Sunday, February 27, 2011

Kasih sayang ibu bapa

SESEORANG anak yang dilahirkan adalah hasil perkongsian hidup suami isteri yang dikenali sebagai ibu bapa.Ibu bapa banyak berjasa. Mereka yang mendidik, mengasuh serta memberi pendidikan dunia dan akhirat kepada anak.Ibu bapa berkewajipan mendidik dan memberi pelajaran agama kepada anak. Mereka juga memberikan makan minum, pelajaran, pendidikan kesihatan, pendidikan akhlak dan akal, budi bahasa dan perbelanjaan sehingga anak meningkat remaja.

Lukmanul Hakim pernah menasihati anaknya dalam usaha mendidik, antara katanya: Hai anakku. Aku wasiatkan engkau dengan sifat-sifat, jika engkau berpegang teguh dengan sifat-sifat berkenaan, nescaya engkau sentiasa menjadi kepala antara teman-temanmu: Lapangkanlah budi pekertimu kepada orang dekat dan jauh. Peganglah kebodohanmu daripada orang mulia dan orang tercela. Jagalah teman-temanmu, sambungkanlah silaturahim dengan kerabat-kerabatmu. Amankan mereka daripada menerima perkataan pembawa fitnah atau mendengar orang zalim yang menghendaki kerosakan dan bermaksud menipumu. Hendaklah teman-temanmu itu, orang yang apabila engkau berpisah dengan mereka dan mereka berpisah dengan engkau nescaya engkau tidak berpisah dengan mereka, tidak memalukan mereka dan mereka tidak memalukan engkau.

Kebanyakan remaja pada masa kini kurang menghargai jasa ibu bapa. Faktor perpindahan remaja dari kampung ke kota menyebabkan ibu bapa terpinggir dan tidak dipedulikan di desa.Hal ini tentulah berlawanan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat penyayang dalam kalangan rakyat. Masyarakat penyayang yang ingin diwujudkan mestilah ada timbal balik antara anak dan ibu bapa. Hanya melalui pendidikan dan bimbingan yang berterusan keadaan ini dapat diwujudkan.

Ibu bapa tentulah sudah mendidik anak dengan sifat-sifat terpuji antaranya jujur, amanah, sabar, berakhlak mulia, berjiwa besar, bertoleransi, suci hati, rendah diri, sifat malu, menepati janji, belas kasihan, memuliakan jiran tetangga, mengeratkan hubungan persaudaraan dan mengenang jasa.Sifat-sifat kebaikan ini tidak lengkap jika tidak dipraktikkan oleh anak, terutama anak remaja kepada ibu bapa mereka yang sudah tua dan terlalu uzur. Mereka perlu mendapat perhatian, kasih sayang bagi menguatkan semangat untuk menghadapi hari-hari tua.

Hal ini pernah disuarakan oleh Prof Hamka mengenai jasa ibu bapa kepada anak remaja, katanya: Kalau ada seseorang yang berbuat jasa kepadamu, meskipun jasa itu dipandangnya sebagai kewajipan saja, wajib atasmu bertekad akan membalasnya dan mensyukurinya serta mengingatinya, tetapi niat itu kau simpan sepenuh rahsia mungkin dan tolonglah dia sewaktu mendapat kesusahan sebagai ganjaran yang menjadi hak yang menerima. Pendidikan dan kehidupan berkait rapat secara akrab. Jika pendidikan itu lengkap dan bermutu, maka manusia dapat menjalani kehidupannya dengan baik dan sejahtera. Dari segi matlamat dan tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan insan soleh, insan yang beriman dan bertakwa, berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan, bertanggungjawab dan berbakti.

Sebagai seorang anak yang soleh dengarkan perkataan orang tua dengan sebaik-baiknya. Jalankan dan taati perintah mereka apabila perintah itu sesuai dengan syariat Allah s.w.t.Datanglah lekas jika mereka memanggil. Tundukkan kedua lengan bahu dan rendahkan diri di hadapan kedua-duanya seperti yang diperintahkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua (ibu bapa) dengan penuh kasih sayang (Al-Isra:24)

Jangan merasa bosan berbakti kepada mereka. Jangan pula merasa bosan menjalankan perintah mereka. Jangan memandang mereka dengan pandangan sebelah mata. Janganlah sampai ada meninggikan suara di hadapan mereka atau berkata dengan suara keras ketika berbicara dengan mereka.Jangan pula anda mengherdik atau berkata cis kepada mereka apalagi kalau sampai menyalahi, tidak mengindahkan perintah dan anjuran mereka. Lukmanul Hakim memberi nasihat kepada anaknya antara katanya: Hai anakku! Jangan kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan mempersekutukan Allah itu adalah satu kezaliman yang besar.Hendaklah kamu patuh dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika kedua-dua orang tuamu memaksa untuk mempersekutukan Allah maka janganlah kamu mengikutnya. Jelaslah bahawa seseorang anak itu mestilah patuh kepada kedua-dua ibu bapa mereka kecuali perkara yang melanggar syariat Allah s.w.t. Seseorang anak atau remaja mestilah patuh dan mengikut nasihat ibu bapa mereka untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Masyarakat Malaysia secara umumnya sering diperkatakan sebagai masyarakat yang bertimbang rasa, berbudi pekerti dan gemar berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.Ini ada kaitannya antara hubungan anak dan ibu bapa sebagai teras masyarakat penyayang. Islam mengambil berat perihal hubungan yang murni antara anak dan ibu bapanya. Islam menganggap persoalan ini sebagai teras kepada pembinaan masyarakat yang harmonis dan berjaya.Selain inginkan kekayaan dan kemajuan, Islam juga mahukan kekayaan perwatakan yang cemerlang dan tinggi budi pekertinya di kalangan umatnya.

Dalam Islam, menghormati, menyayangi, berbelas kasihan dan menjaga kebajikan ibu bapa adalah sesuatu yang wajib. Dan melaksanakan sesuatu yang wajib adalah ibadah.Allah berfirman yang maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan. (Surah Luqman:14) Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. (Surah Al-Ahqaf:15) Daripada kedua-dua ayat itu, jelas bahawa tugas berbuat baik kepada ibu bapa kita adalah wajib dan bukan pilihan peribadi. Seseorang anak juga patut menjaga makan minum, kesihatan, kebajikan dan perbelanjaan ibu bapa yang sudah tua. Anak tidak boleh membiarkan ibu bapa melarat dan tidak dijaga dengan sebaiknya.

Ada anak yang menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan apabila ibu bapa mereka sudah tua dan uzur. Perkara ini tidak seharusnya boleh terjadi dalam masyarakat Malaysia yang mengamalkan nilai murni dan pembentukan masyarakat penyayang. Allah menegaskan dalam al-Quran yang maksudnya: Jika salah seorang daripada kedua-duanya (iaitu ibu bapa kita), atau kedua-dua sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan Ha! dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka, perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah Al-Isra:23)

Natijahnya, seseorang anak mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berat untuk menjaga dan memelihara kedua-dua ibu bapa mereka apabila mereka sudah tua, namun tugas dan tanggungjawab itu adalah suatu ibadah dan perbuatan yang sangat mulia serta patut mendapat sokongan dan sanjungan semua ahli masyarakat ke arah membentuk masyarakat penyayang.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

1 comment: