Saturday, February 12, 2011

KUPASAN NOVEL INTERLOK



Kupasan ini di keluarkan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum.(BPK)





SINOPSIS :

Buku Satu – Keluarga Seman

Bahagian Buku Satu novel Interlok memaparkan kisah Seman, anak tunggal pasangan Pak Musa dan Mak Limah. Seman seorang pemuda yang gagah dan rajin tetapi tidak tahu membaca kerana tidak ke sekolah. Apabila Pak Musa sakit, secara rahsia dia meminta Seman membawa Mak Limah berpindah tanpa memberikan sebarang alasan. Akhirnya Pak Musa meninggal dunia sebelum sempat menceritakan perkara sebenar. Setelah 27 hari kematian Pak Musa, Cina Panjang menemui Seman untuk memaklumkan bahawa Pak Musa berhutang sejumlah wang daripadanya untuk membeli tanah dan pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang. Cina Panjang menunjukkan surat-surat hutang Pak Musa. Seman terkejut dan menemui Pak Utih untu mendapatkan kepastian terhadap surat-surat itu kerana beliau tidak tahu membaca. Akhirnya Seman membawa ibunya berpindah dari kampung kerana semua harta bukan miliknya lagi.


Buku Dua – Keluarga Cing Huat

Penduduk kampung gempar kerana tanaman padi dimakan belalang. Keadaan ini menyebabkan Kim Lock dan anaknya Cing Huat serta beberapa orang lelaki di kampung itu berhasrat merantau mencari pekerjaan di Singapura. Di sana Kim Lock ditawarkan menjual anaknya Cing Huat tetapi ditolaknya. Selepas 30 bulan di Singapura, Kim Lok bercadang bekerja di Melaka. Bersama-sama Kim Sui, dia dan anaknya menaiki tongkang tetapi di Muar. Dia bekerja di Lukut dan di Pulau Pinang. Akhirnya Kim Sui mengajak Kim Hock berniaga di Simpang Empat. Perniagaan mereka maju tetapi Kim Lock menjadi penagih candu hingga meninggal dunia selepas isterinya di negara China meninggal dunia. Orang Cina mendirikan sekolah Cina untuk anak-anak mereka. Cing Huat berkahwin dan dikurniakan empat orang anak. Seorang anaknya, iaitu Yew Seng rapat dengan Lazim dan keadaan ini tidak disenangi Cing Huat. Akhirnya Yew Seng keluar dari rumah ayahnya.


Buku Tiga – Keluarga Maniam

Maniam datang dari dari India dan bekerja sebagai kuli di pelabuhan Pulau Pinang. Waktu petang dia minum tuak di kedai. Dia juga mengirim wang untuk isterinya di India. Pillay tidak menyampaikan kiriman tersebut, sebaliknya isteri Maniam jatuh ke tangan Pillay akibat desakan hidup. Maniam kecewa. Dia berpindah tempat kerja dan akhirnya bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima. Maniam berkahwin dengan Malini secara rahsia. Rahsia perkahwinannya dibongkar oleh Suppiah, orang kampungnya. Akibatnya, Maniam tidak disenangi dan dihalau keluar dari tempat tersebut. Peristiwa ini menyebabkan Malini meninggal dunia tiga tahun kemudian. Suppiah mencadangkan sekolah Tamil didirikan di kebun untuk anak-anak orang India. Raman, iaitu guru sekolah mengetahui bahawa Suppiah lari dari negaranya kerana takut ditangkap polis dan menerangkan perkara sebenar tentang Maniam kepada Perumal. Perumal menyesal atas tindakannya terhadap Maniam.


Buku Empat – Interlok

Maniam menjadi tandil di kebun getah. Apabila Seman datang meminta kerja, Maniam berusaha membantunya, lebih-lebih lagi sesudah mengetahui Seman ialah anak Musa, kawan baiknya. Maniam juga mendapatkan sebuah petak di rumah kuli untuk Seman dan ibunya yang telah keluar dari kampung mereka. Yew Seng pula lari dari rumah kerana kecil hati terhadap ayahnya yang tidak menghargainya. Dia bekerja di lombong bijih timah.

Seman melawat Kampung Nyiur Condong setelah dua tahun setengah meninggalkan kampung tersebut. Dia diterima baik oleh orang-orang kampung. Pinangannya untuk Gayah juga diterima dan dia menjadi menantu Mat Ranggi.

Penduduk Kampung Nyiur Condong gempar dengan kehadiran orang Jepun ke Tanah Melayu. Orang Melayu berpakat membantu Jepun mengusir Inggeris. Cing Huat pula cuba berbaik-baik dengan Seman. Pada suatu malam kedai Cing Huat dimasuki perompak. Pada masa yang sama juga Poh Eng berjaya melepaskan diri dan diselamatkan oleh Seman yang kemudian membawa Poh Eng kepada emaknya. Sementara itu, pihak Jepun mencari Yew Seng yang dipercayai terlibat dengan komunis. Yew Seng yang mengetahui adiknya hilang berjaya menemukan adiknya, Poh Eng dan dibawa menyertainya ke hutan, iaitu ke markas komunis. Pada waktu petang askar Jepun pula menangkap Mak Limah, Maniam, dan beberapa orang lagi kerana disyaki membantu komunis. Maniam diseksa kerana tidak memberikan kerjasama. Seorang Inspektor berbangsa India menyoal siasat Maniam dan melalui soal siasat tersebut, barulah diketahui bahawa Inspektor tersebut ialah anak Malini, iaitu anak Maniam sendiri. Inspektor Rama Krishnan berjanji akan menolong ayahnya dan cuba membebaskan Mak LImah.

Harga barang semakin mahal. Lazim pula menyesal kerana menyokong Jepun. Dia ditangkap Jepun . Akhirnya Jepun menyerah kalah. Semua orang bergembira, terutamanya orang Cina. Orang yang menjadi tali barut Jepun diseksa. Kumpulan Kong Beng (Kuomintang) menangkap orang-orang yang bekerjasama dengan Jepun. Yew Seng yang mengenali Lazim telah membebaskannya. Poh Eng bnpula berjumpa semula dengan Mak Limah. Tanah Melayu diperintah oleh Inggeris semula. Orang Melayu semakin matang. Orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union. Akhirnya perlembagaan dibentuk. Pengaruh komunis pula mula berkembang semula di Tanah Melayu Orang Cina pula berpendapat mereka patut bekerjasama dengan orang Melayu dan India menentang komunis. Hasil kerjasama itu, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


TEMA :

Novel Interlok bertemakan integrasi tiga kaum utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina, dan India yang terpaksa melalui pelbagai cabaran untuk hidup bersama-sama dalam sebuah negara yang bebas dan bermaruah.

Pak Musa, Maniam, dan Kim Lock masing-masing hidup dalam dunia yang berasingan sehingga mereka ditemukan dalam dunia yang berasingan sehingga mereka ditemukan dalam situasi yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung antara satu sama lain.
Pak Musa terpaksa berhutang dengan Kim Lock untuk membeli harta dan hidup senang tetapi tidak sempat melunaskan hutangnya sebelum mati. Akibatnya semua hartanya diambil oleh Kim Lock menyebabkan anak dan isterinya melarat. Maniam pula membawa diri meninggalkam isteri yang sarat mengandung akibat difitnah oleh Suppiah, orang kampungnya sendiri. Kim Lock pula lebih mementingkan harta benda hingga memandang rendah terhadap orang-orang lain di sekelilingnya.
Walau bagaimanapun dalam generasi kedua, Seman anak Pak Musa menyelamatkan Poh Eng anak Kim Lock, manakala Poh Eng menyelamatkan Maniam. Yew Seng anak Kim Lock yang cedera di kaki lebih suka menerima kaki palsu yang didermakan oleh masyarakat



PERSOALAN :
1.Persoalan penghijrahan
•Watak berhijrah untuk mengubah hidup.Kim Lock dan Maniam berhijrah dari negara asal masing-masing, iaitu China dan India ke Tanah Melayu untuk memiliki kehidupan yang lebih baik.Di Tanah Melayu juga, mereka berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka.

2.Persoalan sifat suka memfitnah dalam masyarakat
•Suppiah memfitnah Maniam sehingga rumah tangga Maniam dan Malini hancur. Maniam pula dihalau dari ladang tempat dia bekerja.

3.Persoalan kasih sayang ibu bapa yang mendalam terhadap anak-anak
•Kim Lock sangat menyayangi Ching Huat, Pak Musa sangat menyayangi Seman, dan Maniam sangat rindu dan sayang pada anaknya walaupun dia tidak pernah melihatnya. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka.

4.Persoalan semangat patriotisme yang kuat dalam kalangan masyarakat imigran
•Kim Lock dan Maniam masing-masing berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak mereka tidak lupa akan asal-usul bahasa ibunda mereka.

5.Persoalan kesedaran politik masyarakat berbilang kaum
•Lazim dan rakan-rakannya membentuk kumpulan menentang Malayan Union demi menjaga maruah orang Melayu. Kim Lock juga menyertai persatuan untuk menjaga kepentingan kaum Cina, manakala Raman juga berusaha untuk menyatukan kaum India di negara yang baru merdeka itu.


PLOT :

Jenis Plot
•Bersifat kronologi – peristiwa-peristiwa berkembang mengikut urutan waktu. Pembaca dapat mengikuti cerita dengan mudah kerana peristiwa-peristiwa disusun mengikut urutan waktu bermula dari kisah Seman, penduduk asal Tanah Melayu, kisah penghijrahan Kim Lock dan anaknya, Cing Huat (Cina Panjang), serta kisah perhijrahan Maniam ke Tanah Melayu.

