Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Tuesday, March 15, 2011
Cerpen HUTAN RIMBA
Antologi Dirgahayu Bahasaku
Cerpen Hutan Rimba
( Sasjira)
Sinopsis
Pak Tua sebagai pemandu traktor menyesali pekerjaannya yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Harapannya agar kawasan hutan kembali merimbun. Hasil pekerjaannya dia berjaya membesarkan anak-anaknya dengan kerjaya masing-masing. Atas nasihat anak-anaknya Pak Tua dapat dipujuk agar reda dengan pekerjaannya yang banyak membantu menyara keluarga dan pendidikan anak-anaknya. Akhirnya Pak Tua dan anak-anaknya berjaya menceburi bidang pelancongan dengan membuat resort keluarga di hutan simpan miliknya.
Tema
Kemusnahan alam semulajadi untuk pembangunan. Kawasan bekas aktiviti pembalakan akhirnya telah menjadi kawasan perladangan. Estet-estet kelapa sawit luas saujana mata memandang..
Persoalan
1. Persoalan kemusnahan flora dan fauna alam. Aktiviti pembalakan yang dilakukan telah memusnahkan kehidupan flora dan fauna.
2. Persoalan kekesalan atas kemusnahan khazanah alam. Pak Tua menyesal kerana pekerjaannya sebagai pemandu jentolak dengan syarikat pembalakan menyebabkan khazanah hutan musnah,
3. Persoalan kepentingan pendidikan anak-anak. Empat orang anak Pak Tua telah berjaya dalam bidang pendidikan dan kerjaya masing-masing..
4. Persoalan kepentingan pembangunan dalam memajukan negara.Pembangunan dalam bidang pertanian dapat memberi sumber pendapatan kepada negara.
Plot
Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
(i) Permulaan
Pada peringkat ini watak Pak Tua digambarkan sedang memandu jentolak Caterpillar yang mengeluaran asap hitam dan bunyi bising di dalam hutan dara. Jentolak tersebut menumbangkan pokok-pokok dan mengakibatkan binatang-binatang hilang habitat semulajadi. Kawasan hutan dara menjadi gondol dalam sekelip mata.
(ii) Perkembangan
Pada bahagian ini watak Pak Tua dipenuhi perasaan kesal sehingga menitiskan air mata ketika mengimbas kembali pekerjaannya selaku pemandu jentolak 30 tahun yang lalu telah mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Pak Tua berazam untuk mengembalikan kehijauan hutan dara dan flora serta faunanya. Mak Tua pula cuba memujuk Pak Tua dengan menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia lakukan dahulu telah membuahkan hasil kerana keempat-empat orang anaknya telah bekerjaya. Sepanjang membesarkan anak-anak juga dia tidak membuat sebarang pinjaman untuk anak-anaknya melanjutkan pelajaran di universiti. Pak Tua terkenangkan zaman mudanya sewaktu dia meninggalkan kampung halamannya untuk mencari pekerjaan. Semasa di kampungnya dia menggunakan bom buatan sendiri untuk menangkap ikan walaupun perbuatan tersebut memusnahkan terumbu karang. Mak Tua terus memujuk Pak Tua agar jangan terlalu menyesali kemusnahan hutan kerana mereka bertemu jodoh dan hidup bahagia sehingga kini kerana dia bekerja di dalam hutan itu.
(iii) Konflik
Peringkat ini bermula setelah Pak Tua mewarisi tanah pusaka ibu bapa mentuanya. Pada waktu ini Pak Tua masih lagi dengan rutinnya pada setiap malam Jumaat menghantar juadah ke masjid sambil terus melakukan solat fardhu dan membaca surah Yasin. Tanah pusaka itu dipenuhi buah-buahan tempatan dan buah-buah itu dipungut oleh Pak Tua untuk anak cucunya, namun begitu untuk mendapatkan buah-buahan hutan dia terpaksa meredah belantara. Digambarkan juga dusun Pak Tua didatangi
Plot
pelawat yang menaiki bas mini dan kereta kerana jalan yang sudah berturap. Konflik timbul apabila Ajam mempersoalkan tindakan bapanya yang menjadikan tanah dusun itu menjadi hutan simpan di samping ada tanah untuk tapak rumah dan dusun buah-buahan. Melati pula mempertahankan tindakan bapanya yang sebenarnya menolong negara melaksanakan pembangunan dan hal ini disokong oleh Budi.
(iv) Klimaks
Apabila Bakar mencari pekerja untuk menjaga dusun dan hutan daripada pencuri kayu balak yang semakin menjadi-jadi. Melati menyatakan rnacangan mereka adik beradik untuk menjadikan dusun dan hutan itu sebagai kawasan pelancongan.
(v) Peleraian
Pak Tua tidur di ruang utama dengan dikelilingi cucu-cunya sambil bercerita tentang kehidupan sebuah hutan rimba yang indah dan damai. Pada ketika itu juga dia sudah bergelar haji dan berasa lega dengan keputusannya melestarikan harta warisan alam.
Watak Utama
Pak Tua
Pemandu jentolak jenama Caterpillar.
Seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Bertanggungjawab membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.
Berjaya membesarkan anak-anak dengan pendidikan tinggi. Anaknya yang sulung Ajam berjaya dalam bidang perniagaan pengangkutan bas antarkota. Anaknya yang kedua, Bakar bekerja sebagaipengurus ladang sebuah estet kelapa sawit. Anaknya yang ketiga, Melati menjadi seorang pensyarah di sebuah IPT dan anaknya yang bongsu seorang guru yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Bangga dengan kejayaan anak-anak.Dia bangga kerana kesemua anaknya sudah Berjaya dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya yang baik.
