Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Friday, January 14, 2011
KEMAHIRAN BERBAHASA - KATA HUBUNG KOMPLEMEN "UNTUK"
Kata `untuk’ dalam bahasa Melayu lebih dikenali oleh pengguna bahasa Melayu sebagai kata sendi nama. Banyak pengguna yang tidak menyedari bahawa kata `untuk’ juga merupakan kata hubung pancangan keterangan dan kata hubung komplemen. Apabila perkara ini tidak diketahui, pengguna sering mengabaikan penggunaan kata `untuk’ di tempat yang sepatutnya.
Kesilapan ini sering kita lihat dalam ayat seperti yang berikut:
1. Langkah menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
2. Usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes menjadi tanggungjawab setiap penduduk.
3. Anda dikehendaki menulis jawaban tersebut dengan lengkap.
Penjelasan:Ayat (1) hingga (3) di atas sebenarnya tidak tepat.
Ayat yang tepat ialah:
1a. Langkah untuk menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja perlu dberikan perhatian oleh semua pihak.
2a. Usaha untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes menjadi tanggungjawab setiap penduduk.
3a. Anda dikehendaki untuk menulis jawaban tersebut dengan lengkap.
Dalam ayat (1a) hingga (3a) di atas, klausa komplemen seperti ` untuk menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja’, ` untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes’, dan `untuk menulis jawaban tersebut dengan lengkap’ merupakan pelengkap kepada subjek.
Jika bahagian tersebut tidak ada, maka ayat tersebut menjadi ayat yang berikut:
1b. Langkah perlu dberikan perhatian oleh semua pihak.
2b. Usaha menjadi tanggungjawab setiap penduduk.
3b. Anda dikehendaki dengan lengkap.
Dalam ayat (1b) hingga (3b) di atas, subjek kelihatan tidak lengkap, iaitu `langkah apa?’, `usaha apa?’ dan `dikehendaki apa?’.
Untuk mengetahui perkara ini lebih jelas, sila lihat ayat (3).
Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:
4. Cikgu menghendaki anda menulis jawaban dengan lengkap. [aktif]
4a. Anda dikehendaki oleh cikgu menulis jawaban tersebut dengan lengkap.[pasif]
3. Anda dikehendaki menulis jawaban tersebut dengan lengkap.
[Selepas oleh + FN digugurkan]
Ayat di atas tidak akan lengkap jika ditulis seperti yang berikut:
4b. Cikgu menghendaki anda.
Persoalannya ialah `Cikgu menghendaki anda apa?’
Dalam ayat 4b di atas, ayat tersebut memerlukan pelengkap. Jadi, pelengkap ayat tersebut merupakan klausa komplemen. Hal ini membuktikan bahawa klausa komplemen penting dan perlu ada dalam ayat.
Persoalannya ialah mengapakah pengguna menggugurkan kata komplemen?
Jika kata komplemen tidak penting dalam bahasa Melayu, mengapakah kata ini diwujudkan? Oleh sebab itu, penggguna bahasa Melayu hendaklah mendalami ilmu tentang komplemen dalam bahasa Melayu.
penerangan yang baik.
ReplyDeleteTerima kasih.