•Setiap kisah dari Buku 1 hingga Buku 3 mempunyai kaitan yang amat menarik dan akhirnya ketiga-tiga watak ini bertaut dalam Buku 4 (Interlok).

•Setiap cerita dan konflik dalam Buku 1 hingga Buku 3 mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan hukum ‘sebab dan akibat’ dalam sesebuah cerita.


Pembinaan Plot
Terdapat empat peringkat binaan plot, iaitu:

(i)Permulaan

•Seman sedang memotong kayu sambil diperhatikan oleh ibunya
•Ayah Seman sakit

(ii)Perkembangan
Buku 1
•Ayah Seman sakit dan meninggalkan pesanan agar membawa ibunya keluar dari kampung
Nyiur Condong tanpa memberi sebarang alasan – menimbulkan konflik dalam diri Seman.
•Seman berhutang mengambil barang-barang runcit dari kedai Cina Panjang.
•Ayah Seman meninggal dunia.
•Setelah 27 hari kematian Pak Musa, Cina Panjang menemui Seman untuk memaklumkan
bahawa Pak Seman berhutang hampir sepuluh ribu ringgit untuk membeli tanah dan pada
masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada Cina Panjang.
•Seman menyangka ayahnya menyimpan wang lima ribu yang dipinjam daripada Cina
Panjang di rumah.
•Seman membawa ibunya keluar dari kampung kerana tanah itu bukan miliknya lagi.


Buku 2
•Penduduk Tung San menghadapi masalah serangan belalang di sawah mereka.
(konflik alam)
• Melalui Paman Kok Leong, Kim Lock bersama-sama dengan anaknya Cing Huat dan
beberapa orang pemuda berhijrah ke Singapura.
•Di Singapura Kim Lock melakukan kerja-kerja seperti menarik lanca dan tukang angkat
najis.
•Lepas itu dia dan anak ke Muar, Melaka, dan akhirnya ke Simpang Empat, Cangkat
Lima dan berniaga di situ (Pulau Pinang).
•Perniagaannya semakin maju.
•Kim Lock berkenalan dengan Mei Hwa yang memang menghisap candu.
•Kim Lock mula berubah jadi penghisap candu yang tegar.
•Isterinya di Tung San, China meninggal dunia.
•Anak Kim Lock, Cing Huat berkahwin dengan Tua Tao dan mereka dikurniakan empat
orang anak.
•Kim Hock meninggal dunia diikuti dengan Mei Hwa.
•Sebuah sekolah untuk anak-anak kaum Cina ditubuhkan.
•Salah seorang anak Cing Huat , Yew Seng rapat dengan orang Melayu dan tidak
disenangi oleh ayahnya.
•Yew Seng keluar dari rumah akibat berselisih faham dengan ayahnya, Cing Huat.


Buku Tiga – Keluarga Maniam
•Penduduk India, antaranya Maniam berusia 30 tahun berhijrah dari Kerala, India ke
Tanah Melayu dengan diuruskan oleh Kangani (wakil yang mencari buruh untuk kebun)
•Dari Pulau Pinang ke seberang – Bagan Tuan Kecil.
•Maniam menghantar wang kepada isterinya di India melalui Pillay tetapi tidak pernah
sampai kepada isterinya.
•Isteri Maniam terpaksa mengikut Pillay kerana desakan hidup.
•Maniam kecewa lalu berpindah ke Cangkat Lima dan bekerja di kebun kelapa.
•Maniam berkahwin dengan Malini, anak Perumal.
•Konflik timbul lagi dengan kehadiran Suppiah, orang kampungnya ke Cangkat Lima.
•Suppiah menyebarkan cerita yang Maniam telah meninggalkan isterinya di India dan
hidup isterinya melarat.
•Maniam mula berkonflik dengan bapa mentua dan masyarakat di situ.
•Maniam dihalau dari kampung.
•Maniam dipukul dalam perjalanan keluar dari Cangkat Lima tetapi dibantu oleh Pak
Musa, ayah Seman.
•Raman, seorang guru sekolah dari kampung Maniam di India menceritakan sejarah hidup
Suppiah di India kepada Perumal.
•Perumal kesal dengan tindakannya.


Buku Empat – Interlok
•Maniam mendapatkan kerja untuk Seman di tempat kerjanya.
•Yew Seng lari dari rumah.
•Seman kahwin dengan Gayah, anak Mat Ranggi.
•Jepun menyerang tanah Melayu.
•Poh Eng lari semasa kedai bapanya dirempuh.
•Yew Seng jumpa adiknya dan menyertai kumpulan gerila.
•Maniam ditangkap dan diseksa Jepun. Maniam bertemu dengan anaknya semula.
•Jepun menyerah kalah.
•Orang Melayu menentang Malayan Union.
•Orang Cina dan India menyertai orang Melayu menentang komunis.
•Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

