BULAN Bahasa Kebangsaan tiba lagi dan pastinya seperti tahun sebelumnya mereka yang komited terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan akan terus melaung-laungkan seruan agar semua pihak khususnya pemimpin politik benar-benar serius untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
Rakyat Malaysia yang serius untuk mewujudkan perpaduan antara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama akan tetap berusaha sedaya upaya untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia menguasai bahasa Melayu dengan sebaik mungkin.
Pada era dunia globalisasi yang semakin terbuka ini pastinya kita tidak berfikiran sempit untuk mengabaikan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia bahkan penguasaan mana-mana bahasa sekalipun perlulah digalakkan khususnya buat generasi muda.
Namun begitu, kita pastinya tidak mahu mengabaikan bahasa Melayu yang mempunyai seni keindahan gaya bahasanya yang sendiri terutamanya apabila kita mendalami keunikan makna tersirat di sebalik puisi, pantun, syair, gurindam, sajak, seloka dan sebagainya.
Agak memalukan kita rakyat Malaysia tatkala sebilangan rakyat negara asing seperti Rusia, China, Jepun dan sebagainya yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan tepat manakala masih ramai rakyat Malaysia yang gagal dan tidak berusaha untuk menguasai bahasa Melayu dengan tepat bahkan lebih gemar mencemarkan keindahan bahasa itu dengan bahasa rojak yang celaru.
Pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti di papan iklan, dialog filem dan juga dalam perbualan seharian perlulah diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ia juga mencerminkan kecelaruan dalam pemikiran.
Pemimpin utama negara perlu berani dan tidak malu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam siri ucapan mereka serta jangan ada krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu dalam diri mereka supaya ia dapat dijadikan contoh tauladan yang baik kepada keseluruhan rakyat Malaysia.
Dalam keghairahan mahu dilihat bersifat antarabangsa juga pihak pentadbiran awam, swasta, universiti dan sebagainya tidak perlu mengabaikan bahasa Melayu dalam program-program anjuran mereka.
Kuasailah bahasa-bahasa asing sebanyak mungkin, ungkapkan bahasa-bahasa tersebut dengan betul dan pastikan bahasa ibunda tetap diperjuangkan.
Semoga Bulan Bahasa Kebangsaan yang sedang berlangsung ini mampu meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu demi negara Malaysia yang tercinta.
Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
Sumber : http : //ww.utusan.com.my/
Label: Surat pembaca pilihan
KHAMIS, 2010 OKTOBER 07
Hentikan tindak-tanduk ketepikan bahasa kebangsaan
SETELAH Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dipinda beberapa kali, kita terus-terusan diyakinkan bahawa bahasa Melayu tidak akan di kesampingkan.
Tetapi hakikatnya, hari demi hari kita dapat melihat keresahan rakyat terhadap sikap tidak peduli banyak pihak terhadap penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.
Bukan setahun dua atau sedekad lalu sahaja, tetapi sudah berpuluh tahun sejak negara ini merdeka - didapati banyak keadaan bahasa kebangsaan 'dilayan' dengan cara tidak sepatutnya.
Sebagai langkah pertama membetulkan kesilapan itu, kita menyokong gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.
Perkara ini sepatutnya telah dilakukan oleh penguat kuasa PBT sejak hari pertama Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan dikuatkuasakan.
Kita tak dapat nafikan sebagai mana kata Muhyiddin, jika PBT menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
Kita ingin melihat perubahan ketara diambil oleh PBT setelah peringatan ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri. Atau selepas berakhir Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 ini, sikap dan pendekatan PBT masih cara lama.
Elok berulang kali diingatkan kepada PBT, untuk mengajak masyarakat menghormati bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan, maka kelemahan penguatkuasaan perlu diperbaiki segera.
Tempoh sikap bertolak ansur dan sekadar beri nasihat elok dihentikan. Inilah antara faktor yang mungkin menyebabkan masyarakat memandang ringan dan mengabaikan bahasa kebangsaan sehinggakan kedudukannya masih tidak menentu walaupun lebih 53 tahun negara kita merdeka.
Kerajaan juga patut bertegas melarang penggunaan bahasa lain untuk nama di bangunan pejabat, pusat beli-belah, kondominium, taman perumahan dan kelab rekreasi selain bahasa Melayu.
Masih banyak perbendaharaan kata dalam bahasa kebangsaan yang belum digunakan dan 'manis' sebutannya.
Kita cadangkan supaya dikawal dan bertindaklah lebih tegas dalam menangani isu papan tanda dan iklan yang berlesen dan tidak berlesen daripada terus mencemarkan bahasa kebangsaan di seluruh negara.
Ambillah tindakan berani dan bersepadu dengan menurunkan semua papan tanda dan iklan tersebut.
Sakit mata kita apabila membaca papan tanda iklan yang membelakangkan bahasa kebangsaan.
Kita harus bersikap jujur dan sedar bahawa bahasa Melayu kini beransur-ansur hilang status dan wibawanya di negara ini.
Oleh itu, tindak-tanduk mengetepikan bahasa kebangsaan sebagai mana dijamin dalam Perlembagaan wajar dihentikan. Hakikatnya kedudukan bahasa Melayu juga tidak boleh disamakan dengan bahasa lain.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment