaja pula, ajaklah anak-anak berbincang tentang bahan bacaan yang dibaca oleh mereka atau yang dibaca oleh ibu bapa. Jika ini dilaksanakan, saya yakin dan percaya, anak-anak ini akan terus menghargai buku dan ilmu seterusnya merealisasikan gagasan pembelajaran sepanjang hayat. Keadaan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama yang mampu menggegarkan dunia dengan tahap keilmuan yang tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan.
Tahukah anda berapa judul buku yang menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000 buku baru diterbitkan di seluruh dunia. Ini bermakna, pada setiap tahun, sekitar 1.5 juta judul baru menemui pembaca. Sejak mesin Gutenberg dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000 tahun! Malah, kalau pun anda hanya membaca judulnya sahaja, anda memerlukan masa selama 15 tahun! Bermakna, setiap hari, begitu banyak ilmu yang ditemukan lantaran ilmu tersebut semakin berkembang dari hari ke hari. Oleh itu, jika tidak disemaikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita, kita akan ketinggalan dan menjadi masyarakat seperti katak di bawah tempurung. Bertepatan dengan bulan Julai iaitu Bulan Membaca Negara, marilah sama-sama kita menyemai budaya membaca supaya cabaran Wawasan 2020 yang ke-6 iaitu ”mewujudkan masyarakat yang maju dan progresif..” bukan fatamorgana semata-mata.
Sekian, terima kasih.
Sumber : http://www.zanariah.myportal.my/ - Terima kasih atas perkongsian ilmu ini.
Pie is delishouss. Derpy, derp, derp, derp!
ReplyDeletekelas 5SC penuh budak x betul , termasuk TAUFIQ Ali
ReplyDeletememang bahaya SMKTAM benyak kena racun makanan :/
ReplyDeleteAtheism rocks you biatches !!!
ReplyDeleteNpe sume org bgi komen yg mengrot?? X fham btol aq =='
ReplyDeleteGreat esay
ReplyDelete