(iv) Konflik
•Ayah Seman sakit dan meninggalkan pesanan agar membawa ibunya keluar dari kampung
Nyiur Condong tanpa memberi sebarang alasan – menimbulkan konflik dalam diri Seman.
•Seman berhutang mengambil barang-barang runcit dari kedai Cina Panjang.
•Konflik Seman dengan Cina Panjang - Pak Seman berhutang hampir sepuluh ribu ringgit
untuk membeli tanah dan pada masa yang sama menggadaikan tanah yang dibeli kepada
Cina Panjang.
•Seman membawa ibunya keluar dari kampung kerana tanah itu bukan miliknya lagi.
•Konflik manusia dengan alam - Penduduk Tung San di Cina menghadapi masalah serangan
belalang di sawah mereka.
•Konflik Kim Lock untuk mendapatkan kerja di Singapura. Dia sanggup melakukan
pelbagai kerja.
•Konflik Cing Huat dan ayahnya Kim Lock yang mula menghisap candu apabila berkenalan
dengan Mei Hwa.
•Konflik Cing Huat dengan salah seorang anaknya, Yew Seng kerana Yew Seng rapat
dengan orang Melayu.
•Yew Seng keluar dari rumah akibat berselisih faham dengan ayahnya, Kim Lock.
•Konflik Cing Huat (Cina panjang) dengan orang Melayu.
•Masalah kemiskinan penduduk India telah membawa mereka ke Tanah Melayu antaranya
Maniam berusia 30 tahun berhijrah dari Kerala, India.
•Konflik Maniam dengan Pillay yang tidak amanah kerana tidak menyerahkan wang kepada
isterinya dan menyebabkan isterinya menderita dan akhirnya mengikut Pillay.
•Maniam kecewa lalu berpindah ke Cangkat Lima dan bekerja di kebun kelapa.
•Perkahwinan kali kedua bagi Maniam akhirnya menimbulkan konflik kerana kesilapannya
tidak memaklumkan sejarah hidupnya kepada bapa mentuanya, Perumal.
•Kehadiran Suppiah, orang kampungnya ke Cangkat Lima menimbulkan konflik kerana
Suppiah menyebarkan cerita yang Maniam telah meninggalkan isterinya di India dan
hidup isterinya melarat.
•Maniam mula berkonflik dengan bapa mentua dan masyarakat.
•Maniam dihalau dari kampung.
•Manim dipukul dalam perjalanan keluar dari Cangkat Lima tetapi dibantu oleh Pak
Musa, ayah Seman.
•Konflik Yew Seng dengan ayahnya menyebabkan Yew Seng lari dari rumah.
•Jepun menyerang Tanah Melayu.
•Kedai Cing Huat (Cina Panjang) dirompak.
•Poh Eng lari semasa kedai bapanya dirompak.
•Yew Seng dapat berjumpa dengan adiknya dan adiknya diajak menyertai kumpulan gerila
menentang Jepun.
•Maniam ditangkap dan diseksa Jepun.
•Jepun menyerah kalah.
•Orang Melayu menentang Malayan Union.
•Orang Cina dan India menyertai orang Melayu menentang komunis.

(v) Klimaks
•Peristiwa anak Maniam, Inspektor Ramakrisynan menyerang sarang komunis dan
menyelamatkan Yew Seng serta Poh Eng yang sudah mula meragui perjuangan komunis.

(vi) Peleraian
•Tertubuhnya kesatuan – kesatuan yang mewakili 3 kaum terbesar di Tanah Melayu,
Melayu, Cina, dan India.
•Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


TEKNIK PLOT :
1.Teknik Pemerian
-Banyak unsur pemerian dalam novel Interlok.
Pemerian tentang perlakuan Mak Limah yang sedang memerhatikan anaknya, Seman yang sedang membelah kayu. Dia membandingkan anaknya dengan suaminya semasa muda-muda dulu.

2.Teknik dialog
-Berbanding dengan pemerian, penggunaan dialog tidak banyak
Dialognya pendek-pendek dan bergerak pantas – sesuai dengan suasana penyatuan kaum, konflik antara watak, dan zaman penjajahan Jepun
-Contohnya, dialog antara Mamat Labu dengan Seman.

“Orang-orang Cina tentu ditangkap oleh Jepun,” ujar Mamat Labu lagi.
Mata Seman bersinar-sinar. “Betulkah mereka akan ditangkap oleh Jepun,
Mamat?” “Hei, bukankah mereka itu musuh?” jawab Mamat dengan membelalakkan
matanya.

3.Teknik Monolog Dalaman
- Seman kagum dengan kehebatan Pak Utih, dukun yang mengubat ayahnya.
-Contoh: ……..Seman kagum melihat kekuatan hikmat dukun itu membuka mata bapanya
yang sedang pejam. Memang benar dia dukun besar, kata hatinya

4.Teknik Imbas kembali
-Apabila melihat anaknya, Seman bekerja, Mak Limah teringat akan suaminya semasa muda-muda dahulu seperti anaknya.

5.Teknik Imbas Muka
-…Ada yang membuang muka. Dia berasa bahawa masa buruk baginya sudah tiba. Di atas kepalanya kini ternampak segumpal awan hitam. Sebentar lagi hujan lebat akan turun. Dia akan basah kuyup.