Watak dan Perwatakan
Bersyukur dengan pembangunan. Pembangunan yang telah dilakukan telah menyebabkan anak-anaknya dapat menikmati kehidupan yang sempurna.
Kesal atas pencerobohan hutan.Pak Tua kesal kerana ketika mudanya dia telah terlibat dengan aktiviti pembalakan.
Watak Sampingan
1. Mak Tua
Isteri Pak Tua.
Tinggal di tepi sungai berdekatan hutan dara..
Pandai memasak.Menyediakan makanan yang enak untuk keluarganya.
Pandai mendidik anak-anak. Anak-anaknya saling menyayangi dan menghormati kedua orang tua mereka..
2. Ajam
Anak sulung Pak Tua
Seorang pengusaha pengangkutan bas antarkota..
Pakar dalam dunia perniagaan.
Gigih. Kegigihannya menyebabkan dia telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya..
Berfikiran terbuka. Menerima cadangan adik-adiknya yang mahu membuka kawasan pelancongan
3. Bakar
Anak kedua Pak Tua.
Berkelulusan Sarjana Pertanian.
Pengurus ladang estet kelapa sawit.
4. Melati
Anak ketiga Pak Tua.
Pensyarah IPT.
5. Budi
Anak bongsu Pak Tua.
Seorang guru ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Latar Masa
1. 30 tahun yang lalu sepanjang usia Pak Tua membesarkan anak-anak.
2. Malam Jumaat . Majlis bacaan Yasin diadakan.
Latar Tempat
1. Hutan tempat diteroka oleh Pak Tua
2. Sungai tempat Mak Tua mencari ikan
3. Sungai Kinabatangan, Sabah
Latar Masyarakat
1. Masyarakat penyayang keluarga masing-masing Contohnya Pak Tua menyayangi semua ahli keluarganya.
2. Masyarakat beriman.., Contohnya Pak Tua yang rajin bersolat di masjid.
3. Masyarakat inginkan pendidikan bagi mencorakkan kehidupan baru, Contohnya anak-anak Pak Tua yang semuanya berpendidikan tinggi..
4. Masyarakat yang inginkan pembangunan bagi memajukan kawasan penempatan, Contohnya Pak Tua yang tidak menghalang hasrat anak-anaknya yang ingin menjadikan kawasan dusun mereka sebagai kawasan pelancongan.
Teknik Penceritaan / Teknik Plot
1. Pemerian
Contoh :
Kera dan monyet melompat bergayutan lari meninggalkan habitatnya. Begitu juga dengan gajah, babi hutan, payau dan kijang, namun ada yang tak sempat menyelamatkan diri…
2. Dialog
Contoh:
“Bapa telah melestarikan harta warisan alam.” Bakar mencelah kagum.
“Hanya dengan cara inilah bapa dapat menebus kesalahan bapa kerana pernah terlibat dalam pemusnahan hutan suatu masa dahulu.”…
3. Imbas Kembali
Contoh:
Pak Tua cuba meraih kembali ingatannya sewaktu tiga puluh tahun yang lalu.Jari jemarinya terketar-ketar mengurut kerut di dahinya yang menyimpan begitu banyak memori…
4. Suspens
Contoh:
“Tapi kenapa semua kesenangan ini harus terhasil dari sebuah kehancuran. Kehancuran hutan rimba.” Akhirnya kesesakan di dada Pak Tua ikut terluah bersama linangan air matanya. Dia menangis kini. Dia menangis setelah menyedari bahawa tanpa sedar, dia sekali lagi ikut terlibat dalam pemusnahan alam…
Gaya Bahasa
1. Kata ganda Contohnya pohon-pohon
2. Metafora Contohnya ;hutan dara, busana hijau
3. Hiperbola Contohnya…jentolak yang dipandu oleh Pak tua telah merobek dan mengoyak hasil busana hutan…
4. Personifikasi Contohnya ; bunyi mengaum keras mendengung, membingitkan suasana
5. Repetisi Contohnya : Dia menangis kini. Dia menangis setelah…
6. Paradoks Contohnya : …kesenangan ini harus terhasil dari sebuah kehancuran…
Nilai
1. Nilai tanggungjawab. Contohnya Pak Tua yang bertanggungjawab membesarkan keempat-empat orang anaknya sehingga mereka berjaya dengan kerjaya masing-masing..
2. Nilai kasih sayang sesama ahli keluarga. Contohnya anak-anak Pak Tua yang saling menyayangi antara satu sama lain dan berbincang dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
3. Nilai kegigihan. Contohnya Pak Tua yang gigih mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarganya.
4. Nilai kerajinan. Contohnya Pak Tua rajin berusaha untuk meningkatkan diri dengan berhijrah meninggalkan kampung halamannya.
Pengajaran
1. Kita hendaklah menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab. Pak Tua bertanggungjawab untuk membesarkan dan member pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya..
2. Kita hendaklah saling berkasih sayang antara adik-beradik.Ini yang ditonjolkan oleh anak-anak Pak Tua yang sama-sama berbincang sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan dusun buah-buahan bapa mereka sebagai kawasan pelancongan.
3. Kita mestilah menjadi ketua keluarga yang memiliki sifat gigih bekerja. Hal ini dapat dilihat menerusi watak Pak Tua yang begitu gigih bekerja untuk menyara anak-anak dan isterinya.
4. Kita hendaklah rajin berusaha untuk membaiki taraf hidup.Contohnya Pak Tua yang rajin bekerja sejak zaman mudanya lagi.
No comments:
Post a Comment