Saturday, July 24, 2010

UPSR dan PMR Perlu Dihapuskan - Sekadar Pandangan Peribadi



Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah s.w.t, setelah sekian lama saya menanti saat ini, akhirnya Y.A.B Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia telah melontarkan idea dan pandangan berkaitan dengan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR.

Pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Perdana Menteri ini, telah mendapat reaksi positif dan negatif daripada pelbagai pihak. Apa yang sangat menyedihkan, ada yang memberikan pendapat dan pandangan tanpa ada kajian dan perbincangan secara ilmiah. Ada pihak memberi pandangan berdasarkan emosi dan pandangan peribadi. Dalam hal ini, pihak yang wajar dan paling sesuai memberikan pandangan atas cetusan idea Menteri Pelajaran ini ialah guru-guru.

Guru-guru di sekolah saban hari berhadapan dengan pelajar. Guru-guru mengetahui tahap pencapaian pelajar dari segi pencapaian JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek) malah dari segi disiplin, pergaulan, sikap dan sahsiah. Sistem Pendidikan yang telah berubah memerlukan perubahan dalam soal penilaian pencapaian akademik diri pelajar-pelajar.

Sebagai pelaksana dasar Kementerian Pelajaran, guru-guru melihat bahawa pelajar hari ini tidak lagi memandang berat tentang keperluan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terutama pelajar yang berada di Sekolah Menengah Harian. Bagi mereka, lulus atau gagal, mereka masih dapat meneruskan pelajaran ke tingkatan 4 dan 5. Jadi, apakah pentingnya PMR itu ?. Bagi pihak guru, mereka bertungkus lumus dengan pelbagai program berbentuk akademik dan motivasi untuk memastikan keputusan PMR menjadi terbaik manakala di pihak pelajar menganggap PMR itu tidak penting. Percanggahan ini menimbulkan konflik yang memberikan tekanan yang sangat dahsyat dalam jiwa guru-guru. Bak kata pepatah "ditelan mati emak diluah mati bapak".

Sehubungan dengan itu, satu penilaian baharu yang lebih sesuai perlu dilaksanakan. Penilaian baharu ini nanti, hendaklah meliputi penilaian yang menyeluruh tentang diri pelajar iaitu yang melibatkan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek dan memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Penekanan daripada segi aspek akademik semata-mata hendaklah dielakkan.

Ada beberapa senario yang ingin saya kongsi dengan pembaca berkaitan dengan tingkahlaku pelajar yang berada di sekolah menengah pada hari ini.

a) Pelajar yang sangat lemah dari segi sahsiah (disiplin, akhlak, budi bahasa)
b) Pelajar yang sangat lemah dari segi rohani (tidak takut pada dosa )
c) Pelajar yang terpengaruh dengan teknologi ( bawa telefon, asyik dengan internet)
d) Pelajar yang sangat lemah dari segi sosial ( pergaulan bebas, masalah sosial)
e) Pelajar yang tidak mementingkan ilmu ( tidak berminat untuk belajar)]
f) Pelajar yang tidak mementingkan etika (adab belajar, adab makan, adab berguru)
g) Pelajar yang tidak mementingkan kokurikulum (tidak menyertai apa-apa kegiatan)

Kesan daripada itu, kita boleh lihat situasi yang berlaku hari ini. Ada pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik tetapi rosak akhlak dan peribadinya. Ada pelajar yang gagal dalam akademik dan rosak akhlak dan peribadinya. Jarang kita temui, pelajar yang baik dari segi akademik dan baik dari segi akhlaknya. Persoalannya, siapa yang harus dipersalahkan ? kerajaan dan sistem pendidikan ? masyarakat ? guru ? ibu bapa ? atau diri pelajar sendiri ? Kita tidak mahu jadi seperti lagu Bangau oh Bangau - dengan menuding jari ke arah orang lain.

Pelajar bukan barang dagangan yang boleh dijadikan bahan kajian. Jika kita tersilap langkah, kita telah merosakkan satu generasi dan jika itu adalah kesilapan kita, kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di alam yang mendatang.

No comments:

Post a Comment