6. Teknik Suspens
-Kebimbangan Seman tentang kemungkinan harta milik bapanya adalah milik orang lain kerana bapanya tidak sempat memberitahunya suatu perkara…..


WATAK DAN PERWATAKAN :
1.Seman
•Seman merupakan watak utama.
•Seman berusia 20 tahun dan anak kepada Pak Musa
•Seman mempunyai bentuk badan seperti ayahnya tetapi kulitnya lebih cerah daripada ayahnya. Menurut pandangan ibunya, Mak Limah, Seman mempunyai sifat-sifat sperti ayahnya.
•Seorang yang taat akan arahan ibunya
Seman mematuhi arahan emaknya agar memanggil dukun semasa keadaan ayahnya semakin tenat.
•Seorang yang taat akan ajaran agama
Seman tetap bersembahyang walaupun kepalanya diikat dengan sapu tangan sahaja bukan kopiah.
•Seorang yang rajin bekerja
Seman membantu ibunya membelah kayu untuk kegunaan ibunya. Apabila ayahnya sakit, Seman banyak mengambil alih tugas ayahnya.
•Seorang yang bertanggungjawab
Seman bertanggungjawab mencarikan ibunya tempat tinggal yang selamat untuk berlindung semasa kedatangan Jepun ke Tanah Melayu.
•Seorang yang berani
Seman duduk seorang diri pada waktu malam di bawah pokok rambutan berhampiran surau sebelum ke Pekan Simpang Empat.
•Seorang yang tegas
Seman bersungguh-sungguh menolak bantuan yang diuruskan oleh Lazim kerana bertentangan dengan prinsipnya.
•Seorang yang berdikari
Seman tidak mahu menumpang di rumah Lebai Man kerana mahu berdikari.


2.Kim Lock
•Watak sampingan dalam novel Interlok.
•Kim Lock berhijrah ke negara lain dan gigih untuk mengubah hidup.
•Kim Lock dengan anaknya, Cing Huat yang masih kecil berhijrah dari Tung San Cina ke Tanah Melayu untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik. Perjalanan mereka diuruskan oleh Paman Kok Leng.
•Seorang yang gigih berusaha
Di Tanah Melayu juga, mereka berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka. Hasil kegigihannya, Kim Lock berjaya membuka kedai yang menjual pelbagai barangan.
•Tidak mudah putus asa
Gagal di satu-satu tempat, tidak mematikan semangat Kim Lock, sebaliknya dia berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah dia bertapak kukuh di Simpang Empat sebagai pekedai runcit dan pelbagai barangan lain.
•Seorang yang penyayang
Kim Lock sangat menyayangi Cing Huat. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ada orang yang mahu membeli Cing Huat tetapi dia tidak bersetuju.
•Seorang suami yang tidak setia
Apabila sudah dikuasai candu, Kim Lock lupa akan isterinya, malah tidak mahu mengambil isterinya untuk di bawa ke Tanah Melayu. Akhirnya dia menjadi penagih Candu yang sukar untuk diubati.


3.Cing Huat
•Watak yang penting kerana beberapa peristiwa penting yang menimpa watak utama, iaitu Seman berpunca daripada tindakannya.
•Cing Huat datang ke Tanah Melayu semasa kecil bersama bapanya Kim Lock.
•Apabila dewasa, dia mempunyai perawakan yang tinggi. Dalam kalangan orang Melayu dia dipanggil Panjang.
•Semasa usianya 17 tahun dia sudah mampu mengendalikan kedai ayahnya.
•Dia berkahwin dengan Tua Tao, anak tiri Kim Sui dan dikurniakan empat orang anak, iaitu Yew Hock, Yew Seng, Poh Eng, dan Poh Kheng.
•Sejak kecil Cing Huat digambarkan sebagai anak yang cergas dan rajin.
Hal ini digambarkan semasa di Singapura, Cing Huat bekerja di kedai runcit.
•Seorang yang menghormati orang tua
Cing Huat tetap menghormati ayahnya walaupun ayahnya menjadi penagih candu. Dia amat memahami kesusahan yang dialami oleh ayahnya sebelum itu.
•Taat akan ayahnya
Cing Huat tidak membantah apabila ayahnya bercadang mengahwinkannya dengan anak tiri Kim Sui, iaitu Lim Tua Tao.
Dia berpeluang untuk membuka kedai di tempat lain, tetapi sifat taatnya sebagai anak menyebabkan dia tetap berada di kedai tersebut.
•Seorang yang penyayang
Cing Huat sanggup balik ke Cina untuk mengambil ibunya yang masih berada di Cina tetapi tidak berkesempatan kerana ibunya telah meninggal dunia.
•Seorang yang sabar
Keputusan bapanya membawa Mei Hwa balik tidak dipersetujui oleh Cing Huat tetapi dia tidak melawan kerana dia takut akan bapanya. Walaupun diperlakukan oleh Mei Hwa seperti orang gaji dia tetap bersabar.
•Seorang yang mempunyai kesungguhan yang tinggi / semangat yang tinggi
Walaupun baru berusia 17 tahun, dia sudah dipertanggungjawabkan menjaga kedai. Dia juga dikatakan mewarisi sifat ini daripada ayahnya. (halaman 176)
•Seorang yang berani bersaing
Cing Huat yang dikatakan mewarisi sifat bapanya yang tidak tahu letih dan kalah tidak mahu bergantung pada orang lain dan tidak takut menghadapi persaingan dengan orang lain. (halaman 176). Dia dikatakan berani mengisi kedainya itu dengan pelbagai barang. Dengan cara ini pelanggan akan datang ke kedainya untuk membeli barang yang tidak ada di kedai lain.
•Seorang yang mementingkan pelajaran
Anak-anaknya bersekolah dan terlibat dalam perbincangan untuk mendirikan sekolah di situ.
•Seorang yang suka menderma
Cing Huat sangat setuju jika didirikan sekolah untuk anak-anak kaum Cina agar mereka tidak melupakan asal-usul mereka.
•Seorang yang mementingkan keuntungan / mementingkan diri
Cing Huat sanggup meminjamkan wang kepada Pak Musa dengan cagaran tanah. Jika gagal membayar hutang tersebut, tanah Pak Musa akan dirampas oleh Cing Huat atau Cina Panjang.
•Bersikap Prejudis
Cing Huat tidak membenarkan anaknya Yew Seng berkawan dengan orang Melayu, khususnya Lazim kerana pada sangkaannya mereka akan menjadi malas seperti orang Melayu.
•Melebih-lebihkan anak lelaki
Cara berfikir Cing Huat masih terpengaruh dengan ayahnya yang tidak menghargai kelahiran anak perempuan. Akhirnya Cing Huat sedar akan kesilapannya apabila dia sanggup bekerjasama dengan orang Melayu dan India.


4.Maniam
•Maniam datang dari Kerala, India.
•Dia tidak membawa isterinya.
•Seorang yang mengenang budi
Maniam berusaha mendapatkan kerja untuk Seman kerana Musa, ayah Seman, pernah membantunya semasa dia dipukul oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.
•Seorang yang peramah
Maniam berbual-bual dengan penumpang lain di dalam kapal semasa dalam pelayaran ke Pulau Pinang.
•Seorang yang bertanggungjawab
Maniam mengirim wang kepada isterinya di India melalui Pillay.
•Seorang yang setia
Maniam tidak berkahwin setelah meninggalkan isterinya, Malini.
•Seorang yang penyayang
Tidak membenarkan isterinya membuat kerja rumah ketika isterinya sarat mengandung kerana amat sayang akan isterinya.


5.Pak Musa
•Seorang yang tidak berpandangan jauh / tidak mementingkan pendidikan anak-anak.
Pak Musa tidak membenarkan anaknya pergi sekolah untuk belajar. Bermacam-macam cara dilakukan untuk mengelakkan anaknya, Seman daripada ke sekolah.
•Seorang yang pandai menyimpan rahsia
Pak Musa tidak memberitahu isterinya yang dia telah menjual tanah dan menggadaikan tanah rumahnya.
•Seorang yang suka berhutang
Pak Musa membeli barangan dapur secara berhutang di kedai Cina Panjang.
•Seorang yang suka menolong orang
Pak Musa menolong Maniam yang cedera walaupun mereka berlainan bangsa.


LATAR :

a) Latar Masa
1.Zaman sebelum kedatangan Jepun
•Maniam dari India belayar ke Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan bagi mengubah kehidupan keluarganya.

2.Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941)
•Rakyat Tanah Melayu merasai keperitan hidup kerana sukar mendapatkan makanan semasa Jepun memerintah Tanah Melayu.

3.21 tahun
•Maniam teringat akan anaknya walaupun sudah 21 tahun dia berpisah dengan Malini dan tidak pernah melihat anaknya.

4.Waktu malam
•Seman memanggil Pak Utih untuk mengubatkan bapanya yang batuk teruk.

5.7.00 pagi
•Orang-orang Cina yang menaiki tongkang untuk ke Rantau Selatan diberi makan bubur dan lobak masin

b) Latar Tempat
1.Kampung Nyiur Condong
•Pak Musa dan keluarganya tinggal di kampung Nyiur Condong.

2.Singapura
•Kim Lock bekerja sebagai penarik lanca di Singapura untuk menampung kehidupannya.

3.Lukut
•Kim Lock dan Cing Huat bekerja di lombong bijih timah di Lukut.

4.Pelabuhan Pulau Pinang
•Maniam menjadi kuli mengangkat barang di Pelabuhan Pulau Pinang.

5.Di rumah Perumal
•Malini menjalani pelbagai upacara penyucian diri sebelum dikahwinkan dengan Maniam.

