Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Sunday, February 6, 2011
CERPEN 3 : ISRAK
Cerpen Israk
Erda Roslan Khairi)
Sinopsis
Cerpen Israk mengisahkan Adam iaitu anak tunggal Wah, telah balik ke kampung bersama-sama isterinya Siti Hawa dan anak-anaknya, Israk dan Mikraj di Kampung Sayong Perak. Keadaan rumah yang serba kekurangan dari segi kemudahan asas dan keselesaan menyebabkan anaknya Israk berasa kurang senang dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampung . Namun adiknya Mikraj suka akan suasana kampung dan menyebabkan mereka sering bertikam lidah. Hal ini berlaku kerana Israk telah dibesarkan di luar negara.
Tindakan Israk yang sering menghina dan menggores perasaan Wah menimbulkan rasa kurang senang Mikraj dan dia sering mempertikaikan perbuatan Israk terhadap Wah. Perbezaan pendapat ini telah mencetuskan perang mulut antara mereka. Namun Wah tidak suka mereka bertengkar bagai anjing dengan kucing dan mahu mereka berbaik-baik semula walaupun hati Wah terluka.
Suatu hari, bekalan air paip di kampung Sayong telah terputus menyebabkan Mikraj mencadangkan agar abangnya mandi di sungai. Namun, Israk telah terjatuh dan Wahlah yang berusaha menyelamatkan Israk sehingga naik ke tebing. Akhirnya, Israk insaf dan berubah. Dia mula memakai baju Melayu, makan nasi, dan mencari jering serta tempoyak untuk dimakan.
Tema
Perbezaan budaya dan kehidupan dalam sebuah keluarga sehingga mencetuskan pertentangan pandangan dan nilai.
Israk yang dibesarkan di Perth, Australia mempunyai pandangan yang berbeza dengan adiknya tentang kampung, kehidupan dan diri neneknya Wah.
Persoalan
1.Persoalan jati diri
Israk yang dibesarkan di Perth Australia tidak mempunyai jati diri ketimuran akibat persekitaran dan cara dia dibesarkan. Hal ini bertentangan dengan sifat adiknya Mikraj yang lebih kukuh dan teguh jati dirinya dengan adat ketimuran.
2.Persoalan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.
Wah seorang nenek yang menyayangi cucunya, walaupun cucunya amat ego dan selalu melukakan hatinya namun Wah tetap sabar.Hal ini terpancar apabila Wah menyelamatkan Israk yang hampir lemas dengan tenaga tuanya.
3.Persoalan tanggungjawab bapa terhadap keluarga.
Adam menjalankan tanggungjawabnya kepada anak-anak. Dia membiasakan anak-anak dengan kehidupan kampung di tempat dia dibesarkan agar anak-anaknya tidak sombong dan lupa diri kerana biasa hidup mewah di bandar.
Plot
Binaan Plot
1.Permulaan
Adam, Siti Hawa, Israk dan Mikraj telah pulang ke rumah Wah di Kampung Sayong. Israk anak teruna Adam, kelihatan kurang selesa dengan suasana di kampung kerana selama ini dia dibesarkan oleh datuknya di Perth Australia.
2.Perkembangan
Mikraj, adik kepada Israk seorang remaja yang mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampong. Israk pula ego dengan statusnya sebagai orang bandar dan bakal bergelar ahli korporat. Perselisihan pendapat antara dua beradik ini semakin memuncak apabila kelakuan dan tingkah laku Israk semakin keterlaluan terhadap Wah. Israk tidak patut menyakiti hati Wah kerana Wahlah yang menjaganya sejak berumur sehari. Pertikaman lidah antara dua beradik itu berlarutan dan telah menyebabkan Wah masuk campur serta menasihati kedua-dua cucunya agar jangan bertekak pasal dirinya lagi.
3.Klimaks
Keputusan air di kampung Sayong telah memaksa Israk ke sungai untuk mandi, setelah dicabar oleh adiknya Mikraj. Israk telah terjatuh ke dalam sungai dan telah diselamatkan oleh neneknya.
4.Peleraian
Israk keluar dari bilik dengan berpakaian baju Melayu telah mengejutkan keluarganya. Israk mulai mencedok nasi dan gulai malah mencari jering dan tempoyak yang merupakan makanan yang paling tidak disukainya.
Teknik Plot.
1.Teknik Dialog
“Abang tak mahu pergi kebun? Apa kata abang pergi sebelum abang menjadi ahli korporat nanti,” rayu Mikraj.
“Tak perlu!” Israk menghayun kata-kata
2.Teknik Imbas Kembali
Mikraj teringat akan peristiwa yang berlaku pada Wah semasa muda.
Ketika Wah masih remaja (tidak seperti remaja pada masa kini), Lebai Saleh pernah bertakhta di hati Wah. Tetapi terpisah setelah Lebai Saleh mengaji di Mesir………….Mikraj tersentak daripada lamunan yang melangit ketika Wah mengacannya.
3.Teknik Pemerian
Pagi nirmala. Camar menyanyi mesra bersaing dengan cengkerik menunjuk ketangguhan. Daun-daun melambai-lambai setenang air Sungai Perak. Bot tambang sudah mula beroperasi.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Israk
1.Anak teruna Adam dan Siti Hawa.
