Friday, January 14, 2011

PERKATAAN BOMBASTIK - JANGAN BUANG MASA HANYA UNTUK MEMIKIRKAN PERKATAAN BOMBASTIK DALAM KARANGAN ANDA



Perkataan Bombastik



Akhir-akhir ini, banyak pelajar yang mempunyai kecenderungan untuk menggunakan perkataan yang bombastik dalam penulisan karangan. Tahukah anda maksud perkataan bombastik?

Perkataan bombastik bermaksud banyak menggunakan kata yang indah-indah dan luar biasa kelihatannya tanpa membawa pengertian yang bernas atau jelas.

Dalam hal ini, Arena Wati, Sasterawan Negara, sering menggunakan bahasa yang sederhana dan mudah difahami dalam karyanya. Pemilihan kata-katanya dibuat begitu teliti dan tidak bersifat bombastik.Dalam penulisan karangan pada peringkat PMR dan SPM, calon digalakkan supaya menulis karangan yang mudah difahami dengan menggunakan bahasa yang indah dan menarik.

Penggunaan bahasa yang sukar difahami atau bersifat bombastik akan menyusahkan pembaca atau pemeriksa. Oleh hal yang demikian, pelajar dinasihati supaya tidak bersusah payah untuk mencari atau menghafal perkataan atau frasa yang bombastik untuk dimasukkan dalam karangan. Perkara yang penting ialah pelajar dapat menulis karangan dengan memasukkan perkataan atau frasa yang biasa digunakan tetapi mempamerkan keindahan.

Ayat seperti ”Malam mula merangkak tiba” merupakan satu contoh ayat atau ungkapan yang menarik. Semua perkataan dalam ayat tersebut difahami oleh kebanyakan pengguna bahasa. Dari segi gaya bahasa, ayat tersebut menggunakan gaya bahasa personifikasi. Dari segi jenis karangan pula, ayat tersebut sesuai digunakan untuk karangan jenis cerita.

Cuba baca ayat yang di bawah ini pula:"Dalam hal ini, beliau memfasiqkan bahawa keputusan itu terpaksa dibuat oleh kerajaan walakin mendapat tentangan daripada pihak pembangkang."

Persoalannya ialah mengapakah calon perlu menggunakan perkataan memfasiqkan dan walakin? Perkataan memfasiqkan dan walakin jarang-jarang digunakan oleh pengguna bahasa. Perkataan mengatakan atau menyatakan lebih tepat dan sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Perkataan yang sepatutnya digunakan untuk maksud walakin pula ialah meskipun, walaupun atau sungguhpun.

Kesimpulannya, calon tidak perlu bersusah payah untuk mencari perkataan yang pelik-pelik atau jarang-jarang digunakan oleh masyarakat untuk dimasukkan dalam penulisan karangan. Karangan yang baik bukanlah dinilai dari segi penggunaan kata yang bombastik, tetapi penilaian dibuat secara keseluruhan termasuk penggunaan kata, frasa, pengolahan ayat, penggunaan ungkapan yang menarik, dan sebagainya

4 comments:

  1. YA. DAN LAGI BANYAK MARKAH YANG KENA POTONG. SEKARANG INI, SAYA CUMA MENGGUNAKAN KATA-KATA HIKMAH OLEH TOKOH SERTA MENGGUNAKAN FRASA MENARIK. KALAU DAHULU, SAYA SERING MENGGUNAKAN PERKATAAN 'BOMBASTIK' SAMPAI KENA GELAR BUKAN-BUKAN. TIP YANG BAGUS :)

    ReplyDelete
  2. Tetapi bagi saya bahasa bombastik mempamerkan kematangan pelajar dalam menulis satu karangan yang baik. Penggunaan yang tepat mengajar pelajar supaya lebih berhati-hati dan teliti dalam memasukkan perkataan yang menarik supaya relevan dengan konteks yang dibicarakan. Kalau mengambil keputusan supaya langsung tidak menggunakan perkataan tersebut di manakah letaknya keindahan bahasa? Sampai bila nak belajar gunakan bahasa ibunda dengan baik jika takut digelar atau dilabel yang bukan-bukan. Ini cuma pendapat saya sahaja. Wassalam.

    ReplyDelete
  3. Tetapi bagi saya bahasa bombastik mempamerkan kematangan pelajar dalam menulis satu karangan yang baik. Penggunaan yang tepat mengajar pelajar supaya lebih berhati-hati dan teliti dalam memasukkan perkataan yang menarik supaya relevan dengan konteks yang dibicarakan. Kalau mengambil keputusan supaya langsung tidak menggunakan perkataan tersebut di manakah letaknya keindahan bahasa? Sampai bila nak belajar gunakan bahasa ibunda dengan baik jika takut digelar atau dilabel yang bukan-bukan. Ini cuma pendapat saya sahaja. Wassalam.

    ReplyDelete
  4. penggunaan perkataan bombastik jika digunakan di tempat yang betul sebenarnya x salah malah mampu menarik minat pembaca untuk membaca. Cuma yang menjadi masalah jika para pelajar gagal untuk meletakkan perkataan bombastik di tempat yang sepatutnya.

    ReplyDelete