6.Rumah kuli ladang getah
•Maniam membenarkan Seman meninggalkan ibunya, Mak Limah, dan Poh Eng di situ untuk berlindung daraipada tentera Jepun.

7.Pekan Simpang Empat
•Kim Lock memulakan perniagaan keluarganya di Pekan Simpang Empat


c) Latar Masyarakat
1.Masyarakat yang suka berhutang.
•Pak Musa berbelanja di kedai Cina Panjang secara hutang sehingga sukar untuk melunaskannya.

2.Masyarakat yang gigih bekerja
•Kim Lock gigih berusaha melakukan pelbagai pekerjaan untuk mengumpul wang semasa berada di Singapura.

3.Masyarakat yang suka menolong orang
•Musa menyelamatkan Maniam yang cedera dipukul orang walaupun mereka berlainan bangsa.

4.Masyarakat yang mengenang jasa
•Poh Eng berusaha berjumpa dengan Mak Limah yang telah menjaganya dengan baik semasa pendudukan Jepun bagi mengenang jasa Mak Limah.

5.Masyarakat yang setia kepada suami
•Malini sangat setia dan sentiasa merindui Maniam walaupun suaminya telah meninggalkannya.

6.Masyarakat yang tidak mementingkan pendidikan anak-anak
•Pak Musa tidak membenarkan anaknya pergi sekolah untuk belajar. Bermacam-macam cara dilakukan untuk mengelakkan anaknya, Seman daripada ke sekolah.

7.Masyarakat yang mudah percaya akan khabar angin
•Perumal dan orang-orang kampung mudah percaya dengan kata-kata Suppiah tentang Maniam.

8.Masyarakat Jepun yang zalim dan kejam
•Kedatangan Jepun ke Tanah Melayu menyusahkan semua orang dengan kezaiman mereka.



GAYA BAHASA :
1. Diksi
•Penggunaan telor Cina
Contoh : “Gua tidak mahu miskin susah sama lu, Seman,” kata orang Cina itu setelah Seman duduk di atas bangku …
•Penggunaan Bahasa Inggeris - lodging
•Penggunaan Bahasa Jepun – Heiho, kempeitai

2.Personifikasi
•Malam yang masih muda….
•Bunyi jengkerik mendayu-dayu, begitu memilukan….

3.Simile
•Tangan Mak Limah yang berkerut seribu dan kurus seperti cakaran itu terus menghentak-hentak……
•….Musa pejam rapat, nafasnya saja yang agak keras seperti lembu marah.
•…Dalam masa hatinya bergelora bagai laut musim tengkujuh itu.

4.Peribahasa
•Makan hati berulam jantung

5.Hiperbola
•Gejolak kemarahan itu menjilat-jilat ke kiri kanan, mencari gas pembakar dari bahan-bahan kering untuk menyemarakkan lagi nyalanya, untuk mempercepat kemusnahan.

6.Sinkope
•Banyak singkatan digunakan – sesuai dengan latar belakang watak, cerita, dan latar zaman cerita ini .
•Contoh :
-“Aku belum mahu kahwin, mak,” katanya. Belum ada perempuan yang bersetuju dengan hatiku.”
-“Masakan tak ada pula,” jawabnya. “Anak tahir yang nombor dua itu bukan tak cantik. Kalau kau mahu yang cantik…..

7.Imej Alam
•Daun mengkuang.
•Cahaya matahari
•Belalang…

8.Pengulangan
•Matahari petang ayun-temayun. Sinar keemasan yang terakhir itu tertebar di merata tempat di permukaan bumi: Di atas daun pisang, di atas pelepah kelapa, di atas rumput, di atas belakang Seman di atas muka Mak Limah yang sudah lisut itu.
•Kematian menjadi salah satu rukun hidup di mana-mana saja, di kota mahupun di kampung, di laut mahupun di darat.

9.Anafora
•Dia berjalan tidak menoleh kiri dan kanan. Dia mahu lekas sampai di rumah, mahu lekas tahu apa yang sudah dilakukan orang terhadap mayat bapanya.
•Dia tidak peduli. Dia mencangkul juga.


NILAI :
1.Nilai mengenang budi
•Maniam berusaha mendapatkan kerja untuk Seman kerana Musa, ayah Seman, pernah membantunya semasa dia dipukul oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.

2.Nilai bertanggungjawab
•Maniam mengirim wang kepada isterinya di India melalui Pillay.

3.Nilai kesetiaan
•Maniam tidak berkahwin lagi setelah meninggalkan isterinya, Malini.

4.Nilai kasih sayang
•Tidak membenarkan isterinya membuat kerja rumah ketika isterinya sarat mengandung kerana amat sayang akan isterinya.
•Kim Lock sangat menyayangi Ching Huat. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ada orang yang mahu membeli Cing Huat tetapi dia tidak bersetuju.

5.Nilai kegigihan
•Di Tanah Melayu, Kim Lock sekeluarga berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka. Hasil kegigihannya, Kim Lock berjaya membuka kedai yang menjual pelbagai barangan.

