Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar), Datuk Seri Khairil Awang berkata, ketetapan itu diputuskan da­lam Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan pada 28 Januari lalu setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak menerusi beberapa siri perbincangan bersama panel pe­nilai termasuk pa­ra pensyarah, penggiat bahasa dan kesusasteraan.

“Perbincangan itu merumuskan bahawa novel itu mempunyai elemen kebolehan ajaran daripada aspek keindahan bahasa, kosa kata dan tata bahasa.
 
“Novel ini dapat merangsang pelajar untuk berfikir secara matang dan rasional dalam membuat justifikasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, novel Pantai Kasih yang dijadikan Komsas tingkatan empat bagi zon tiga iaitu di Melaka, Pahang, Terengganu dan Kelantan menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan kemarahan ibu bapa dan orang ramai kerana didakwa berunsur lucah dan menonjolkan hubungan negatif.
Menurut Khairil, gaya penu­lisan digunakan dalam novel itu mempunyai elemen pendidikan seks se­perti mata pelajaran lain iaitu Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, namun diungkapkan dalam bentuk kesusasteraan.

“Misalnya ayat terlucut sel da­ri­pa­da genetik istimewa milik Dr. Sadiz merujuk kepada air mani atau sperma dengan istilah sains tidak dinyatakan secara tersurat sebaliknya dinyatakan dalam gaya penulisan kiasan atau tersirat.

“Penggunaan bahasa novel itu bertujuan untuk menggalakkan mu­rid menggunakan pelbagai stra­tegi pembelajaran seperti penyelesaian masalah dan inkuiri dengan bimbingan guru yang memainkan peranan penting dalam soal ini,” katanya.