2.Merupakan cucu sulung Wah.
3.Ego dan sombong - Israk tidak selesa tinggal di kampung dan makan makanan kampung. seperti petai dan jering.
4.Biadap – Dia sering menyindir dan merungut tentang ketidakselesaan tinggal sehingga menyakiti hati neneknya.
5.Degil – Dia tidak menghormati Wah sebagai neneknya walaupun dinasihati oleh Mikraj.
6.Insaf – Dia sedar akan kesalahannya setelah dia jatuh ke dalam sungai dan diselamatkan oleh Wah.
Mikraj
1.Anak kedua pasangan Adam dan Siti Hawa.
2.Adik perempuan Israk dan cucu kedua Wah.
3.Berjiwa seni – dia berminat dalam bidang sastera dan mengajak Israk berkenalan dengan alam.
4.Penyayang - dia amat menyayangi Wah.
5.Bertanggungjawab - Tidak suka akan tindakan dan sikap abangnya yang keterlaluan terhadap neneknya Wah.
Wah
1.Merupakan ibu kepada Adam dan nenek kepada Israk dan Mikraj.
2.Sudah lanjut usia tetapi masih kuat dan bertenaga.
3.Alim dan taat akan agama – dia sentiasa berwuduk .
4.Penyayang - dia amat menyayangi cucu-cucunya.
5.Tabah - Wah memelihara anaknya seorang diri setelah kematian suaminya yang meninggal dunia sebelum kelahiran anak mereka.
Latar
Latar Masa
1.Musim durian
2.Pada waktu pagi - Israk jatuh di sungai ketika hendak mandi akibat ketiadaan air paip.
3.Kebanyakan peristiwa berlaku pada waktu siang.
Latar tempat
1.Kampung Sayung iaitu tempat tinggal Wah.
2.Sungai Perak iaitu sungai yang terletak di tepi rumah Wah.
3.Rumah kayu milik Wah.
Latar Masyarakat
1.Masyarakat yang menghormati orang tua – Mikraj amat menghormati Wah
2.Masyarakat muda yang sukar menyesuaikan diri dengan suasana kampung.
Israk tidak selesa tinggal di kampung dan makan makanan kampung. seperti petai dan jering.
3.Masyarakat yang bertanggungjawab
Mikraj tidak suka akan tindakan dan sikap abangnya yang keterlaluan terhadap neneknya Wah.
4.Masyarakat yang penyayang
Wah amat menyayangi cucu-cucunya.
Gaya bahasa
1.Simile
……pantas dan teratur sekali laksana seorang primadona.
2.Dialog
“Lama sampai?” aju Wah dan salam dihulurkan oleh tetamu dari Bukit Antarabangsa itu disambut dengan pantas.
“Baru”.Adam, anak tunggal Wah, segera menjawab.
3.Peribahasa
Sudah terhantuk baru terngadah
Macam anjing dengan kucing .
Bagai air dengan minyak. Entah bila akan bercantum.
Cari-cari bulu ayam bercantum jua akhirnya.
4.Pesonifikasi
Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengeji.
5.Metafora
Bara kata-kata
Nilai
1.Nilai menghormati ibu bapa.
Israk menolak baik pelawaan ayahnya untuk makan durian bersama-sama keluarganya
2.Nilai ketabahan.
Wah amat tabah membesarkan anaknya tanpa kehadiran suami.
3.Nilai keprihatinan
Mikraj amat prihatin akan perasaan neneknya yang sentiasa terguris dengan perbuatan dan kata-kata abangnya yang seolah-olah mengejek dan memperlekehkan kehidupan miskin neneknya.
4.Nilai kasih sayang
Wah amat menyayangi anak cucunya, sehingga sanggup menggunakan tenaga tuanya untuk menyelamatkan cucunya yang jatuh ke dalam sungai walaupun Israk selalu menyakiti hatinya.
Pengajaran
1.Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita terutama dari segi percakapan dan perbuatan kita.
2.Kita mestilah mengetahui asal usul kita agar kehidupan kita selari dengan kehendak agama dan masyarakat.
3.Kita haruslah menjaga perlakuan dan kata-kata kita terhadap sesiapa sahaja agar orang di sekeliling kita tidak merasa tersinggung dan kurang senang kepada kita.
4.Kita haruslah sentiasa bersyukur terhadap apa-apa sahaja yang kita nikmati kerana ada orang lain yang tidak bernasib baik seperti kita.
5.Kita mestilah berterima kasih terhadap apa-apa bantuan yang telah diterima.
Latihan.
1.Mengapakah Israk berasa tidak selesa hidup di kampung?
2.Mengapa Wah tidak mahu menjualkan rumah uzurnya kepada Majlis Daerah?
Jawapan.
1.Israk berasa tidak selesa hidup di kampung kerana dia dibesarkan di Perth, Australia yang mewah dengan kekayaan dan dia bakal menjadi orang korporat.
2.Wah tidak mahu menjualkan rumah uzurnya kerana masih memegang amanah ibunya dan rumah itu menyimpan sejuta rahsia hati dan kenangan kehidupan Wah.
No comments:
Post a Comment