6.Nilai tidak mudah putus asa
•Gagal di satu-satu tempat, tidak mematikan semangat Kim Lock, sebaliknya dia berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah dia bertapak kukuh di Simpang Empat sebagai pekedai runcit dan pelbagai barangan lain.

7.Nilai Cinta akan tanah air
•Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.
•Kaum India yang diwakili oleh Cikgu Raman juga mendirikan sekolah Tamil agar anak-anak India tidak lupa akan asal-usulnya.

8.Nilai prihatin
•Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.



PENGAJARAN :
1.Kita hendaklah mengenang jasa orang yang pernah membantu kita semasa kita menghadapi masalah.
•Maniam berusaha mendapatkan kerja untuk Seman kerana Musa, ayah Seman, pernah membantunya semasa dia dipukul oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.

2.Seorang suami hendaklah bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri masing-masing.
•Walaupun bekerja jauh daripada isterinya, Maniam tetap mengirim wang kepada isterinya di India melalui Pillay.

3.Seorang suami sepatutnya sentiasa setia kepada isteri masing-masing walau di mana mereka berada.
•Maniam tidak berkahwin lagi setelah meninggalkan isterinya, Malini.

4.Sebagai ibu bapa, kita hendaklah adil dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak.
•Maniam tidak membenarkan isterinya membuat kerja rumah ketika isterinya sarat mengandung kerana amat sayang akan isterinya.
•Kim Lock sangat menyayangi Cing Huat. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ada orang yang mahu membeli Cing Huat tetapi dia tidak bersetuju.

5.Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
•Di Tanah Melayu, orang Cina dan India berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka. Contohnya, hasil kegigihannya, Kim Lock berjaya membuka kedai yang menjual pelbagai barangan.

6.Kita tidak seharusnya mudah putus asa terhadap sebarang kegagalan.
•Gagal di satu-satu tempat, tidak mematikan semangat Kim Lock, sebaliknya dia berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah dia bertapak kukuh di Simpang Empat sebagai pekedai runcit dan menjual pelbagai barangan lain.

7.Kita hendaklah mencintai tanah air sendiri.
•Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.
•Kaum India yang diwakili oleh Cikgu Raman juga mendirikan sekolah Tamil agar anak-anak India tidak lupa akan asal-usulnya.

8.Kita hendaklah menderma kepada orang yang memerlukan sekiranya kita mampu.
•Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.

9.Setiap orang perlu rajin berusaha untuk mencapai kejayaan.
•Pengajaran ini dapat digambarkan melalui watak Seman, Kim Lock, Cing Huat, dan Maniam.


Kupasan ini diperoleh ketika Kursus Jurulatih Utama Perubahan Komponen Sastera Tingkatan 2 dan 5 di Port Dickson pada bulan November 2010. Semoga dapat dimanfaatkan.























Latihan


1. Sebutkan tiga nilai yang terdapat dalam novel Interlok karya Abdullah Hussain.


2. Huraikan tiga persoalan novel Interlok karya Abdullah Hussain.


Jawapan

1. Tiga nilai yang terdapat dalam novel Interlok karya Abdullah Hussain ialah:

i. Nilai kegigihan

• Di Tanah Melayu, Kim Lock sekeluarga berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka. Hasil kegigihannya, Kim Lock berjaya membuka kedai yang menjual pelbagai barangan.

ii. Nilai tidak mudah putus asa

• Gagal di satu-satu tempat, tidak mematikan semangat Kim Lock, sebaliknya dia berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah dia bertapak kukuh di Simpang Empat sebagai pekedai runcit dan pelbagai barangan lain.

iii. Nilai cinta akan tanah air

• Cing Huat berusaha dengan cara sendiri untuk membina sekolah di kawasan tempat tinggal mereka bagi memastikan anak-anak kaum Cina tidak lupa akan asal-usul dan bahasa ibunda mereka.

2. Tiga persoalan novel Interlok karya Abdullah Hussain ialah:

i. Persoalan penghijrahan

• Watak berhijrah untuk mengubah hidup.Kim Lock dan Maniam berhijrah dari negara asal masing-masing, iaitu China dan India ke Tanah Melayu untuk memiliki kehidupan yang lebih baik.Di Tanah Melayu juga, mereka berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk memperbaiki kehidupan mereka.

ii. Persoalan sifat suka memfitnah dalam masyarakat

• Suppiah memfitnah Maniam sehingga rumah tangga Maniam dan Malini hancur. Maniam pula dihalau dari ladang tempat dia bekerja.



ii. Persoalan kasih sayang ibu bapa yang mendalam terhadap anak-anak

• Kim Lock sangat menyayangi Ching Huat, Pak Musa sangat menyayangi Seman, dan Maniam sangat rindu dan sayang pada anaknya walaupun dia tidak pernah melihatnya. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka.

No comments:

Post a Comment